SUV Perodua D55L tidak akan dilancarkan tahun ini

SUV Perodua D55L tidak akan dilancarkan tahun ini

Tahun ini ramai yang menjangkakan bahawa akan ada ‘perang SUV segmen-B’ dari dua jenama tempatan iaitu Proton X50 dan juga SUV Perodua berasaskan Daihatsu Rocky dikenali dengan kod D55L. Namun berita yang baru kami terima, Perodua mengesahkan bahawa SUV terbaharu yang sedang dibangunkan oleh mereka itu tidak akan dilancarkan tahun ini.

Perkara ini disebut oleh presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad selepas kami bertanyakan perkembangan terkini model tersebut memandangkan negara kini sedang dilanda Pandemik Covid-19 ketika sesi sidang media selepas berlangsungnya acara penyerahan sijil kepada vendor Perodua semalam, yang diadakan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Menurut beliau lagi, pelancaran SUV segmen-B tersebut bukannya ditunda kerana pandemik berkenaan, sebaliknya Perodua memang tidak merancang untuk melancarkannya pada tahun ini. Perkara ini nampaknya bercanggah dengan laporan sebelum ini yang menyatakan bahawa D55L telah dirancang untuk dilancarkan pada suku kedua tahun 2020.

SUV Perodua D55L tidak akan dilancarkan tahun ini

“Saya tak boleh kata bila, tetapi dalam perancangan asal kami ia tidak akan dilancarkan pada tahun ini. Walau bagaimanapun, kerana kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya, kami perlu merangka semula jadual, dan ketika ini kami belum lagi membuat keputusan bila mahu melancarkannnya ,” jawab Zainal.

Ketika pembentangan prestasi tahunan untuk 2019 pada Januari lalu, Perodua mengatakan bahawa mereka merancang untuk melabur sejumlah RM1.06 bilion, atau sekali ganda berbanding jumlah yang dikeluarkan untuk tahun 2019, untuk proses modenisasi dan memperbesarkan kilang serta persedian untuk memasang “model akan datang”, yang dijangka adalah SUV D55L tersebut. Mungkin kerana pandemik dan juga PKP berberapa bulan sebelum ini telah mengganggu atau melambatkan rancangan Perodua bagi melengkapkan fasiliti mereka mengikut jadual asal.

Permintaan yang naik tanpa dijangka bagi model-model sedia ada selepas kerajaan mengumumkan pengecualian cukai jualan sehingga hujung tahun ini juga mungkin penyebab pelancaran D55L ini ditangguh. Setakat ini, Perodua mempunyai kemampuan untuk memproduksi sekitar 25,000 kenderaan sebulan, dan mereka telah menggunakan sekitar 98 hingga 99 peratus kapasiti produksi mereka.

Unit prototaip D55L yang dijumpai sedang diuji (kiri atas), model konsep Perodua X-Concept (kiri bawah) dan Daihatsu Rocky pasaran Jepun (kanan)

Menurut Zainal lagi ini akan berterusan sehingga Disember nanti bagi memenuhi permintaan dari pasaran. Dari perspektif perniagaan, keutamaan yang diberikan tersebut adalah logik kerana mereka perlu menghasilkan seberapa banyak kereta yang boleh sebelum cuti cukai ini berakhir pada 31 Disember nanti.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, D55L merupakan kembar kepada Daihatsu Rocky dan Toyota Raize pada pasaran Jepun, dihasilkan dari platform baharu DNGA, dan dijana oleh enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo menghasilkan 98 PS dan tork maksima 140 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT dan hanya memacu roda hadapan.

Walau bagaimanapun, rekaan sebenar SUV ini masih lagi sukar untuk digambarkan – boleh jadi Perodua hanya menukar berberapa perincian seperti yang mereka buat pada kembar Toyota Rush-Daihatsu Terios-Perodua Aruz, atau mungkin menghasilkan badan atas tersendiri seperti Myvi generasi ketiga dan Bezza dengan rekaan berasaskan model konsep Perodua X-Concept.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required