Toyota Vios facelift 2021 dilancarkan di Malaysia – tiga varian, kini dengan AEB, LDA; harga dari RM75k

Toyota Vios facelift 2021 dilancarkan di Malaysia – tiga varian, kini dengan AEB, LDA; harga dari RM75k

Genap sebulan yang lalu, UMW Toyota (UMWT) telah mendedahkan perincian model Vios facelift 2021, malah turut membuka tempahan untuk sedan tersebut. Malam ini, sempena dengan pengenalan jentera hangat GR Yaris dan Vios GR Sport, UMWT turut mengambil kesempatan melancarkan model pesaing bagi Honda City 2020 dan juga Nissan Almera Turbo itu.

Untuk pasaran tempatan, Vios 2021 yang merupakan model pemasangan tempatan (CKD), masih kekal dengan varian Vios 1.5J, Vios 1.5E dan Vios 1.5G. Juga tiada perubahan mekanikal, ia masih menggunakan enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i dengan hamburan kuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada 4,200 rpm. Turut digandingkan dengan transmisi CVT automatik tujuh-kelajuan.

Jadi, apa perubahan mahu pun pembaharuan yang dibawakan untuk Vios 2021 ini? Secara terang-terangan, Vios 2021 diberikan wajah yang seiras dengan kembarnya, hatchback Yaris facelift yang turut dilancarkan malam ini. Di mana rekaan bahagian hadapannya dirombak semula dan diperkemaskinikan. Ini termasuk dengan rekaan bampar, gril dan juga aerokit yang agak mirip dengan rekaan Corolla dan Camry baharu.

Toyota Vios facelift 2021 dilancarkan di Malaysia – tiga varian, kini dengan AEB, LDA; harga dari RM75k

Selain itu, sedan segmen-B ini juga ditampilkan dengan lampu hadapan LED “triple bezel” baharu, sama seperti Yaris. Malah lampu utama tersebut turut didatangkan dengan fungsi ‘Follow-Me-Home’. Lampu nyalaan siang dan lampu kabus juga menggunakan unit LED. Bagi lampu belakangnya, unit LED juga ditampilkan untuk dua varian tertinggi, namun varian 1.5J hanya dengan mentol biasa.

Memantapkan lagi imej rangginya, Vios 2021 ditampilkan dengan roda aloi 16-inci dengan balutan tayar 195/50R16 untuk dua varian tertinggi, manakala model asas menerima rim 15-inci dengan tayar 185/60R15.

Untuk bahagian kabinnya, imej elegan dengan bentangan warna hitam masih menjadi pilihan. Antara kelengkapan yang diberikan termasuklah kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin, mod pemanduan (Sport mode & Eco mode), pedal penukar gear, paparan meter Optitron, paparan multi-maklumat (MID) dengan warna penuh bersaiz 4.2-inci dengan skrin TFT, tetapi ciri yang disebut ini tidak diberikan buat model asas.

Bukan itu sahaja, material kulit turut disediakan buat varian 1.5E dan 1.5G, termasuk untuk balutan tempat duduk, stereng dan tombol gear. Walau bagaimana pun, varian 1.5 J menerima tempat duduk balutan fabrik dengan corak baharu untuk mengekalkan imej elegannya.

Selain itu, ciri lain yang turut diberikan termasuklah paparan audio tujuh-inci yang dinaik taraf yang dilengkapi ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, ruang konsol tengah di antara tempat duduk hadapan, ruang meletak cawan pada panel pintu yang turut disediakan pencahayaan LED di dalamnya, dua slot USB 2.1A dan pengecas tanpa wayar (ditawarkan secara pilihan) serta soket kuasa 12V.

Sistem Telematik Kenderaan (VTS) juga didatangkan standard kecuali untuk varian 1.5J (ditawarkan sebagai pilihan). Sistem ini menggunakan GPS/GSM untuk menjejak lokasi kenderaan pada setiap masa sekiranya ia dicuri, membolehkan pengesanan oleh pihak polis boleh dilakukan dengan pantas. Ia juga boleh meninjau dan merekodkan laju kenderaan serta keadaan operasinya yang lain, dengan data dikirimkan melalui e-mel kepada pengguna yang ditetapkan melalui aplikasi mudah alih.

Bagi aspek keselamatannya, ciri keselamatan standard yang diberikan termasuklah tujuh beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ABS dengan EBD, Bantuan Brek (BA), Isyarat Henti Kecemasan (ESS), Peringatan Tali Keledar Belakang, Kawalan Mula Mendaki (HAC) dan cagak Isofix.

Varian 1.5E dan 1.5G turut menerima ciri keselamatan tambahan iaitu Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Brek Kecemasan Sendiri (AEB) dan Amaran Penukaran Lorong (LDA) yang boleh dinyahaktif sekiranya tidak diperlukan.

Selain itu, ia turut diberikan ciri baharu iaitu sistem Peninjau Pemandangan Panoramik (PVM) yang telah dinaik taraf kepada jenis 3D (sebelum ini hanya 2D). Ia dilengkapi juga oleh kamera belakang, penderia parkir, Peninjau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik di Belakang (RCTA).

Aerokit pula ditawarkan sebagai pilihan, menambah penggayaan pada kereta dengan bampar depan rekaan baharu untuk tampil berbeza. Dengan Perakam Video Digital (DVR) depan dipasangkan secara standard untuk semua varian kecuali 1.5J, pilihan untuk DVR belakang turut ditawarkan. Semua kelengkapan ini dipasang di pusat aksesori UMWT sendiri.

Toyota Vios 2021 masih ditawarkan dalam lima warna, di mana dua daripadanya adalah warna baharu. Warna Dark Blue Metallic, Red Mica Metallic dan Silver Metallic adalah warna-warna yang sudah sedia ada pada model asal, manakala warna putih Super White II digantikan dengan Platinum White Pearl. Namun untuk warna merah Black Mica Metallic telah digugurkan bagi digantikan dengan satu lagi warna cerah iaitu Orange Metallic.

Dengan pengecualian cukai jualan sehingga 31 Disember ini, barisan Vios 2021 ini ditawarkan pada harga RM74,623 bagi varian asas 1.5J, diikuti dengan RM82,593 untuk 1.5E serta 1.5G pula berharga RM87,584. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans dan turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required