Pada penganjuran Tokyo Motor Show tahun ini, Daihatsu telah mendedahkan SUV kompak baharu – yang dilaporkan digelar sebagai Rocky – dan kini bakal muncul pula model adik-beradiknya dari Toyota yang dijadualkan dilancarkan pada 5 November ini di Jepun. Dipanggil Raize, model ini dibangunkan berasaskan Toyota New Global Architecture (TNGA), yang merupakan asas kepada Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang digunakan untuk SUV Daihatsu.

Walau bagaimana pun wajah hadapan Raize berbeza dengan SUV kompak Daihatsu, dan nampak pula lebih kurang macam baby “RAV4”. Ciri yang menyerlah termasuklah corong yang diposisikan di bawah berbentuk trapezoidal yang disambungkan dengan lampu kabus bersudut, selain menampilkan jaluran lampu LED mendatar dan pengesan parkir. Bukan itu sahaja, kelihatan kepingan kemasan yang sama dengan warna badan dengan lambang Toyota, dan sepasang lampu utama yang lebih kurang sama bentuknya pada model Daihatsu.

Berdasarkan foto yang dimuatnaik menerusi Twitter oleh @okm24k408, Toyota dijangka akan menawarkan beberapa pakej penggayaan, termasuk Modellista dan TRD, bagi yang inginkan rupa lebih agresif untuk Raize mereka.

Menurut pandangan sisi pula, kedua-dua model Toyota dan Daihatsu ini hampir mirip, berkongsi dua tona warna yang sama, lapisan badan hitam dan “bumbung terapung”. Walau tiada foto untuk bahagian belakang, tetapi dijangkakan SUV ini juga akan menampilkan lampu belakang seperti model Daihatsu yang disambung pada palang krom tebal. Begitu juga dengan bahagian kabinnya yang turut dijangka saling mirip, dengan sentuhan Toyota di sana sini.

Toyota juga masih belum mendedahkan dimensi bagi Raize, tapi mungkin ia tak jauh berbeza daripada SUV Daihatsu, yang berukuran 3,995 mm panjang, 1,695 mm tinggi, 1,620 mm lebar, dan jarak rodanya pula 2,525 mm.

Di bawah bonetnya pula, Raize dijanakan oleh enjin petrol 1.0 liter tiga-silinder dengan kuasa sehingga 98 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan CVT yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan, dan juga akan ditawarkan dengan transmisi manual enam-kelajuan dan pacuan semua-roda.

Sebelum ini, ada spekulasi mengatakan SUV segmen-B Perodua D55L dengan lima-tempat duduk, yang akan dibangunkan berasaskan SUV Daihatsu. Kami juga pernah mengesan model pembangunan Perodua yang sedang diuji di Genting Highlands awal bulan ini, yang menggunakan badan Axia tetapi dalam bentuk seperti wagon.

Malah Perodua juga pernah mempamerkan X-Concept yang dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show 2018, dan jika benar SUV segmen-B Perodua, mungkin ia akan menerima bahagian hadapan yang unik yang diinspirasikan oleh model konsep berkenaan.

GALERI: Daihatsu SUV kompak segment-B yang dipertontonkan di Tokyo Motor Show 2019