Ada empat model baru yang diperkenalkan oleh UMW Toyota Sdn Bhd hari ini. Selain model prestasi GR Yaris dan juga Toyota Vios dan Yaris versi facelift terbaru, turut diperkenalkan ialah model Vios GR Sport (GR-S). Harganya? RM95,284 dengan pengecualian SST.
Model ini mengambil ilham dan pengalaman dari siri perlumbaan jalanan dan meminjam semangatnya daripada model-model lain yang hadir dengan lencana Gazoo Racing sebelum ini. Lebih menarik, ia menjadi model GR Sport yang pertama dikeluarkan oleh kilang canggih UMW Toyota di Bukit Raja, Klang.
Apa kelainan Vios GR-S? Selain lencana GR yang digunakan, model ini menampilkan aerokit agresif yang terdiri daripada bentuk bampar depan yang mirip GR Yaris, bampar belakang lengkap dengan diffuser, spoiler hitam di belakang serta skirting sisi dan cermin sisi yang juga dihitamkan. Kereta ini kelihatan lebih teguh dengan rim 17-inci aloi yang digunakan, dengan saiz tayar 205/45R17.
Aspek casis dan pengendalian juga diberikan perhatian. Dengan suspensi talaan sport yang memberikan kendalian, kestabilan dan keselesaan ketika dalam kelajuan tinggi, Vios GR-S datang dengan transmisi Continuosly Variable Transmission (CVT) 10-kelajuan yang boleh dikendalikan menggunakan Sports Mode dan juga paddle shifter. Ia kekal menggunakan enjin 2NR-FE 1.5 liter yang menghasilkan 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 rpm.
Ini menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih berjiwa, ketika memulakan pergerakan dengan lebih baik mahupun dengan pecutan lebih pantas ketika di selekoh. Konfigurasi terbaru ini membolehkan kereta ini menjadi lebih responsif dengan mengekalkan bacaan RPM yang tinggi untuk memberikan respon pendikit yang lebih baik secara keseluruhannya, terutamanya ketika memotong dan mula memecut.
Di dalam, latar warna hitam dan kontras benang merah pada kerusi balutan kulitnya, logo GR yang timbul pada perehat kepala, stereng tiga jejari balutan kulit, tombol gear yang juga balutan kulit serta pengalas kaki dengan logo GR.
Butang penghidup enjin juga diberikan logo GR, sementara panel meter Optitron datang dengan jarum merah. Paparan multi-maklumat pada skrin 4.2-inci juga datang dengan animasi GR. Vios GR-S hanya didatangkan dalam dua warna: Platinum White Pearl dan Red Mica Metallic. Berbanding Vios biasa, kelengkapan dan aksesori pakej GR ini bernilai RM7,700.
“Ini sebuah model yang sangat istimewa diatas beberapa sebab: ia dibangunkan di Malaysia, ia diilhamkan oleh kejayaan perlumbaan Vios Challenge dan selebihnya, ia juga menepati semua kriteria yang ingin diwakili oleh jenama GR sebelum layak menyarung lencana GR yang digunakannya ini,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.
Toyota Vios GR Sport di Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.