Ketika pembentangan prestasi jualan Perodua sebentar tadi, pengeluar kereta nasional kedua itu turut mendedahkan rancangan masa hadapan mereka, khususnya berkenaan antara model yang paling ditunggu-tunggu iaitu SUV segmen-B yang dikenali dengan kod nama D55L.

Sehingga kini, pelbagai teka-teki menunjukkan SUV tersebut akan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), yang pertama kali digunakan pada model Daihatsu Rocky generasi baharu telah pun membuat kemunculan di Tokyo Motor Show 2019 Oktober lalu.

Hari ini, Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad mengesahkan bahawa mereka sememangnya berupaya untuk melancarkan satu model baharu tahun ini berdasarkan keupayaan “1 tahun, 1 model facelift dan 1 model baharu sepenuhnya”; satu model facelift iaitu Bezza 2020 sudah pun dilancarkan, manakala model baharu selepas ini akan dihasilkan menggunakan platform DNGA.

“Model baharu kami akan menggunakan DNGA,” tegas Dato’ Zainal ketika ditanya berkenaan projek D55L tersebut, seterusnya membayangkan bahawa D55L adalah kembar langsung kepada Daihatsu Rocky dan Toyota Raize (juga muncul di TMS 2019) untuk pasaran Malaysia. Persoalan seterusnya, adakah D55L ini nanti turut akan dijana oleh enjin 1.0L tiga-silinder turbo seperti Rocky, atau hanya diberikan enjin-enjin sedia ada seperti enjin 2NR-VE 1.5L NA dari Myvi?

Perodua turut mendedahkan hala tuju masa hadapan syarikat itu, antaranya bagi memperkenalkan enjin-enjin yang jauh lebih kompak dari apa yang mereka ada sekarang, seiring dengan trend yang sedang meningkat naik di seluruh dunia.

Menurut Perodua, pembuat-pembuat kereta diperingkat global kini sedang mengecilkan kapasiti enjin mereka bagi memenuhi piawaian pencemaran alam sekitar yang semakin ketat, dalam pada masa sama menggunakan unit pengecas turbo bagi menghasilkan jumlah kuasa yang sama dengan enjin dengan kapasiti lebih besar.

Apa yang didedahkan oleh Perodua ini mungkin petunjuk bahawa D55L, bukan sahaja berkongsi platform dengan Daihatsu Rocky, malah hampir pasti akan diberikan enjin 1KR-VET 1.0 liter turbo tiga-silinder berkuasa 98 PS/140 Nm bersama transmisi CVT automatik serupa dengan kembar JDM-nya itu.

Antara hala tuju strategik lain yang turut dinyatakan oleh Dato’ Zainal pagi tadi termasuk adaptasi teknologi pemanduan autonomous tahap dua untuk model-model akan datang, di mana sistem berkenaan kini sudahpun diterapkan pada Daihatsu Rocky.

Perodua juga kini sedang berusaha untuk memendekkan tempoh purata antara permulaan produksi satu unit dan permulaan produksi unit seterusnya (takt time) untuk kedua-dua kilangnya iaitu Perodua Manufacturing Sdn Bhd (PMSB) dan Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd (PGMSB) yang lebih baharu.

Buat masa sekarang, takt time untuk Myvi di PMSB adalah 1.8 minit, manakala Axia dan Bezza yang dihasilkan di PGMSB pula adalah 2 minit. Dalam perancangan baharu yang sedang dibuat, takt time untuk PGMSB disasarkan akan berkurangan sehingga 1.6 minit menjelang September tahun ini.

Dengan perancangan ini, boleh dijangka pengurangan takt time tersebut adalah sebahagian petunjuk bahawa D55L mungkin akan dihasilkan di PGMSB, dan SUV segmen-B tersebut berkemungkinan akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

Perodua turut mengumumkan bahawa mereka akan meningkatkan pelaburan mereka dengan tambahan RM490.1 juta kepada RM1.06 bilion, dimana 20% (sekitar RM200 juta) dikhaskan untuk fasiliti pembuatan – ini satu lagi petanda mereka sedang memastikan segalanya berjalan lancar ketika D55L ini dilancarkan nanti.

GALERI: Daihatsu Rocky di Tokyo Motor Show 2019