SUV segmen-B Daihatsu di TMS 2019 sah Rocky generasi baharu – apa pula nama untuk Perodua?

SUV segmen-B Daihatsu di TMS 2019 sah Rocky generasi baharu – apa pula nama untuk Perodua?

Ruang pameran Daihatsu di Tokyo Motor Show 2019 minggu lalu agak ‘panas’ di kalangan media-media dari Malaysia kerana kehadiran sebuah SUV segmen-B misteri yang tidak mempunyai nama, tetapi dikaitkan dengan SUV segmen-B baharu dari Perodua yang kini sedang dibangunkan, dikenali dengan kod nama D55L.

SUV yang sama juga akan dijual oleh Toyota seperti kembar-kembar Toyota Passo dan Daihatsu Boon atau Toyota Rush dan Daihatsu Terios, dan model baharu ini sah diberi nama sebagai Toyota Raize. Untuk Daihatsu pula, satu akaun Instagram bernama mr.t.tani dari Jepun mendedahkan bahawa khabar angin sebelum ini menyatakan ia adalah Daihatsu Rocky generasi baharu adalah benar, setelah SUV tersebut dilihat dibawa oleh lori pengangkut, dengan emblem ‘Rocky’ tertera pada badannya.

Rocky bukanlah nama baharu dari Daihatsu. Sebelum adanya Terios, Rocky atau dikenali sebagai Daihatsu Feroza di Malaysia adalah SUV off-road sebenar yang berhadapan terus dengan Suzuki Jimny.

Daihatsu Rocky generasi baharu dan Toyota Raize ini menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dengan dimensi 3,995 mm panjang, 1,695 mm lebar, 1,620 tinggi bersama jarak rodanya 2,525 mm, dengan berat 980 kg. Berbanding Perodua Myvi generasi terkini, ia adalah 100 mm lebih panjang, 40 mm kurang lebar, 105 mm lebih tinggi, manakala jarak rodanya pula adalah 25 mm lebih panjang.

Muka Rocky ini menerima gril berbentuk heksagon yang agak besar, diapit dan nampak bersambung dengan lampu utama yang bersudut tajam dengan ‘kening’ lampu nyalaan siang, bersama bampar diberikan kemasan lampu kabus berbentuk segi tiga dan turut menempatkan pengesan parkir hadapan dan jalur LED menegak.

Selain dari pelindung-pelindung plastik berwarna hitam di bahagian bawah badan sekeliling SUV ini, ia turut menerima bumbung berwarna lain yang direka seakan terapung. Rupanya juga dilengkapkan dengan pemadanan rim 17-inci, bersama tayar 195/60R17.

Di belakang, SUV ini diberikan lampu yang direka nipis, disambungkan dengan kemasan hitam yang merentangi pintu tailgate, dengan lambang Daihatsu di atas butang pembuka pintu berkenaan. Bampar belakang model ini menerima sepasang liang udara palsu pada setiap sisi dengan ruang nombor pendaftaran berbentuk trapezoid membuatkan ia kelihatan seperti Myvi yang di’SUV’kan,

Lain dengan Rush/Terios/Aruz yang menampilkan tiga baris tempat duduk, Raize/Rocky hadir dengan hanya dua baris tempat duduk bagi menempatkan lima orang di dalam kabin. Papan pemuka SUV ini menerima skrin berdiri sendiri pada bahagian tengah, terletak di atas corong pendingi hawa utama.

Corong liang pendingin hawa sisi pula direka sedikit lebih tinggi, membolehkan pemegang cawan ‘disorokkan’ di bawahnya, dan boleh menyejukkan minuman sekiranya ia dibuka.

Suis kawalan untuk sistem pendingin hawa automatik dan butang penghidup enjin pula diletakkan pada ‘tingkat bawah’, manakala perumah konsol tengah menempatkan tuil penukar gear, port 12V, kawalan haba untuk tempat duduk, ruang penyimpanan dan juga tuil brek tangan. Ia juga diberikan roda stereng dengan butang kawalan dan juga paparan kluster instrumen digital.

SUV segmen-B Daihatsu di TMS 2019 sah Rocky generasi baharu – apa pula nama untuk Perodua?

Daihatsu Rocky dan Toyota Raize ini dijana oleh enjin petrol tiga-silinder 1.0 liter turbo bersama unit intercooler menghasilkan kuasa 98 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm bermula 2,400 hingga 4,000 rpm, dipadankan bersama CVT yang hanya memacu roda hadapan.

Walaupun khabar bertiup SUV ini adalah kembar kepada D55L seakan kembar lain seperti Rush/Terios/Aruz, Perodua belum mengesahkan adakah model ini akan dipasarkan di Malaysia. Awal bulan ini, sebuah SUV misteri dilihat sedang diuji oleh Perodua di sekitar genting Highlands dan ia seakan ‘berselindung’ di sebalik badan Axia yang dipanjangkan.

Sebelum ini, Perodua juga pernah mempamerkan X-Concept di Kuala Lumpur International Motorshow 2018, dan jika Rocky dan Raize mempunyai versi Perodua, kemungkinan besar mungkin tampil dengan muka yang lebih unik dan tersendiri, diilhamkan berdasarkan model konsep tersebut. Satu lagi persoalan – rasa-rasa anda, apa pula nama yang akan diberikan Perodua untuk model ini kelak? Perodua Kembara generasi baharu? Atau Perodua ada kesinambungan dari nama-nama baharu seperti Bezza dan Aruz?

GALERI: Daihatsu Rocky di Tokyo Motor Show 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Naaah... on Oct 31, 2019 at 11:02 am

    Model ni dah langsung tak boleh dibandingkan dengan Suzuki Jimny yang memang untuk ‘off roading’ seperti asalnya. Ini seperti bila sampai di satu simpang, Jimny ke jalan lain yang penuh belukar, Rocky pula ke kawasan bandar dan pinggirannya.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required