Minggu lepas Proton telah melancarkan Saga facelift terbaru, yang bersaing terus dengan Perodua Bezza. Dengan harga yang bermula RM32,800 (tanpa insurans) untuk varian paling asas, ia tentunya satu pilihan yang menarik, tetapi ada yang mahu mengetahui kos penyelenggaraannya.

Untuk itu, kami telah mengumpulkan maklumat berkenaan perkara ini, dan anda sekarang boleh melihat dengan lebih mudah berapakah kos untuk menjaga dua model sedan ini. Maklumat yang anda lihat ini boleh didapati daripada laman web Perodua serta aplikasi MyProton.

Untuk menjadikan perbandingan ini wajar dan adil juga, kami cuma akan mengambil Bezza varian 1.3 liter kerana itulah kapasiti enjin sama yang digunakan bagi Saga baru untuk semua varian yang ditawarkan.


Klik untuk besarkan

Untuk transmisi pula, Bezza 1.3L ditawarkan dengan unit manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan bagi varian Premium X, manakala varian Advance paling tinggi pula cuma datang dengan transmisi automatik empat kelajuan. Saga juga mempunyai pilihan transmisi yang sama, tetapi unit empat kelajuannya adalah baru dan menggantikan unit CVT yang digunakan sebelum ini. Hanya varian Standard ditawarkan dengan transmisi manual dan automatik manakala varian Premium cuma datang dengan transmisi automatik.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi ini, secara keseluruhannya Saga adalah lebih murah untuk dijaga berbanding Bezza dalam tempoh lima tahun/100,000 km, tak kiralah transmisi apa pun yang dipilih. Walaubagaimanapun, perbezaannya tidaklah begitu besar, dengan yang paling tinggi adalah RM92.97 bagi versi automatik.

Melihat kepada jadual servis berkala mengikut barang, anda dapat menyaksikan penapis udara serta palam pencucuh Saga perlu ditukar lebih kerap berbanding Bezza. Walaupun begitu, kos penukaran barang ini dalam tempoh 100,000 km bagi Saga masih lagi lebih murah berbanding Bezza kerana enjin 1NR-VE Bezza menggunakan palam pencucuh iridium manakala Saga menggunakan palam pencucuh biasa.


Proton Saga 2019 1.3L AT dan MT; klik untuk besarkan

Bezza juga menggunakan penapis udara lebih mahal, yang perlu ditukar dalam selang masa 40,000 km dan 80,000 km, atau setiap 20,000 km sekiranya anda memilih jadual servis penyelenggaraan Pro Care (pilihan tambahan) yang disediakan oleh Perodua.

Mahu juga dinyatakan di sini bahawa minyak transmisi automatik Bezza perlu ditukar pada 40,000 km dan 80,000 km, manakala Saga pula cuma perlu melakukan perkara yang sama pada 60,000 km. Tetapi, jumlah dua kali penukaran pada Bezza adalah kurang berbanding penukaran satu kali pada Saga.

Untuk versi manual pula, minyak transmisi Bezza adalah lebih murah berbanding Saga, meskipun ia perlu dtukar dua kali sepanjang 100,000 km. Pada bahagian lain, Saga juga memerlukan penukaran penapis minyak setiap 30,000 km dan penukaran tali sawat FEAD, sementara pada Bezza ia tidak perlu dilakukan.


Perodua Bezza 1.3L AT (kiri), MT (kanan); klik untuk besarkan

Kos penyelenggaraan Bezza sebenarnya boleh jadi lebih tinggi sekiranya anda memilih pakej Pro Care, yang termasuk penukaran minyak brek, palam pencucuh serta penapis udara lebih kerap. Perodua juga menyarankan penjajaran semula tayar serta servis pendingin hawa pada tempoh masa tertentu, di mana untuk Saga ia tidak dinyatakan.

Anda juga perlu tahu bahawa masih ada beberapa lagi faktor yang tidak diambil kira di sini seperti penggunaan bahan api serta bahan lusuh lain seperti pad brek, penyerap hentak, bateri serta tayar yang berbeza antara dua model ini, serta cara penggunaan pemilik masing-masing.

Dengan semuanya telah ditunjukkan di sini, apakah pendapat anda berkenaan kos penyelenggaran Saga dan Bezza? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen. Angka yang ditunjukkan adalah berdasarkan apa yang terpapar dalam laman web pengeluar pada waktu artikel ini ditulis, dan harga sebenar mungkin boleh berubah.