proton-saga-premium-drive-4-bm

Kereta mampu milik tidak semestinya rasa dan nampak murah. Ini barangkali mantra yang paling utama boleh dinyatakan – daripada banyak lagi perkara lainnya – ketika membicarakan tentang Proton Saga 2016. Dan, ungkapan berkenaan bukanlah datang entah dari mana, melainkan ia sebenarnya berkali-kali disuarakan oleh pengurusan Proton sendiri sebelum ini.

Apa tanggapan anda ketika pertama kali melihat kereta sedan ini secara berdepan? Adakah menepati jangkaan awal yang bermain dalam fikiran atau sebaliknya? Memang, seperti yang sudah kerap anda dengar, dalam konteks pengeluar kenderaan nasional antara Proton dan Perodua, ini merupakan “lawan” sebenar yang setanding bagi model Perodua Bezza – kedua-duanya berada di dalam kelas dan kelompok sasaran pasaran yang sama dan bertembung secara berdepan.

Namun, di antara keduanya terdapat beberapa “perbezaan”. Jika Perodua Bezza merupakan sedan pertama yang dihasilkan oleh pengeluarnya, Proton Saga pula merupakan penampilan dalam generasi ketiga kini. Semestinya unsur “yang pertama” pada Bezza secara semula jadi lebih mengghairahkan dan menarik lebih banyak minat dan perhatian dari pasaran. Dan, ia juga mempunyai satu lagi kelebihan – status EEV sebagai kenderaan cekap bahan api.

Ini sama sekali berbeza dengan Proton Saga 2016. Pasaran sudah terbiasa dengan imejnya sejak dahulu lagi, ketika mula diperkenalkan pada 1985. Di sebabkan hal ini, jangkaan terhadapnya juga tentulah sangat berbeza jika dibandingkan dengan sebuah model serba baharu yang pertama kali diperkenalkan seperti Perodua Bezza. Paling tidak, inilah perkara yang bermain di dalam fikiran kami.

Jadi, apa yang dijangkakan daripada Proton Saga di dalam “kelahiran” semulanya ini? Tentulah, sebuah produk yang semakin baik dan lebih matang berbanding sebelumnya. Daripada imej luaran, walaupun ia agak subjektif, Proton Saga mencadangkan kepada kita bahawa terdapat banyak perkara yang sudah dilakukan untuk meletakkannya di satu tahap baharu – usaha yang bersungguh-sungguh untuk memberikan nilai tambah kepada kereta mampu milik ini.

proton-saga-premium-drive-7-bm

Sewaktu pertama kali melihat secara langsung model ini, ia nampak seimbang – walaupun sedikit kecil – sebagai sebuah kereta sedan. Paling tidak, untuk saya, Proton Saga 2016 kelihatan lebih “lengkap” dan padat; sedap mata memandang. Inilah tanggapan pertama yang terbit. Dan itu sudah memadai untuk memberi satu isyarat yang baik dan positif terhadap model ini.

Saga baharu ini meminjam hampir 70% struktur badan dan platform yang sama daripada model Saga generasi sebelumnya. Tetapi, banyak penambah baikkan telah dibuat untuk meningkatkan keselesaan dan mengukuhkan struktur keseluruhannya, yang memberi kesan kepada sisi pemanduan yang mampu diberikan. Struktur badan berkenaan kini 20% lebih kukuh berbanding model yang lama.

Seperti juga pada model Persona, Saga kini turut menggunakan hanya tiga mounting pada bahagian enjin, bagi mengurangkan gegaran yang dapat dirasakan oleh penumpang dari dalam kabin. Dari segi rekaan juga, banyak sentuhan-sentuhan “halus” yang diberikan untuk menjadikan Saga ini lengkap dengan perincian yang mempertingkat tahap kualitinya, walaupun tanpa disedari pengguna.

Sebagai contoh, dari aspek pembuatan, bagi mendapatkan kesan jahitan seperti yang terdapat pada papan pemuka (sebagai satu elemen rekaan), ia kini hanya menggunakan lapan filem berbanding 11 filem pencetak atau pengeluaran untuk mendapatkan kesan yang sama ketika membuatnya untuk Proton Iriz dahulu. Dalam maksud lain, pengurangan kos memang menjadi tumpuan utama sepanjang membangunkan Saga ini, tetapi ia tidaklah sampai mengorbankan kualiti.

Contoh kedua berkaitan hal yang sama mungkin dapat dilihat pada bahagian lampu belakang Saga. Rekaannya tidak sekadar nampak lebih cantik, hasil akhirnya juga kemas dan nampak berkualiti. Jika dibandingkan dengan model lamanya, lampu belakang berkenaan kini terdiri daripada dua bahagian; yang utama terletak pada tempat yang sama pada badannya, manakala satu bahagian lagi pada penutup bonet. Bagaimanapun, dahulu ia menggunakan lampu LED, tetapi kini beralih kepada lampu biasa.

Ini sebaliknya menjadi kos tambahan yang perlu ditampung oleh Proton. Namun, mereka tetap melakukannya kerena beranggapan ia sesuatu yang perlu terhadap imej yang ingin dicapai melalui model terbaharu ini. Mungkin ini juga menjadi antara faktor yang menyumbang kepada penampilan yang lebih menarik dan meonjol pada bahagian belakang Saga, misalnya jika dibandingkan dengan rupa bahagian hadapannya.

Begitu juga soal ruang. Ruang kepala pada Saga sangat luas, lebih baik berbanding Bezza. Bagi penumpang belakang pula, ruang kaki yang tersedia kini lebih luas berbanding model yang sebelumnya. Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan lawannya Bezza, sedan Perodua ini masih lagi di depan. Sama juga dengan ruang but; Saga dengan 420 liter, manakala Bezza lebih luas dengan kapasiti 520 liter. Bagi Saga, penyandar kerusi belakangnya kini boleh diturunkan.

Secara keseluruhan, jika diperhatikan, Saga turut menerapkan satu lenggok imej yang turut sama dapat dilihat sejak dari model Iriz, dan diteruskan kemudiannya pada Perdana, Persona dan kini Saga. Ia mewarisi rupa yang seiras bagi keluarga besar barisan kenderaan Proton yang terkini. Itu bukanlah berlaku secara tidak sengaja; ia sebenarnya sudah dirancang dan ditentukan secara sedar, dan mengambil masa enam tahun untuk dizahirkan.

Adakah Proton Saga ini berhasil menjadi sebuah model yang lebih baik berbanding yang terdahulu? Kami berkesempatan memandu ujinya pada Isnin lalu dalam perjalanan ke Ipoh. Ia menjadi pengalaman pertama saya memandunya secara peribadi, dan juga kesempatan pertama untuk meninjau – dalam tempoh yang singkat – bagaimana prestasi Saga di atas jalan raya di Malaysia.

Ini bukanlah kali pertama kami memaparkan laporan pandu uji Saga. Sebelum pelancarannya 28 September lalu, rakan sekerja turut berpeluang memandu ujinya di litar Proton, untuk beberapa pusingan ringkas – sekadar untuk mendapat gambaran awal tentang prestasinya. Inilah kali pertama kami mencubanya sebagaimana pengguna biasa; di atas jalan raya untuk menyelesaikan tugas-tugas harian.

Apa tanggapan setelah mencubanya? Pertama sekali, perkara paling utama yang perlu dinyatakan ialah, Saga kini sudah berada ditahap yang sebelum ini belum pernah dicapainya. Ketika Proton menyatakan bahawa banyak kemaskini dan peningkatan yang dilakukan, itu bukanlah cakap-cakap kosong.

Paling mengkagumkan tentunya prestasi keseluruhan yang diberikan. Kini dengan enjin 1.3 liter VVT yang diwarisi daripada model Iriz, dengan kuasa yang dijana ialah 94 hp dan 120 Nm. Kami hanya berpeluang memandu varian Premium yang dilengkapi transmisi CVT sepanjang dua hari acara itu berlangsung. Transmisi manual turut ditawarkan, tetapi hanya pada varian Standard.

Sejak awal mengendali sterengnya dan memacu arah sepanjang perjalanan, Proton Saga baharu ini lebih banyak menerbitkan perasaan yang positif. Walaupun sebagai sebuah sedan dalam segmen A jika menurut Proton, ia tidak terasa kosong. Untuk sekadar berada di dalamnya sahaja sudah cukup untuk kita merasakan bahawa ia mempunyai banyak sisi yang akan membuatkannya benar-benar berbaloi.

Untuk berada di tempat duduk pemandu mungkin yang paling mengujakan. Proton Saga tidak menyediakan aspek pemanduan yang membosankan. Ia sebaliknya terasa begitu jitu dan padu, bagi kenderaan dalam kelas yang sama tentunya. Maklum balas stereng hidrauliknya betul-betul serasi saya rasakan. Ia ada “berat” yang diperlukan. Jika dibandingkan dengan yang lama, ia bagaimanapun lebih ringan, dengan radius pusingan yang lebih rapat.

Jika dibandingkan dengan Perodua Bezza, ia menggunakan stereng dengan ciri Electronic Power Steering (EPS) yang bagi sesetengah orang, mungkin terlalu ringan dengan radius pusingan yang lebih rapat pada 4.5 meter. Ini bagaimana dijangkakan, kerana saiznya yang lebih kecil.

Sebagai contoh, melalui jalan-jalan selekoh di lebuh raya, kereta ini dapat mengekalkan garis pemanduan yang dikehentaki oleh pemandu dengan begitu baik. Begitu juga dengan penyaluran kuasanya; walaupun hanya ditawarkan dengan enjin 1.3 liter sahaja, ia tidak terasa terbeban. Mungkin, jika anda memandunya dengan kapasiti lima penumpang dewasa, barulah akan terasa beban yang dimaksudkan.

Jika dikendalikan dalam keadaan biasa, seperti gaya pemanduan normal penggunaan seharian, sedan ini menyediakan pengalaman yang sangat menyenangkan. Dari kedudukan pegun hendak bergerak, sehinggalah mengumpul daya untuk memecut, semua dirasakan sangat mudah. Bahkan, di dalam kelajuan yang semakin meningkat, ia sangat stabil meredah jalanan. Pada kebanyakan kenderaan, ketika tiba pada kelajuan tinggi tertentu, kita akan berasa sedikit gementar dan risau.

Bagaimanapun, dengan Saga, itu tidak berlaku. Bahkan, daripada teman media lain yang sempat memandu versi manual, dengan momentum biasa dan ketika hendak memotong dilebuhraya dalam gear lima, menurut mereka ia boleh dilakukan tanpa banyak masalah. Ini sesuatu yang bagus. Maksudnya, kuasa yang tersedia adalah memadai untuk memenuhi keperluan pemandu.

Macam mana pula dengan transmisi CVT? Ringkasnya, tidak mengecewakan. Memang, semakin laju anda memandu, akan semakin jelas juga bunyi dari enjin dan transmisi yang akan kedengaran di dalam kabin. Namun, setakat untuk pemanduan santai pada kelajuan 110 km/j, ia senyap dan sangat selesa. Sepanjang masa anda akan memandu dengan tenang; misalnya, pada kelajuan yang semakin meningkat, tak ada gegaran ketara dirasakan pada stereng. Ia kekal stabil dan meyakinkan.

Hal yang sama dengan sistem suspensinya; tidak terlalu lembut seperti pada model sebelumnya, tetapi tidak juga terlalu keras sehingga mengorbankan keselesaan penumpang. Ia berada pada talaan yang cukup baik, bagi memenuhi keperluan serta tujuan rekaan model ini. Lantunannya tidak melebih-lebih, misalnya selepas melalui bonggol. Kereta terasa tegap sepanjang masa, tidak teroleng atau bergoyang tak tentu hala.

proton-saga-premium-drive-11-bm

Seperkara lagi yang perlu juga disentuh ialah sistem audionya. Sepanjang perjalanan ke Ipoh, dengan hanya siaran radio berkumandang di dalam kereta, tidak begitu terasa ada sesuatu yang istimewa tentang unit radio dan sistem audio Saga ini. Namun, setelah beberapa maklum balas menyatakan bahawa ia antara yang terbaik, bahkan sekiranya dibandingkan dengan model-model yang jauh lebih mahal, kami pun mencuba sekali lagi.

Kali ini melalui sambungan Bluetooth, dengan muzik yang dimainkan dari telefon pintar. Dan, kami juga harus bersetuju dengan pandangan berkenaan – ia sangat baik jika mengambil kira segmen penawarannya. Mungkin ini bukan sesuatu yang terlalu penting buat sesetengah orang. Tetapi, jangan lupa, Saga disasarkan sebagai kenderaan pertama atau kepada golongan muda yang ingin memiliki kenderaan. Sudah tentu, di zaman ini, sistem audio yang baik sebagai ciri standard merupakan satu bonus.

Bagaimana pula dengan bacaan penggunaan api Saga? Menurut Proton, versi CVT yang kami pandu mampu mencapai bacaan 5.6l/100 km secara purata, berbanding 6.3l/100 km pada model lama. Sayangnya, perkara ini tidak dapat kami tinjaukan. Ini kerana, ciri paparan purata penggunaan minyak tidak disediakan sebagai pilihan pada bahagian meter yang digunakan.

Tanda anak panah yang menunjukkan kedudukan bukaan isian minyak di sebelah mana juga tidak disediakan. Sebagai bandingan, Perodua Bezza EEV 1.3l AT dengan pengiktirafan EEV pula disifatkan mampu memberikan bacaan sekitar 4.5l/100 km (atau 22 km/ liter); lebih baik berbanding yang diberikan oleh Saga.

Untuk segmen penawarannya, Proton Saga generasi terbaharu ini mempunyai banyak kelebihan untuk ditawarkan. Bukanlah sebuah model yang sempurna, tetapi ia sudah jauh meninggalkan imej lamanya yang nampak murah dan kosong. Penampilannya kini jauh lebih kemas dan matang. Prestasinya juga boleh dibanggakan.

Apa yang boleh diperkaiki, jika ada? Tempat duduknya. Mengapa? Ia hannya boleh dilaraskan ke depan dan belakang, serta sudut bahagian bawahnya sahaja. Tiada selarasan bagi ketinggian tempat duduk disediakan. Di sebabkan itu, kedudukan stereng walaupun pada tahap maksimumnya sedikit menghalang penglihatan saya pada panel meter. Stereng Saga boleh dilaraskan atas-bawah sementara pada Bezza ia adalah tetap.

Dari segi keselamatan, Saga diberi penarafan empat bintang bagi Asean NCAP bagi keseluruhan varian yang ditawarkan. Ini lebih baik daripada yang sebelumnya; ia kini dilengkapi juga dengan Isofix. Bagaimanapun, bagi varian standard, ia tidak akan dilengkapi dengan ciri ABS. Sebaliknya, varian paling tinggi Perodua Bezza diberi penarafan lima bintang Asean NCAP dan mendahului dari aspek ini.

Pada harga yang ditawarkan, Proton Saga ini mempunyai pakej keseluruhan yang sangat berbaloi; dengan varian tertinggi pada harga RM45,800. Ini lebih rendah daripada harga yang ditawarkan pada Bezza. Bagaimanapun, dengan varian tertinggi pada Bezza, ia turut ditawarkan dengan lebih banyak ciri seperti skrin sentuh, keyless entry dan tempat duduk kulit.

Dengan statistik tempahan terkini yang mencecah 6,000 unit, Saga yang sejak dulu merupakan model terpenting bagi Proton sudah tentu dapat menggalas tugas berkenaan sekali lagi. Selepas pengalaman singkat memandunya awal minggu ini, kami juga yakin terhadap setiap perkara yang dilakukan ke atasnya untuk menjadikan model berkenaan lebih berdaya saing dan menguntungkan pengguna. Sebagai sebuah produk akhir, Proton Saga terbahru ini bukan sahaja sangat memuaskan, bahkan melangkaui jangkaan awal kami sendiri.