Perodua D55L – semua apa yang kami tahu setakat ini

Perodua D55L – semua apa yang kami tahu setakat ini

Imej bayangan digital Perodua D55L

SUV segmen-B paling ditunggu-tunggu tahun ini iaitu Proton X50 sudah pun selamat dilancarkan bulan lalu. Ya, model dari Proton ini sebenarnya dihasilkan untuk pasaran lebih tinggi. Bagi mereka yang masih mahukan SUV segmen-B tetapi dalam kelas yang lebih mampu milik, sudah tentu anda tertunggu-tunggu produk dari Perodua yang mula diperkatakan sejak tahun lalu ini bukan?

Model terbaharu dari Perodua ini masih lagi belum mempunyai nama rasmi, dan ia kini dikenali dengan nama kod D55L. Ketika pembentangan laporan prestasi Perodua untuk 2019 yang dibuat pada awal tahun ini, ia seakan dibayangkan bakal dilancarkan juga tahun ini, namun akibat pandemik Covid-19 yang memaksa negara kita ‘berehat’ seketika dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), CEO dan Presiden Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada Ogos lalu bahawa segala yang mereka rancang perlu ditunda, dan apa perkembangan selanjutnya mungkin hanya diketahui pada tahun 2021.

Namun apa yang memeranjatkan, pagi ini kami menerima gambar intipan SUV tersebut dengan pelekat penyamaran di seluruh badan dan di uji sekitar Putrajaya – sesuatu yang tidak pernah kita lihat pada model-model Perodua sebelum ini. Ia sudah tentu menjadi satu petanda besar bahawa D55L mungkin akan dilancarkan tidak lama dari sekarang. Jadi, kami sediakan satu artikel khas berkenaan apa yang kami tahu berkenaan D55L, bagi membayangkan apa yang bakal anda dapat dari Perodua selepas ia dilancarkan nanti.

Perodua D55L – semua apa yang kami tahu setakat ini

Imej bayangan digital Perodua D55L

Kenapa semua orang panggil SUV ini sebagai D55L?

Seperti yang kami sebut tadi, model ini masih belum diberikan nama rasmi. Mengikut tradisi Perodua sebelum ini, setiap projek kereta baharu akan diberikan kod alphanumerik yang tersendiri, contohnya D38L untuk Aruz, D20N untuk Myvi generasi ketiga, D87A untuk Axia dan D63D untuk Bezza.

Kenapa D55L sering dikaitkan dengan Daihatsu Rocky?

Ketika pembentangan prestasi 2019 awal tahun ini, Perodua mengesahkan bahawa mereka merancang untuk membangunkan model berasaskan platforn Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Buat masa sekarang, satu-satunya model produksi yang telahpun menggunakan platform tersebut adalah Daihatsu Rocky, dan pada masa yang sama ia turut mempunyai kembar rebadge dikenali sebagai Toyota Raize.

Jadi berdasarkan apa yang Perodua sebelum ini contohnya SUV Kembara dan Nautica yang diasaskan dari Daihatsu Terios, serta projek lain seperti kembar Daihatsu Terios/Toyota Rush/Perodua Aruz, perkara yang sama sudah tentu akan turut akan diterapkan pada D55L ini.

Daihatsu Rocky (kiri) Perodua D55L (kanan)

Gambar intipan yang tular pagi tadi menunjukkan profil badan D55L ini agak sama dengan Rocky. Namun dengan kemampuan unik rekaan dan R&D Perodua yang telah pun dibuktikan menerusi penghasilan badan atas yang tersendiri pada Myvi generasi ketiga dan juga Perodua Bezza, serta bagaimana Perodua menghasilkan papan pemuka yang sedikit berbeza untuk Aruz berbanding Terios/Rush, tidak mustahil D55L akan tampil muka serta bahagian dalaman yang berbeza dari kembar Rocky/Raize.

Perodua juga sentiasa menghasilkan idea-idea inovasi untuk rekaan yang sesuai digunakan di Malaysia seperti pembaca tol bina dalam, cangkuk beg tangan anti-kecurian, sistem memori larasan pendingin hawa, dan aspek ini mungkin akan membezakan hasil akhir D55L berbanding Daihatsu Rocky.

D55L adalah “SUV kompak”, bagaimana sebenarnya saiz model ini?

Jika kita lihat pada Daihatsu Rocky, ia dihasilkan dengan dimensi 3,995 mm panjang, 1,695 mm lebar, 1,620 mm tinggi serta jarak roda sejauh 2,525 mm. Dengan asas yang sama, D55L sepatutnya akan dihasilkan dengan saiz yang lebih kurang sama.

Agak mudah untuk kita bayangkan jika ia dibandingkan dengan Perodua Kembara – SUV kompak pertama keluaran Perodua berkenaan dihasilkan dengan dimensi 3,890 mm panjang, 1,555 mm lebar, 1715 mm tinggi dan jarak roda 2,420 mm – Rocky jelas sedikit lebih besar dari Kembara.

Perodua D55L – semua apa yang kami tahu setakat ini

Klik untuk besarkan

Namun saiz Rocky ini nampaknya sedikit kecil jika dibandingkan dengan SUV kedua Perodua iaitu Nautica. Model berkenaan dihasilkan dengan dimensi 4,115 mm panjang, 1,695 mm lebar, 1,740 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,580 mm.

Apa enjin dan kotak gear yang bakal menjana Perodua D55L?

Pada pasaran Jepun, Rocky hanya dijana oleh enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo dan dipadankan dengan kotak gear CVT automatik. Adakah D55L juga akan menerima gandingan yang sama? Tiada lagi kepastian berhubung perkara ini.

Namun sekali lagi ketika pembentangan prestasi 2019 awal tahun ini, Perodua turut mendedahkan hala tuju masa hadapan syarikat itu, antaranya bagi memperkenalkan enjin-enjin yang jauh lebih kompak dari apa yang mereka ada sekarang, seiring dengan trend yang sedang meningkat naik di seluruh dunia.

Menurut Perodua, pembuat-pembuat kereta diperingkat global kini sedang mengecilkan kapasiti enjin mereka bagi memenuhi piawaian pencemaran alam sekitar yang semakin ketat, dalam pada masa sama menggunakan unit pengecas turbo bagi menghasilkan jumlah kuasa yang sama dengan enjin dengan kapasiti lebih besar – ini antara petanda besar bahawa D55L akan menerima enjin yang sama.

Perodua D55L – semua apa yang kami tahu setakat inicenter>Bahagian dalaman Daihatsu Rocky

Jika diperhalusi, enjin yang digunakan oleh Rocky diberikan kod 1KR-VET, atau enjin dengan asas sama seperti enjin 1KR-VE tiga silinder 1.0 liter yang berada dalam perut Perodua Axia buat masa sekarang, tetapi dihasilkan dalam versi dengan pengecas turbo.

Selain dari diperkuat dengan turbo, enjin 1KR-VET tersebut menampilkan teknologi injap bervariasi, DOHC dengan 12-injap, sistem eco-idle, dan hanya dipadankan dengan kotak gear CVT. Di Jepun, selain dari model pacuan roda hadapan, ia turut ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda – jika padanan ini di bawa ke D55L, seperti biasa, kita mungkin tidak akan menerima pilihan AWD tersebut.

Pada Disember tahun lalu juga, Perodua dilihat melakukan ujian jalan raya terhadap Daihatsu Thor di Malaysia, di mana kei-car yang dilihat di Melaka berkenaan mengenakan penyejuk cecair transmisi yang diletakkan pada bahagian hadapan. Dipercayai, ujian tersebut adalah salah satu ujian untuk enjin turbo ini kerana Thor sememangnya datang dengan enjin 1KR-VET serta kotak gear CVT automatik yang sama dengan Rocky.

Bila Perodua D55L ini akan dilancarkan? Agak-agak berapa harganya?

Sudah tentu, D55L tidak akan dilancarkan pada tahun ini. Dengan apa yang sedang dilakukan Perodua ini, kita boleh jangka pelancarannya akan dibuat pada tahun 2021. Perodua masih belum memberikan sebarang bayangan tarikh sebenar pelancarannya, apatah lagi hal-hal berkaitan harga.

Buat masa sekarang, model paling mampu milik yang dijual oleh Perodua adalah Axia 1.0 E dengan harga RM23,367, manakala model paling mahal pula adalah Perodua Aruz 1.5 AV berharga RM73,226. Dengan saiz serta kelengkapan yang mungkin dipadankan, kita boleh jangka bahawa harga permulaan D55L ini tidak akan lebih tinggi dari Aruz varian paling rendah iaitu RM68,526.

Selamat untuk dikatakan bahawa D55L mungkin akan dijual pada harga bermula lebih dari RM50,000 untuk varian asas, dan ia mungkin bertindan dengan harga varian tertinggi Perodua Myvi. Adakah ia akan membunuh Myvi secara tidak langsung? Boleh dikatakan tidak, kerana bukan semua orang mahukan sebuah SUV dengan tayar besar dan tinggi dari biasa. Jadi pelanggan yang hanya mahukan sebuah hatchback akan terus memilih Myvi.

Adakah Perodua D55L ini pesaing terus untuk Proton X50?

Atas kertas, sudah tentu tidak. Jika dilihat pada saiz sahaja D55L ini adalah SUV segmen-B entry-level yang sangat kecil dengan saiz hampir menyamai model segmen-A. Proton X50 pula adalah SUV segmen-B saiz penuh dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,609 mm tinggi, serta jarak roda sejauh 2,600 mm.

Selain dari saiz, unit penjana pada Proton X50 juga jauh dari liga D55L. Begitu juga dengan harga, seperti yang dibincangkan tadi, D55L mungkin akan dijual pada harga bermula lebih dari RM50k, dan tak mungkin lebih mahal dari Aruz 1.5 AV yang berharga RM73k, berbanding X50 dengan varian asas Standard yang dijual pada harga bermula RM79k.

Foto intipan Perodua D55L yang sedang diuji

Apa kelengkapan yang dijangka dipadankan pada model produksi Perodua D55L nanti?

Sekali lagi, kita jadikan Daihatsu Rocky sebagai panduan. Pada pasaran Jepun, varian tertinggi Rocky diberikan lampu hadapan, lampu kabus, lampu nyalaan siang dan lampu belakang yang kesemuanya menggunakan teknologi LED. Ia juga datang dengan rim 17-inci, paparan instrumen TFT tujuh-inci, pendingin hawa automatik, dan juga skrin sesentuh infotainmen bersaiz sembilan-inci.

Buat masa sekarang, Perodua Myvi sememangnya telah pun diberikan lampu hadapan LED bersama sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin untuk semua varian – takkan D55L ini akan diberikan kelengkapan lebih rendah dari Myvi kan?

Untuk keselamatan pula, Rocky diberikan sistem-sistem pasif secara standard seperti kawalan kestabilan kenderaan (VSC), traction control, ABS, EBD, BA, enam beg udara serta cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Ia juga hadir dengan sistem keselamatan aktif seperti brek kecemasan automatik (AEB), bantuan dan amaran keluar lorong, pemantau titik buta, lampu tinggi automatik, lampu hadapan adaptif, cruise control adaptif, amaran lintasan trafik belakang dan bantuan parkir.

Sebelum ini juga Perodua pernah menyatakan bahawa mereka kini sedang berusaha untuk selari dengan trend global, jadi dengan sistem-sistem pada Rocky berkenaan yang nampaknya sudah boleh diklasifikasikan sebagai sistem pemanduan autonomous Tahap 2, tak mustahil kebanyakkannya akan diserap terus ke D55L.

Malah buat masa sekarang kebanyakkan model Perodua dari model tinggi seperti Aruz dan Myvi, malah model lebih mampu milik seperti Axia dan Bezza sudah pun menerima pakej bantuan pemanduan Advanced Safety Assist (ASA) Perodua, yang menyenaraikan sistem seperti AEB, sudah tentu D55L juga sekurang-kurangnya akan diberikan sistem yang sama.

Ada apa-apa lagi?

Kami sudah pun menulis berberapa artikel berkenaan Perodua D55L ini, jadi di bawah adalah senarai pautan untuk anda baca artikel-artikel berkenaan untuk perincian lebih lanjut:

Kami akan secara berterusan mengemaskini artikel ini setiap kali ada informasi berkenaan Perodua D55L ini pada masa akan datang. Jadi untuk anda yang menantikan model SUV terbaharu dari Perodua ini, boleh lah selalu ke halaman ini untuk sebarang informasi terkini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Radzi on Nov 15, 2020 at 2:15 pm

    Adakah model ini bakal dilengkapi sistem Apple Car Play/Android Auto?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required