Penawaran aksesori serta kit badan Modellista untuk model baru Toyota dan Lexus adalah perkara biasa, tetapi kini buat pertama kalinya, jenama itu turut menawarkan produk untuk model Daihatsu, iaitu Rocky. Seperti yang diketahui, Daihatsu Rocky menggunakan asas yang sama dengan Toyota Raize.
Model yang anda lihat dalam gambar ini menggunakan kit aero “Advance Blast Style” oleh Modellista, yang terdiri daripada spoiler hadapan, side skirt dan tambahan kemasan pada bampar belakang. Spoiler hadapan itu mempunyai kemasan krom serta jalur LED melintang di bawah lampu LED menegak sedia ada, sementara side skirt itu pula kelihatan agak tebal dengan ada kemasan krom di bahagian bawah pintu.
Kemasan bahagian bawah bampar belakang Rocky ini bukan sahaja menjadikannya nampak lebih labuh, tetapi juga lebih sibuk. Pada bucu sebelah kanan, terdapat muncung ekzos berkembar yang menggunakan bentuk petak. Modellista juga menyediakan barangan lain secara berasingan seperti spoiler belakang “dua tanduk”, kemasan krom pada lampu serta tambahan panel pada cermin belakang.
Untuk bahagian dalam, Modellista menyediakan tambahan kemasan serta lampu LED hiasan. Untuk kemasan tambahan itu, ia terdiri daripada tiga bahagian iaitu untuk tepi pintu (kiri dan kanan), serta pada papan pemuka. Ia boleh dipilih antara kemasan kayu ataupun brushed metal. Lampu LED itu pula cuma ada satu, diletakkan pada papan pemuka (di depan penumpang hadapan) dan memberikan nyalaan berwarna biru.
Setakat ini, kita juga sudah tahu Rocky akan tiba di Malaysia sebagai sebuah SUV D55L daripada Perodua, dan kit badan yang disediakan di Jepun ini mungkin boleh digunakan padanya, bergantung kepada berapa banyak perubahan yang dibuat. Anda rasa kit ini menarik?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.