PANDU UJI: Perodua Bezza 2020 – 1.0G dan 1.3AV

PANDU UJI: Perodua Bezza 2020 – 1.0G dan 1.3AV

Ketika memandu Perodua Bezza 2020 untuk membina pandangan peribadi tentang sedan asas berkenaan, saya tertanya-tanya; jika orang perlu memberi pandangan yang jujur berkaitan model ini, apa yang akan mereka katakan? Untuk itu saya juga membayangkan, atau cuba meletakkan diri sendiri di dalam beberapa kolompok yang dirasakan menjadi sasaran kepenggunaan bagi sedan ini.

Sepanjang meluangkan masa memandu Bezza 2020 ini – pertama sekali varian 1.0G automatik dan selepas itu 1.3AV secara terus-menerus – saya fikir sangat jelas terlihat kelebihan dan kekurangan kereta ini. Jangan salah faham, ia sama juga seperti kereta atau model kenderaan yang lain; semuanya ada sisi yang lebih dan kurang, dan yang berhasil untuk disambut massa ialah model-model yang dapat memberi keseimbangan paling ideal di antara keduanya. Tak ada satu kenderaan pun yang sempurna secara absolute.

Sebelum kita pergi lebih lanjut, saya ingin tetapkan latar kepada hal yang ingin dibincangkan terlebih dahulu. Penawaran varian bagi Perodua Bezza 2020 ini sangat ringkas dan mudah untuk kita faham. Semua sekali ada empat varian; dua varian paling bawah datang dengan enjin 1.0 liter, manakala dua varian yang paling atas pula dengan enjin 1.3L. Dua unit yang anda lihat di dalam ulasan ini mewakili varian yang paling tinggi bagi kedua-dua pilihan enjin berkenaan.

PANDU UJI: Perodua Bezza 2020 – 1.0G dan 1.3AV

Perodua Bezza 2020 1.0G dijual pada harga RM36,580, manakala varian yang paling tinggi dan lengkap, Perodua Bezza 2020 1.3AV pula dijual pada harga RM49,980. Dua lagi baki varian pula terdiri daripada yang paling asas, iaitu 1.0G manual yang dijual pada harga RM34,580, sementara versi 1.3X pula diberikan tanda harga sebanyak RM43,980.

Melihat pada tawaran harga sahaja, sudah tentu ramai yang berkelayakan atau mampu untuk membeli Bezza. Terutama bagi mereka yang memang memerlukan kereta – misalnya untuk kegunaan keluarga, dengan ruang kabin dan ruang barangan yang luas – tetapi tidak mampu atau tidak mahu membelanjakan wang yang banyak untuk tujuan tersebut. Maka, Bezza saya kira akan sentiasa berada di dalam daerah kesanan radar bagi ramai orang, terutamanya kalau inginkan sebuah sedan yang murah.

Tetapi, sepanjang memandu varian 1.0G automatik untuk beberapa hari, dan kebetulan sempat menempuh beberapa situasi dan cuaca termasuk hujan lebat, ingatan saya terpasung kepada mereka yang memiliki model Bezza 1.0 dan terpaksa berhadapan dengan pengalaman itu setiap hari. Bukanlah maksud saya ia sampai ke tahap yang teruk. Tetapi secara peribadi, pengalaman ketika bersama pilihan enjin kecil itu tidaklah begitu memuaskan.

PANDU UJI: Perodua Bezza 2020 – 1.0G dan 1.3AV

Paling ketara ialah gegaran yang dapat dirasakan dalam keadaan statik mahupun ketika bergerak. Ini mungkin disebabkan oleh enjin yang digunakan; enjin yang sama seperti sebelum ini, tiga-silinder dengan output 67 hp/91 Nm. Itu perkara yang paling mengganggu saya rasakan. Bahkan ada waktunya gegaran yang terasa itu seolah-olah seperti enjin macam nak “mati” kemudiannya, tetapi itu tidaklah pernah berlaku. Hanya sekadar bayangan keadaan.

Kedua, ialah kebisingan dalam kabin. Varian 1.0G seperti tidak diberikan aspek tebat bunyi yang baik. Ini termasuklah bunyi dari enjin, bunyi angin ketika kereta meluncur dan juaranya ialah bunyi dari bahagian tayar dan bawah kereta – cuba anda pandu dan lalu di atas garisan kuning-merah untuk memperlahankan kenderaan di selekoh misalnya, anda akan faham maksud saya.

Selain itu, ketika di jalanraya, Bezza juga terasa “ringan”. Kestabilannya mudah tergugah, misalnya ketika ada kenderaan yang lebih besar memotong di tepi, atau sekadar feel ketika cuba membeloknya di selekoh. Senang cakap, saya selalu berasa kurang yakin dengannya, apatah lagi kalau untuk dipandu dengan laju. Tetapi, bagi tujuan pemanduan biasa-biasa untuk uruskan hal-hal harian, ia sangat praktikal dan memudahkan. Penggunaan minyak juga sangat jimat.

PANDU UJI: Perodua Bezza 2020 – 1.0G dan 1.3AV

Ada beberapa sisi yang saya rasakan Bezza ini punyai kelebihan, dan semua itu menyentuh soal kos yang cekap. Pertama, bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk memiliki kereta, tetapi sangat memerlukan sebuah kenderaan. Harga Bezza, terutama yang paling asas 1.0G manual, adalah antara sedan paling murah boleh dibeli ketika ini di Malaysia. Model paling asas berkenaan hanya mahal sekitar RM2,000 berbanding pesaing terdekatnya, Proton Saga 1.3 Standard MT yang dijual pada harga RM32,800.

Kedua, Bezza akan memenuhi keperluan mereka yang inginkan sebuah kereta yang ringkas dan menjimatkan kos pemilikan serta operasinya, sebagai contoh untuk kegunaan pemandu-pemandu Grab. Atau, sebagai sebuah kereta untuk digunakan bagi jarak dekat untuk menyelesaikan rutin kerja atau harian; ia sebuah kereta asas yang mudah diuruskan, boleh dipercayai dan mesra poket. Jadi, jika dipertimbangkan hanya dari sudut kos – pemilikan dan operasi – maka Bezza ada banyak kelebihan.

Jadi, adakah Bezza secara keseluruhan memang banyak kekurangan dan teruk? Jawapan saya, tidak. Ini membawa kita kepada sisi seterusnya yang boleh dilihat untuk menghargai penawaran pada Bezza; ia datang dalam bentuk dua varian teratas yang menggunakan enjin empat-silinder 1.3L (94 hp/121 Nm). Dengan enjin ini, yang sempat saya perhatikan melalui varian Bezza 1.3AV yang paling atas, ia jauh lebih menyenangkan berbanding versi enjin 1.0L tadi.

PANDU UJI: Perodua Bezza 2020 – 1.0G dan 1.3AV

Semuanya jadi lebih refine dan selesa. Bunyi bising atau gegaran yang dirasakan pada model 1.0L sangat-sangat berkurangan ketika berada dalam kabin Bezza 1.3AV. Kemasan ruang dalaman pun lebih menarik dan kemas, misalnya dengan kerusi dan stereng balutan kulit. Dari segi kelengkapan lain, head unit yang digunakan juga berbeza – 1.3AV hadir dengan skrin sentuh dengan ciri mirrorlink untuk telefon, sementara 1.0L hanya ada radio biasa.

Pemanduan juga lebih menyeronokkan. Pertama, mungkin kerana kapasiti enjin yang lebih besar, maka kereta tak terasa terlalu berat atau underpower. Itu sedikit sebanyak memberikan keyakinan kerana Bezza 1.3L tidak dirasakan berada dalam keadaan yang terdesak atau terpaksa untuk menjanakan outputnya. Bunyi enjin dan tahap rpm juga lebih rendah dan “bertenang” berbanding enjin 1.0L.

Kedua, hal ini mungkin juga disumbangkan oleh perbezaan saiz rim yang digunakan – 1.3AV dengan saiz 15-inci, manakala 1.0G hanya menggunakan saiz 14-inci. Kelebihan paling besar yang ada pada Perodua Bezza pula ialah kelengkapan keselamatan yang ada. Misalnya, ciri keselamatan yang ada pada 1.3AV adalah lebih baik daripada yang ditawarkan Proton Saga.

PANDU UJI: Perodua Bezza 2020 – 1.0G dan 1.3AV

Yang saya maksudkan ialah ciri A.S.A 2.0. Ini ciri yang sama yang ada pada SUV Aruz, dan lebih maju daripada Myvi yang menggunakan versi 1.0. Ini termasuk sekali ciri brek kecemasan autonomous (AEB) yang berkesan sehingga kelajuan 80 km/j yang juga boleh mengesan pejalan kaki dalam kelajuan hingga 50 km/j. Ini suatu hal yang perlu diberi pujian kepada Perodua.

Dan, disebabkan ini jugalah saya merasakan yang versi Bezza 1.3L lebih berbaloi berbanding model 1.0L – hanya kerana kelengkapan ciri keselamatan yang ada. Jika pada varian 1.0 ada dua beg udara dan ABS, ia bagaimanapun tak datang dengan ciri kawalan kestabilan (VSC). Namun, bagi kedua-dua varian 1.3L, VSC ada ditawarkan bersama.

Ini agak kurang menarik sebenarnya, kerana jika VSC turut ditawarkan pada Bezza 1.0G automatik, maka Perodua akan ada kelebihan berbanding Proton. Ini kerana, jika diperhatikan pada Axia, varian 1.0 GXtra yang hanya lebih mahal RM1,500 berbanding satu varian tanpa VSC di bawahnya datang dengan ciri kawalan kestabilan berkenaan.

PANDU UJI: Perodua Bezza 2020 – 1.0G dan 1.3AV

Sekiranya Bezza 1.0G automatik ini datang dengan VSC, dan kita ambil harga RM1,500 yang sama pada Axia sebagai tambahan, maka harganya akan menjadi RM38,000. Ini adalah RM2,000 lebih murah jika dibandingkan dengan varian tertinggi Saga Premium yang turut menawarkan ciri sama, yang dijual pada harga RM40,000.

Tetapi, bandingkan pula harga bagi varian paling tinggi di antara Bezza dan Saga, maka Bezza 1.3AV lebih mahal kira-kira RM10,000 daripada Saga Premium. Ini satu langkau harga yang agak besar juga bagi kereta dalam segmen A. Cuma, apa yang perlu anda sedari ialah, perbezaan harga sebegitu disebabkan oleh penawaran sistem maju A.S.A 2.0 itu tadi – tak ada kenderaan dalam segmen A dan B yang sediakan ciri berkenaan pada harga yang ditawarkan oleh Perodua.

Dan, sekiranya ingin membeli Bezza 1.3AV dengan harga RM50,000 berkenaan, anda sebenarnya sudah boleh juga untuk meninjau-ninjau sedan lain dalam segmen B; yang saya maksudkan ialah Proton Persona. Kalau ada yang sudah terlupa, Proton Persona di dalam versi facelift 2019 ditawarkan bermula dari harga RM42,600 bagi varian paling asas hinggalah ke RM54,600 – ada pertindanan harga juga di situ antara Bezza dan Persona walaupun berada dalam segmen berlainan, yang membolehkan anda mempertimbangkannya sebelum membuat keputusan akhir.

PANDU UJI: Perodua Bezza 2020 – 1.0G dan 1.3AV

Dari segi pemanduan pula, bagaimana? Bagi saya, aspek berkenaan bukanlah kekuatan Bezza. Kereta berkenaan masih terasa telalu asas untuk membincangkan secara panjang lebar berkaitan pengalaman pemanduannya. Adakah ini satu masalah besar bagi Bezza? Saya fikir tidak, kerana kebanyakan pengguna sebenar bagi kereta seperti Bezza ini, dengan tanda harga dan penawaran yang diberikan, mungkin tidak terlalu cerewet tentang hal-hal seperti pemanduan. Asalkan boleh dipandu dengan mudah, kira oklah.

Cuma, jika kita bercakap secara objektif dan ingin membandingkan antara Bezza dan Saga, maka saya berpendapat Saga berada di dalam liga yang lain dari sudut pemanduannya. Walaupun kedua-duanya dalam segmen A, dengan ruang dan saiz kabin yang juga setanding, aspek pemanduanlah yang meletakkan Saga lebih di depan berbanding Bezza. Saga dirasakan lebih seronok untuk dipandu, lebih tegap dan stabil serta responsif. Boleh rujuk pengalaman penuh kami memandu uji Saga 2019.

Jadi, adakah Bezza ini berbaloi untuk dimiliki? Dengan angka jualan setakat ini sekitar 185,000 unit sejak diperkenalkan pada 2016, maka jelas bahawa Bezza ini agak popular dalam kalangan pengguna. Tentulah, bagi kebanyakan orang, kekurangan yang ada pada Bezza seperti yang dikupas ini bukanlah satu masalah. Ini kerana, ramai yang boleh faham tentang apa yang boleh dijangkakan daripada kereta seperti ini – sangat asas, tetapi memenuhi keperluan kepenggunaan dengan begitu cemerlang. Estetika dan aspek pemanduan jatuh ke tempat yang kedua dan seterusnya. Pandangan anda pula bagaimana?

Perodua Bezza 1.0G 2020

Perodua Bezza 1.3AV 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • ahpek celup on Aug 03, 2020 at 8:43 am

    Design bumper belakang paling kelakar….cuba nk tunjuk sporty walaupon nmpak mcm bangau…haha ha

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 16
  • YONG MENG HOW on Oct 27, 2021 at 9:39 pm

    Ahpek celup, sudah sudahlah cakap mcm bangau la. Ko tu pandai Complain tapi tidak idea yang bernas.

    Like or Dislike: Thumb up 5 Thumb down 1
  • Piau liang on Jun 29, 2022 at 10:17 am

    Saya guna bezza 1.0 auto,memang beza rasa drive dgn 1.3,1.0 terasa sangat bising dalam kabin,hentakan tayar ketika lalu jalan tak rata juga sangat kedengaran dan mengganggu,jadi mmg betul,sistem tebat bunyi tak ditetapkan untuk bezza 1.0,untuk 1.3,terasa smooth dan senyap masa drive walau jalan tak rata,namun terasa lembut saja

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required