Perodua dedah teaser kedua SUV D38L – wajah lain dari Rush, ASA 2.0 dengan pengesan pejalan kaki

Perodua dedah <em>teaser</em> kedua SUV D38L – wajah lain dari Rush, ASA 2.0 dengan pengesan pejalan kaki

Isnin lalu, Perodua telah mula mendedahkan iklan teaser pertama bagi model terbaru keluarannya, sebuah SUV yang dikenali dengan kod nama D38L (atau dipanggil juga dengan nama New Sport Utility, NSU). Iklan awal itu menampakan sosok SUV berkenaan – yang tampil dengan bentuk yang sama dengan Toyota Rush – dan mempunyai tiga barisan, tujuh-tempat duduk.

Kali ini, Perodua muncul lagi dengan iklan teaser kedua bagi model sama. Jika yang pertama memberi tumpuan kepada saiz dan ruang yang ditawarkan, iklan kedua ini memberi tumpuan kepada aspek keselamatan pula.

Mengikut jejak yang dimulakan oleh Myvi, SUV Perodua akan datang juga akan dilengkapi dengan enam beg udara dan sistem keselamatan Advanced Safety Assist (ASA). Tetapi, bagi penawaran terbaru kali ini, sistem berkenaan telah dikemaskini kepada ASA 2.0 dengan tambahan ciri pengesanan pejalan kaki.

Perodua dedah <em>teaser</em> kedua SUV D38L – wajah lain dari Rush, ASA 2.0 dengan pengesan pejalan kaki

Bagi Toyota Rush untuk pasaran tempatan, yang merupakan model yang berkongsi banyak persamaan dengan SUV Perodua ini, didatangkan dengan Sistem Pra-Perlanggaran (PCS). Ia merupakan versi yang ditambahbaik dari ASA yang digunakan Myvi; kelajuan aktifnya kini dinaikkan kepada 80 km/j (dari 30 km/j) serta pengesanan pejalan kaki dan membrek sehingga 50 km/j. ASA 2.0 yang dinyatakan ini sepatutnya akan menerima peningkatan yang sama.

Dalam iklan terbaru ini, Perodua menunjukkan juga bahagian atas wajah depan NSU berkenaan, yang menampakkan persamaan dan perbezaannya berbanding Rush. Bonet dengan dua garis alun yang jelas nampak sama, begitu juga dengan bentuk lampu utama dan gril. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa kedua-dua model ini sebenarnya ada pertalian rapat, tetapi dipisahkan dari sudut perincian yang lain.

Gril pada SUV Perodua ini mempunyai lebih satu bilah; di kedudukan kedua, ia bertindak sebagai sayap bagi logo Perodua yang ditempatkan di tengahnya. Satu bilah krom dalam warna yang lebih cerah pula menghubungkan DRL dari kedua-dua sisi, dengan ketebalan yang sama. Lihat lebih dekat, DRL itu juga berbeza, mempunyai dua jalur berbanding Toyota Rush.

Bahagian bawah bampar juga kelihatan ada sentuhan unik untuk versi Perodua. Bahagian berkenaan pada Rush nampak lebih besar dan agresif, manakala bagi unit Perodua ini ia kelihatan lebih ringkas. Wajah SUV Perodua ini juga berbeza dari Daihatsu Terios di Indonesia; Terios lebih mirip kepada penampilan Rush – gril krom yang lebih jelas, dengan bilangan bilah gril yang sama seperti Rush.

Dalam iklan berkenaan, Perodua menyatakan yang D38L ini “mesra subsidi petrol”, dengan penggunaan enjin 1.5L. Rush menggunakan enjin 2NR Dual VVT-i yang sama dengan Myvi, dan kami jangkakan SUV Perodua ini juga akan gunakan unit jana kuasa yang sama. Bagi model Toyota itu, penggunaan minyak didakwa boleh mencapai 15.6 km/l, yang membolehkan SUV berkenaan tergolong sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

Kita juga boleh mengandaikan bahawa SUV Perodua nanti akan dijual pada harga yang lebih rendah berbanding “saudaranya” yang dipasarkan oleh Toyota; harga anggaran bagi Rush ialah dari RM93k hingga RM98k. Pesaing paling rapat SUV Perodua ini pula sebenarnya ialah Honda BR-V, yang dijual antara RM81k hingga RM88k. Jadi, ada kemungkinan D38L ini akan dijual pada harga sekitar RM70k, dengan kelebihan ciri seperti ASA 2.0?

Jika ini menjadi kenyataan, adakah SUV Perodua nanti menjadi pilihan yang sangat berbaloi? Jangan lupa untuk daftarkan minat anda di sini.


GALERI: Toyota Rush 1.5 S 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required