Sama ada Perodua, mahupun Toyota, kedua-duanya tidak pernah ‘membuka mulut’ tentang perkara ini; adakah Toyota benar-benar bekerjasama dengan Perodua untuk menghasilkan Vios generasi baharu yang bakal membuat penampilan sulung globalnya pada bulan hadapan di Thailand? Ini adalah spekulasi kami sendiri, tapi bukan dibuat secara agak-agak, sebaliknya berasaskan pelbagai petunjuk yang sudahpun muncul sebelum ini.
Toyota membuat pengumuman secara rasmi berkenaan pendedahan Vios generasi keempat tersebut pada minggu ini, yang disertakan sekali dengan satu video berdurasi 15 saat – walaupun agak pendek, video berkenaan cukup untuk memberi gambaran bagaimana rupa muka, profil sisi, lampu belakang, malah bahagian dalaman untuk model terbaharu berkenaan.
Di Thailand, seperti sebelum ini Vios dikenali dengan nama Yaris Ativ. Ini kerana sedan berkenaan hanya menerima enjin 1.2 liter di pasaran negara itu, bagi membolehkan ia menerima manfaat insentif Kereta Eco Thailand. Manakala untuk pasaran lain, terutamanya di ASEAN di mana Vios merupakan sedan mampu milik yang begitu popular, ia dijangka akan terus menerima enjin dengan kapasiti 1.5 liter.
Dalam video berkenaan jelas menunjukkan bahawa Vios generasi baharu ini menerima muka dengan lampu hadapan yang nipis dan tajam bersama jalur LED bina-dalam seakan Toyota Corolla Altis, gril bampar besar berbentuk-heksagon bersama elemen bar tebal yang melintang seakan Toyota Avanza generasi baharu, profil sisi dengan garis bumbung seakan coupe empat pintu atau fastback bersama kabin panjang dan but belakang yang pendek, lampu belakang LED dengan lampu isyarat membelok jenis sequential, serta papan pemuka dengan rekaan minimalis menampilkan skrin berdiri sendiri di tengah dan juga menerima kemasan merah yang banyak.
Pelbagai laporan sebelum ini menyebut bahawa Toyota Vios 2023 ini dihasilkan berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), iaitu platform yang diolah semula oleh Daihatsu berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Dengan kepakaran Daihatsu untuk menghasilkan model-model kompak sebelum ini, platform DNGA berkenaan diberikan pelbagai input untuk menghasilkan model-model lebih kecil, dan ia boleh digunakan bukan sahaja untuk Daihatsu, malah untuk model-model Toyota dan juga Perodua.
Platform yang sama sebelum ini telah pun digunakan sebagai asas untuk model kembar SUV Perodua Ativa/Toyota Raize/Daihatsu Rocky, dan juga kembar MPV Daihatsu Xenia/Toyota Avanza dan Veloz/Perodua Alza. Jadi tidak hairan mengapa kod projek ‘D92A’ pada Vios ini agak serupa dengan kod-kod projek dari Perodua seperti D27A untuk Alza dan D55L untuk Ativa.
Malah roda stereng yang diberikan pada Vios baharu ini nampaknya sama sahaja dengan roda stereng pada Ativa, Alza dan juga Myvi facelift. Rekaan bumbung pada Vios D92A ini juga adalah sesuatu yang baharu untuk sedan dalam kelas segmen-B. Rekaan bumbung seakan coupe berkenaan sebelum ini sebenarnya telah diperlihatkan pada model konsep Daihatsu DN-F Sedan pada 2017.
Apa yang menarik, dengan pengenalan Vios D92A ini sebagai versi produksi sebenar DN-F Sedan, maka lengkaplah semua model konsep yang Daihatsu dedahkan pada 2017 menjadi model produksi sebenar di mana SUV konsep DN-Trec dijelmakan sebagai Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa, dan MPV konsep DN-Multisix dijelmakan sebagai Daihatsu Xenia/Toyota Avanza dan Veloz/Perodua Alza.
Kerja-kerja pembangunan model baharu secara bersama antara Daihatsu dan Perodua bukanlah sesuatu yang baharu – ya, “pembangunan bersama”, bukan rebadge. Ativa dan Alza 2022 adalah antara contoh terbaharu hasil kerjasama berkenaan. Dalam kerja-kerja pembangunan ini, Daihatsu berperanan sebagai ketua projek, dan ia akan disertai oleh jurutera dari Toyota dan juga Perodua.
Contohnya dalam pembangunan Ativa/Rocky/Raize, projek berkenaan bermula di Jepun dan ia turut disertai oleh pasukan jurutera Perodua dari Malaysia kerana Rocky dan Raize turut dijual di Jepun. Manakala untuk model khas dihasilkan untuk pasaran Asia Tenggara seperti Alza/Xenia/Avanza, fasiliti R&D Perodua di Rawang digunakan kerana ia adalah jauh lebih lengkap berbanding fasiliti Astra Daihatsu Motor di Indonesia.
Pada 2019, Perodua pernah dilihat menguji prototaip awalan untuk Alza dan Ativa yang disorokkan disebalik badan “Frankenstein” di Genting Highland. Untuk Ativa, ia menggunakan badan Perodua Axia yang kelihatan lebih panjang seperti wagon, manakala Alza pula menggunakan badan Toyota Avanza dengan muncung lebih panjang, diuji bersama dua MPV segmen-B yang sangat popular di pasaran Indonesia iaitu Mitsubishi Xpander dan Suzuki Ertiga.
Ini membuktikan bahawa Perodua terlibat sejak dari peringkat awal pembinaan dua model berkenaan iaitu sebelum ia muncul dalam badan sebenar, dan bukan hanya menukar bampar dan logo selepas ia disiapkan oleh Daihatsu seperti persepsi kebanyakkan orang yang melihat bahawa Perodua masih menghasilkan kereta secara rebadge.
Dua ujian yang dilihat berkenaan hanyalah ujian awalan, dan seperti diketahui pembangunan model baharu Perodua banyak dibuat di litar ujian mereka di Sungai Choh, Rawang. Litar berkenaan bukan sahaja dilengkapi dengan kawasan lengkung tebing “parabolica” untuk ujian kelajuan tinggi serta pelbagai seksyen yang memberikan simulasi pelbagai keadaan jalan raya tempatan, termasuk simulasi lebuhraya PLUS yang sangat realistik.
Toyota Vios merupakan model khas yang dibangunkan untuk pasaran ASEAN – ya, Vios turut pernah dijual di Jepun dengan nama Toyota Belta, namun Belta juga sebenarnya diproduksi di Thailand dan kemudian dieksport ke Jepun. Jadi tidak mustahil untuk pembangunan Vios generasi baharu dengan platform DNGA ini, ia turut menggunakan fasiliti R&D Perodua di Rawang.
Pembabitan Perodua dalam R&D bukan bermula dengan DNGA, malah lebih awal dari itu. Bermula dengan Bezza, Perodua telah mula membangunkan bahagian atas badan mereka sendiri, manakala asasnya masih menggunakan platform sama dengan Axia. Manakala Myvi generasi ketiga, Perodua menghasilkan platform hatchback segmen-B berkenaan di Malaysia yang diubahsuai dari platform Myvi generasi kedua, bersama badan atas yang juga direka sendiri. Malah Daihatsu turut mengambil Myvi generasi ketiga berkenaan untuk direbadge sebagai Daihatsu Sirion untuk dijual pada pasaran Indonesia.
Manakala dalam aspek pembuatan, Perodua mempunyai jaringan vendor tempatan yang ekstensif. Lihat sahaja Ativa dan Alza – walaupun ia diasaskan dari platform terkini Daihatsu, kedua-dua model berkenaan mempunyai kandungan komponen tempatan mencecah 95%. Perodua turut mempunyai kilang enjin mereka sendiri untuk menghasilkan enjin dari keluarga NR, yang bukan sahaja untuk digunakan pada model-model mereka, malah turut dibekalkan kepada Toyota untuk model Vios dan Yaris sedia ada.
Malah kilang Perodua di Rawang turut memasang model-model Toyota seperti SUV Toyota Rush sebelum ini, dan juga MPV Toyota Veloz yang bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.
Pada tahun 2020, Perodua sudah pun mengumumkan bahawa ia mahu menjadi hab R&D untuk pasaran ASEAN, bukan sahaja untuk model-model mereka sendiri, malah untuk Daihatsu serta syarikat induknya iaitu Toyota. Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad menyatakan bahawa Perodua mensasarkan untuk membuat rekaan kenderaan bukan hanya untuk Malaysia, malah untuk pasaran Indonesia dan Thailand, dan syarikatnya kini sedang berusaha keras bagi menjadi hab R&D di rantau ini.
“Dari segi R&D, pada saat ini R&D Perodua, dalam aspek peralatan ujian, pelaburan dan fasiliti, adalah lebih besar dari Indonesia,” kata Datuk Zainal ketika itu.
Perodua turut mendedahkan grafik hala tuju strategik (ditunjukkan di atas) mereka, menunjukkan Ativa dan empat lagi model akan datang yang diasaskan dari platform DNGA, dan ketika itu Datuk Zainal sudah pun menyatakan bahawa bukan kesemuanya adalah model dengan lencana Perodua.
“Kesemua empat model baharu ini bukan semestinya model-model Perodua. Apabila kami telah mencapai tahap untuk menjadi hab R&D ASEAN, kami akan menghasilkan model juga untuk Daihatsu,” katanya. Salah satu model berkenaan sudah dikenalpasti sebagai Alza 2022, jadi ada tiga lagi model yang akan dibangunkan menggunakan fasiliti R&D di Rawang berkenaan, dan ia tidak semestinya keluar dengan lencana Perodua. Jadi tak mustahil salah satu daripadanya adalah Vios D92A bukan?
GALERI: Teaser Toyota Vios 2023
GALERI: Daihatsu DN F-Sedan Concept di GIIAS 2017