PANDU UJI: Proton Saga 2019 – sebuah nota peribadi

PANDU UJI: Proton Saga 2019 – sebuah nota peribadi

Ketika saya memulakan tulisan ini, konvoi untuk sesi pandu uji media kumpulan pertama baru sahaja selesai. Kami telah meluangkan masa kurang lebih dua hari untuk mencuba dan memandu Proton Saga 2019 dalam perjalanan dari Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam menuju Ipoh dan kembali semula keesokan harinya. Lapan buah kereta dari varian Premium AT disediakan untuk media dengan setiap satunya dinaiki dua orang, purata masa yang saya habiskan untuk memandu sendiri Saga terbaru ini ialah sekitar tiga ke empat jam.

Masa selebihnya saya luangkan sebagai penumpang di tempat duduk depan dan juga belakang. Sudah tentu, ini bukanlah satu tempoh yang lama untuk memberi pandangan yang menyeluruh tentang kereta ini, tetapi ia sudah memadai untuk menerbitkan tanggapan pertama terhadapnya. Dan, tanggapan pertama tak boleh diperlecehkan, kerana ia sangat penting untuk menentukan perasaan atau kefahaman tentang Saga 2019.

Sejak pertama kali melihat model ini terletak elok di satu ruang luas di dalam Pusat Rekaan Proton – ketika itu, sedikit lebih awal daripada media lain dan sebelum pelancaran rasmi – sukar untuk melihatnya sama seperti imej dan penampilan sebelum ini. Memang ia masih menggunakan reka bentuk kerangka yang sama sejak versi Saga BLM pada 2008 – apatah lagi platform yang dikenali dengan kod P1 yang digunakan itu juga diwarisi sejak model Savvy dahulu – tetapi ada pernyataan lain yang ingin disampaikan oleh Saga 2019.

Ia ingin menjadi Saga yang baru; mewarisi sejarah panjang ketika model ini pertama kali dikeluarkan pada 1985, model terbarunya kini seolah-olah telah sampai pada tahap kematangan yang belum pernah dicapai oleh mana-mana versi Saga sebelum ini. Ia memang selalu menjadi model “entry-level” untuk Proton – juga dari diposisikan sebegai kereta dalam segmen B yang kemudiannya beralih kepada segmen A ketika ini – sukar untuk menafikan kematangan dan nilai yang diberikan oleh kereta ini.

PANDU UJI: Proton Saga 2019 – sebuah nota peribadi

Bagi saya, tidak susah pun untuk memahami posisi model ini di dalam barisan penawaran Proton, serta “pertarungannya” di dalam pasaran ketika ini. Proton Saga 2019 merupakan sebuah kereta sedan dalam segmen A. Dan, lawannya yang paling hampir tak ada lain selain Perodua Bezza. Setelah agak lama Saga tak mampu untuk memenangi imajinasi pengguna dalam segmen itu, kali ini saya rasakan ia betul-betul ingin kembali menggugat.

Cara Proton meletakkan model ini dalam posisi pasarannya juga sedikit berubah. Daripada sebuah penawaran yang paling rendah dan “kosong”, Saga 2019 kini mempunyai senarai kelengkapan yang cukup menarik. Dengan penggayaan yang ditampilkan kini cenderung lebih sporty dan seimbang, ia sedaya-upaya ingin menarik perhatian golongan muda; bukan lagi sekadar terhadap mereka yang mencari sebuah kereta pertama yang sangat asas, tetapi sebaliknya memberi kelebihan dan nilai tambah lain, antara yang paling jelas ialah imej yang dibawakan. Bandingkan antara penampilan Saga 2019 dan Bezza, anda akan faham maksud saya.

Saya biasanya kurang berminat dengan pengenalan versi facelift mana-mana kenderaan, terutama yang selalu kita lihat di Malaysia. Walaupun bukan semua, selalunya ia hanya melibatkan perubahan yang sangat kecil, bersifat luaran serta dengan matlamat untuk menyuntik sedikit kesegaran bagi membolehkan ia bertahan sedikit lebih lama dalam pasaran, mungkin lagi dua atau tiga tahun. Sekali lagi, Saga 2019 ini berhasil menyanggah andaian awal saya terhadapnya.

Walaupun kerangka asas – dan juga rekaan lampu depan dan belakang – yang masih sama, Saga 2019 mengandungi perubahan penting yang sarat dari segenap sudut. Ini agak menyenangkan, kerana jika saya meletakkan diri sebagai pembeli dan pengguna, tentulah saya mendapatkan seberapa banyak kelebihan daripada setiap sen yang saya keluarkan. Lebih banyak manfaat, lebih baik. Dan, inilah yang diberikan oleh Proton Saga 2019.

PANDU UJI: Proton Saga 2019 – sebuah nota peribadi

Ketika ini, saya rasa ramai yang sudah tahu apa pembaharuan yang dibuat terhadap sedan kompak Proton ini. Jadi, saya tak akan mengulang-ulang kaset yang sama dan membuatkan anda bosan. Jika ingin meneliti perincian-perincian seperti itu, rujuk laporan pelancaran rasmi serta perbezaan antara varian yang pernah kami terbitkan sebelum ini.

Bagi saya, pertanyaan lebih menarik tentang Saga 2019 ini ialah apa sebabnya Proton memilih untuk menggantikan transmisi CVT sebelum ini kepada jenis automatik empat-kelajuan (4AT). Kotak gear ini, yang diperoleh daripada Hyundai, juga digunakan oleh beberapa model Geely di China. Melalui hubungan dengan Geely, maka Proton juga menggunakan sumber pembekal yang sama untuk kotak gear Saga 2019 ini.

Tujuan keduanya ialah untuk memperjelas posisi penawaran dalam keseluruhan barisan kenderaan Proton ketika ini. Kiranya, bagi model “entry-level” Saga 2019 ini, pilihan kotak gear manual lima-kelajuan atau 4AT dirasakan lebih sesuai, serta untuk memisahkannya daripada penawaran model-model segmen B seperti Iriz dan Persona yang kekal menggunakan CVT, dalam maksud tahap penawaran yang juga sedikit lebih tinggi berbanding Saga 2019.

Kedua-dua CVT dan 4AT ini mempunyai kelebihan-kekurangan masing-masing. Bergantung kepada siapa anda bertanya, jawapan yang diterima juga akan berbeza. Bagi saya sendiri, jenis 4AT saya rasakan lebih berkemampuan untuk menyalurkan kuasa ke roda dengan rasa atau feel yang lebih memuaskan. Dan, seperti yang dapat dinilai dari pengalaman singkat memandu sedan ini, bunyi 4AT yang kedengaran di dalam kabin juga kurang menjengkelkan berbanding CVT. Maklum balasnya juga lebih saya gemari, kerana boleh dirasakan dengan jelas peralihan gearnya.

PANDU UJI: Proton Saga 2019 – sebuah nota peribadi

Cuma, jangan ingat 4AT tidak datang dengan kekurangan; dalam konteks penjimatan bahan api, rasanya CVT akan lebih berkesan untuk mencapai matlamat itu. Jadi, jangan hairan kalau anda memang pemilik Saga sebelum ini yang ingin beralih menggunakan Saga 2019, penggunaan minyaknya akan berlainan. Jadi, timbal-balik antara 4AT dan CVT ini ialah; sedikit lebih senyap dan responsif, tetapi kurang dari sudut kecekapan penyaluran kuasa serta penggunaan minyak.

Satu lagi perkara, entahkan menjadi kelebihan atau kekurangan yang datang sekali dengan kotak gear 4AT ini ialah ia lebih berat berbanding kotak gear CVT. Bagi saya, ini satu kelebihan, kerana faktor ini telah menjadikan Saga 2019 secara keseluruhannya lebih berat dan stabil. Tambahan berat ini bukan hanya datang dari 4AT sahaja, tetapi juga dari pertambahan sistem stereng dengan ciri yang kendalian atau kilasan yang lebih ringan untuk keluar-masuk parkir.

Disebabkan pembaharuan ini juga, suspensi yang digunakan kini, walaupun masih sama, telah diberikan talaan baru – untuk mengambil kira pertambahan berat yang terlibat, dengan keutamaan tetap diberikan untuk keselesaan keseluruhan. Hasilnya, seingat saya, jika dibandingkan dengan Saga dari tahun 2008 dan berikutnya, versi 2019 inilah yang mampu memberikan keyakinan yang lebih, terutamanya ketika memasuki selekoh dengan agak laju.

Kedua-dua maklum balas stereng serta suspensinya sangat baik, melebihi tahap purata yang biasanya diberikan bagi kenderaan segmen A, serta tidak membuatkan kereta terbuai atau teroleng dengan kadar yang berlebihan. Untuk saya, melihat perkara ini diberikan perhatian oleh Proton bagi sebuah kereta seperti Saga 2019, ia sesuatu yang patut dipuji.

PANDU UJI: Proton Saga 2019 – sebuah nota peribadi

Lagi satu perkara tentang kotak gear 4AT ini; di bawah gear D, terdapat satu lagi gear S yang selalu disebut sebagai Sport Mode. Apa yang dilakukan oleh gear ini bukanlah sekadar menurunkan kedudukan gear dari empat kepada tiga semata-mata. Memang, jika masuk gear S ini sebelum memotong misalnya, ia serta merta akan memberi tujahan tork yang lebih untuk membolehkan anda mendapat kuasa untuk meluncur. Tetapi, ia tidaklah sama seperti gear 3, 2 dan L yang biasa anda lihat.

Di dalam mod ini, pertama sekali ia memang akan mengekalkan kedudukan gear ketiga sahaja tanpa masuk gear keempat. Jika selepas memotong dan anda ingin kembalikan kedudukan rpm yang lebih tenang dan senyap, anda perlu alihkannya ke gear D semula. Dalam gear S, ia akan mengekalkan kedudukan digear ketiga, dan sekiranya anda terus menekan pedal minyak, kadar rpm akan menjadi semakin tinggi. Untuk saya, ini agak menyeronokkan juga ketika memandu; ada rasa kasar dan kuasa yang sampai.

Bezanya, sekiranya anda memasuki gear S, nisbah antara kedudukan gear 1, 2 dan 3 juga berlainan daripada ketika ia berada dalam kedudukan gear D – nisbahnya lebih pendek untuk memberikan kelebihan tork yang boleh diguna pakai bagi melonjakkan kereta supaya lebih bertenaga.

Ini satu tambahan unik yang menjadikan pengalaman pemanduan Saga 2019 ini jauh lebih menyeronokkan daripada versi Saga yang lama. Proton menunjukkan bahawa mereka benar-benar mahu keluar daripada kebiasaan penawaran sebelum ini. Secara ringkas, mod S ini adalah seiras dengan butang Overdrive Off (O/D OFF/ON) pada model-model lain yang dilengkapi transmisi 4AT.

PANDU UJI: Proton Saga 2019 – sebuah nota peribadi

Sepanjang memandu kereta ini, saya sendiri agak senang dan seronok dengan pengalaman keseluruhan ketika mengendalikan sterengnya. Serba-serbi terasa solid dan meyakinkan. Ruang kabin memang tak pernah menjadi masalah untuk Saga, semuanya terasa cukup luas. Bonus kali ini, jika bercakap dari sudut keselesaan, ia berjaya diletakkan satu tahap lebih tinggi dari yang dulu, bahkan jika dibandingkan dengan Bezza sekali pun.

Pertama, tempat duduk dengan balutan fabrik lembut yang digunakan. Nampak macam biasa saja, tetapi selepas anda luangkan masa untuk duduk di atasnya dalam perjalanan yang agak jauh sedikit, anda akan lebih menghargai ciri ini. Lembut dan sangat selesa. Perkara yang sama juga saya rasakan tentang tricot lining yang digunakan sebagai pelapik siling. Bagi saya, Proton tak perlu pun berikan semua perincian material seperti ini, tetapi mereka tetap juga sekalikan dalam satu pakej untuk menjadikan Saga 2019 lebih megah.

Ada satu lagi perkara yang perlu juga saya nyatakan kekaguman pada ruang kabin ini; kualiti skrin sentuh tujuh-inci serta sistem bunyi yang disediakan. Saya sendiri belum pernah menggunakan sistem infotainmen sebaik ini pada mana-mana kereta dari segmen A. Skrinnya bukan sahaja menampilkan estetika terapung; warna pada skrin juga sangat jelas dan menarik dan mempunyai definisi tinggi, kadar sensitiviti juga sangat baik menjadikan navigasi sistemnya melalui skrin sangat mudah dan bersahaja.

Jika anda ada telefon pintar Android, anda boleh gunakan sambungan wayar untuk paparkan skrin telefon pada skrin kereta; jika tiada, jangan risau – sambungan Bluetooth tetap tersedia, sesuai dengan selerera dan keperluan orang muda masa kini. Jangan kagum dahulu, tunggu sehingga anda mendengar kualiti sistem audionya pula. Model segmen A mana lagi yang ada floating screen, misalnya?

Untuk meletakkannya dalam cara yang paling mudah, bunyi yang dikeluarkan oleh sistem audio Saga 2019 mempunyai kuasa, imbangan dan penataan bunyi yang sangat baik. Tak berlebihan untuk saya katakan, kereta dari segmen B pun belum tentu mempunyai sistem bunyi yang sebaik ini. Bertenang dan rileks, pasang lagu kegemaran anda sepanjang perjalanan. Atau, untuk anak-anak milenial, boleh layan podcast sampai berdengung telinga.

Sedikit komen tentang sistem breknya. Walaupun ia meminjam cakera dan dram satu-inci lebih besar daripada Iriz/Persona, saya dapati ada sedikit “freeplay” ketika awal memijak pedal brek. Ia seolah-olah ada sedikit jarak kosong sebelum brake pad betul-betul mula menggigit permukaan cakera.

PANDU UJI: Proton Saga 2019 – sebuah nota peribadi

Bagi sesetengah orang, ini mungkin bukan masalah yang besar dan hanya perlu membiasakan diri. Tetapi saya sendiri lebih mahukan satu “aksi yang padu” boleh dirasakan ketika memijak pedal brek, biar ia terus mencengkam dengan segera. Apa pun, sebaik ia mula melekat pada cakera, daya breknya memang memadai dan lebih berkuasa untuk memberhentikan kenderaan dalam jarak yang menurut Proton, 1 meter hingga 1.8 meter lebih pendek berbanding Saga 2016 sebelum ini.

Sebagai rangkuman, saya fikir Saga 2019 memberikan banyak kelebihan kepada pengguna, baik dari sudut kelengkapan penawaran dan juga nilai tambah yang disertakan sekali. Ia juga merupakan satu-satunya model dari segmen A yang mana harga setiap variannya tak ada yang melepasi angka RM40,000. Untuk rekod, Perodua Bezza 1.3L Advance yang paling lengkap pula dijual pada harga RM46,409. Lihat juga kos penyelenggaraan antara Saga 2019 dan Bezza 1.3L yang kami sediakan, untuk mendapat gambaran dari sisi lain antara kedua-duanya. Begitu juga, jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang perbezaan kos antara kotak gear CVT dan 4AT.

Untuk saya sendiri, buat masa sekarang, Saga 2019 kembali merampas takhta sebagai sedan kompak paling berbaloi. Agaknya mungkin sebab ini jugalah ramai yang kembali yakin kepada Proton dan juga Saga 2019; setakat seminggu selepas pelancarannya, purata Proton mencatatkan 500 tempahan sehari. Ini tentunya satu hal yang baik untuk Proton. Dan lebih penting, Saga 2019 juga memberikan kelebihan yang banyak kepada pengguna. Pandangan anda pula bagaimana?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Azhar on Aug 16, 2019 at 6:34 pm

    Pesona 2016 ada

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Heard that this saga has a bigger fuel tank. Can someone confirm that

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Ipin Senggarang on Aug 26, 2019 at 10:39 am

    Saya cuma kecewa dengan material tempat duduk variasi basic untuk Saga 2019 ini… cuba anda rasa sendiri…

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 6
  • Victor Palau udeh on Aug 27, 2019 at 7:15 pm

    I wish I could owned this new proton saga vvt

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • saga 2019 ni bagi saya dalaman dia masih agak ketinggalan desingnya. serta pandangan sisi perlu touch up lagi.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • saga 2019 atau myvi 1.5 AV atau Bezza? mana yang berbaloi dan tahan lama dan jimat minyak.

    Like or Dislike: Thumb up 6 Thumb down 15
  • Saari on Mar 26, 2021 at 9:12 pm

    Secara keseluruhan saya merumuskan saga 2019 membawa gaya baru dan cuba bersaing design dgn model kereta lain. Senyum saya akan lebih kiranya panjang tingkap belakang lebih pendek dari hadapan, ia akan pak lebih sporty

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required