Daihatsu telah mendedahkan sebuah SUV segmen-B misteri tanpa nama di Tokyo Motor Show 2019 bulan lalu, dan kemudian ia didedahkan akan dijual dengan menggunakan semula nama Daihatsu Rocky. Model yang diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) turut dihasilkan Toyota dengan nama Toyota Raize. Oleh kerana Perodua juga kini sedang membangunkan sebuah SUV segmen-B berasaskan platform DNGA yang sama dikenali dengan kod D55L, khabar bertiup mengatakan bahawa model ini mungkin akan menjadi seperti kembar Daihatsu Terios/Toyota Rush/Perodua Aruz.

Jadi secara tiba-tiba, hype yang mendominasi SUV segmen-B yang sedang dibangunkan Proton iaitu X50 berasaskan Geely Binyue mula ‘dikacau’ dan orang ramai mula dibanding-bandingkan dengan SUV dari Perodua berkenaan. Jadi daripada anda mencongak dalam kepala, di sini kami sediakan perbandingan berkenaan dalam bentuk artikel dan carta, bersama penguasa segmen berkenaan setakat ini di Malaysia iaitu Honda HR-V, dan juga perbandingan ciri dan saiz terhadap model lebih besar iaitu Aruz dan Proton X70 bagi mudah untuk anda membayangkannya.

Namun anda perlu ingat, perbandingan yang kami lakukan ini bukanlah perbandingan jenis epal-ke-epal kerana sudah tentu model yang dihasilkan oleh Proton nanti akan lebih premium berbanding versi oleh Perodua yang lebih mensasarkan pasaran lebih mampu milik. Berdasarkan data-data asas, anda boleh lihat selain dari spesifikasi, saiz Perodua D55L ini juga adalah lebih kecil dari Proton X50. Juga perlu anda ketahui, spesifikasi dan kelengkapan yang kami senaraikan pada setiap model ini adalah dari model-model asal untuk pasaran asal Daihatsu/Toyota dan Geely, dan ia mungkin akan berubah pada model produksi untuk pasaran Malaysia nanti.

Sekarang, kita mulakan dengan Rocky/Raize. Walaupun dikelaskan dalam segmen-B, saiz SUV ini sebenarnya sedikit lagi hampir menyamai model dari segmen-A yang lebih kecil dengan panjang keseluruhan tidak sampai 4 meter (3,995 mm) dan lebar pula hanya 1,695 mm.

Klik untuk besarkan

Binyue pula adalah SUV dalam saiz segmen-B sebenar dengan ukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar atau 335 mm lebih panjang dan 100 mm lebih lebar dari model Daihatsu/Toyota berkenaan. Dari segi jarak roda juga Binyue 75 mm lebih panjang tetapi ia lebih rendah dengan 1,609 mm berbanding Rocky dengan 1,620 mm – sebab itulah model dari Geely berkenaan nampak lebih ‘leper’ dan sporty berbanding Daihatsu tersebut.

Dari segi kelengkapan juga Binyue nampaknya mengatasi Rocky/Raize dengan pelbagai ciri yang ditampilkan tiada pada lawannya dari Jepun berkenaan seperti bumbung panaromik, sistem penghawa dingin dua zon, penyegar udara dan juga tempat duduk pemandu dengan larasan elektrik.

Untuk sistem infotainmen, Rocky diberikan skrin sesentuh sembilan-inci dengan fungsi Apple CarPlay, manakala Binyue bukan sahaja dilengkapkan dengan skrin 10.25-inci yang lebih besar malah turut diberikan sistem Geely Key User Interface (GKUI) yang lebih canggih bersama fungsi kawalan menggunakan suara.

Untuk keselamatan pula, kedua-dua model dari Jepun dan China berkenaan dibekalkan dengan enam-beg udara dan kawalan kestabilan dan juga berberapa fungsi bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik dan cruise control adaptif. Namun Binyue mempunyai kelebihan kerana turut diberikan sistem bantuan kekal lorong dan juga kebolehan pemandua autonomous tahap dua serta pemantau titik buta.

Kedua-dua seteru ini juga dibekalkan dengan sistem bantuan parkir, tetapi Binyue menampilkan fungsi penuh di mana komputer akan mengawal pendikit dan juga stereng, manakala pada Rocky hanya roda stereng yang berputar secara automatik. Walau bagaimanapun, hanya Rocky/Raize diberikan kawalan pedal misapplication yang mengelakkan kemalangan sekiranya pemandu tersalah menekan pedal pendikit, dan sistem ini tiada pada Binyue.

Sistem janakuasa juga nampaknya lebih berpihak pada Binyue. Model dari China ini dijana oleh enjin 1.5 liter yang dibina bersama Volvo, menghasilkan kuasa 174 hp/255 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Di China, ia turut hadir dengan pilihan janakuasa plug-in hybrid tetapi Malaysia berkemungkinan besar tidak akan menerimanya.

Manakala Rocky dan Raize digerakkan oleh enjin tiga-silinder 1.0 liter turbo berkuasa 98 PS/140 Nm digandingkan dengan kota gear CVT automatik atau enam-kelajuan manual. Adakah Perodua akan menggunakan enjin yang sama untuk versi mereka kelak? Ada kemungkinan besar, tetapi tidak mustahil jika mereka akan terus memberikan enjin 1.5 liter NA yang sama seperti Myvi dan Aruz dengan kotak gear 4AT. Unit janakuasa hibrid seperti yang didedahkan pada KLIMS 2018 juga ‘ada can‘ untuk dilihat pada D55L nanti.

Buat masa sekarang, kedua-dua produk dari Proton dan Perodua ini masih lagi dalam pembangunan, jadi masih terlalu awal untuk kita bincangkan berkenaan perbezaan harga. Namun apa yang boleh dijangka, X50 akan dijual lebih murah dari X70 (berharga RM99,800 hingga RM123,800), manakala D55L pula akan dijual lebih murah dari Aruz (berharga RM72,900 hingga RM77,900).

GALERI: Toyota Raize

GALERI: Geely Binyue