Perodua siar video animasi comel untuk tunjuk fungsi-fungsi keselamatan pada model-model terkini mereka

Pelbagai cara pengeluar-pengeluar automotif untuk memberitahu bagaimana sistem-sistem keselamatan pada model-model mereka berfungsi. Dan untuk Perodua, mereka baru sahaja menyiarkan satu video animasi untuk tujuan berkenaan.

Video yang bertajuk “Jom Selamat Sampai” ini menampilkan watak-watak kartun yang agak comel, namun untuk kereta-kereta yang ditampilkan, ia diberikan perincian yang begitu sama dengan model-model sebenar keluaran Perodua yang kini sedang dijual dalam pasaran – malah apa yang kami perasan, nombor plet pada Alza dan juga Axia Style pada animasi ini adalah nombor yang sama dengan unit pandu uji yang kami terima sebelum ini!

Ia dimulakan dengan MPV tujuh tempat-duduk Perodua Alza dengan menunjukkan ia hadir dengan cagak Isofix bersama penambat sebelah atas pada tempat duduk baris kedua, yang membolehkan kerusi keselamatan kanak-kanak dipasang selamat dan mudah.

Kemudian, hatchback segmen-A Axia pula keluar dalam varian Axia Style berwarna Sunrise Orange. Sesuai dengan imej Axia Style yang funky, hatchback dengan gaya crossover berkenaan dipandu oleh remaja yang ranggi. Sistem Kestabilan Kenderaan (VSC) pula ditunjukkan pada model ini, dengan menunjukkan ia tidak hilang kawalan di jalan yang berliku.

Apabila sampai ke kawasan lebih urban, Axia berkenaan terlanggar lopak air yang menyebabkan air terpercik pada cermin sebuah Bezza 1.3 AV facelift berwarna Garnet Red. Dengan sistem brek ABS dan EBD yang dibekalkan, Bezza berkenaan berjaya mengelak halangan di hadapannya yang hanya dilihat oleh pemandu setelah air yang terpercik di cermin hadapan di lap oleh pengelap cermin.

SUV-MPV Perodua Aruz juga muncul dalam video berkenaan, menunjukkan ia tidak mengundur ke belakang selepas berhenti di bukit dan mahu bergerak semula, kerana model tersebut dilengkapkan dengan sistem Bantuan Mula Mendaki (HSA).

Akhir sekali, Perodua Myvi 1.5 AV 2020 pula muncul dengan warna baharu Electric Blue, menunjukkan bagaimana sistem brek kecemasan automatik (AEB)/Pre-collision Braking (PCB) berfungsi sebagai salah satu sistem dalam pakej bantuan pemanduan ASA 2.0, yang kini dipadankan secara standard untuk semua varian Myvi 1.5L dan juga opsyen pada Myvi 1.3 X.

Selain dari AEB/PCB, sistem ASA ini juga turut memberikan fungsi lain seperti Pre-collision Warning (PCW), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC). Buat masa sekarang, semua model Perodua (kecuali Perodua Alza yang hampir 11-tahun dalam pasaran) bukan sahaja menerima sistem ABS, EBD dan VSA, malah model sekecil Axia juga telah hadir dengan ASA 2.0.

Ini secara tidak langsung membuatkan jenama lain lebih mahal yang tidak membekalkan sistem setaraf kelihatan begitu kedekut, dan secara tidak langsung akan ‘memaksa’ semua pemain industri untuk mengikut langkah yang diambil oleh Perodua dalam mempromosikan pemilihan kenderaan yang lebih selamat ini.

Walau bagaimanapun, bukan semua varian Perodua menerima sistem-sistem keselamatan yang disebutkan di atas. Jadi varian Perodua yang mana perlu anda pilih? Ketahuinya dengan membaca artikel bertajuk “5 varian Perodua yang tak patut dibeli – ini sebabnya” yang baru sahaja kami siarkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required