Baru berberapa hari sudah Perodua dikesan sedang menguji tiga buah MPV/SUV tujuh-tempat duduk iaitu Mitsubishi Xpander, Suzuki Ertiga terkini dan prototaip MPV D27A di jalan sekitar kawasan peranginan tanah tinggi Genting Highland, tetapi video yang kami terima dari pembaca kami yang tidak mahu dikenali ini nampak lebih menarik – Perodua dilihat sedang menguji sebuah “Axia Frankenstein” di sekitar kawasan yang sama.

Sekali tengok, kereta prototaip berkenaan masih lagi nampak seperti Perodua Axia berdasarkan lampu belakangnya. Tetapi jika anda lihat dengan lebih teliti, kereta tersebut sebenarnya mempunyai bahagian belakang (tiang-C) dan hadapan yang dipanjangkan bagi menghasilkan jarak roda lebih jauh, serta menampilkan ruang roda yang lebih lebar yang mungkin disebabkan trek roda yang juga lebih lebar. Ini membuatkan kereta tersebut kelihatan seperti sebuah Axia versi wagon.

Unit prototaip ini juga kelihatan lebih tinggi dari biasa kerana dipadankan dengan rim dua-tona (rim 16-inci dari Suzuki Swift?) yang lebih besar. Dengan saiz berkenaan, ‘Axia’ tersebut sudah tentu tidak lagi boleh dikelaskan sebagai sebuah kereta segmen-A, dan mungkin ia adalah sebuah model dalam kelas segmen-B, serta ia mungkin dijana enjin lebih besar dari enjin 1KR-VE VVT-i 1.0 liter tiga-silinder pada Axia atau 1NR-VE 1.3 liter empat-silinder pada kembar sedannya iaitu Bezza. Dengan saiz roda yang lebih besar juga, ini mungkin crossover segmen-B baharu dari Perodua.

Menerusi sumber-sumber yang boleh dipercayai, Perodua kini sedang membangunkan sebuah SUV segmen-B lima-tempat duduk yang diberikan kod nama D55L yang akan dihasilkan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dengan saiz hampir sama dengan Perodua Kembara. Tidak mustahil juga ini adalah versi produksi Perodua X-Concept atau model pertama Perodua yang akan dijana oleh teknologi hibrid; kedua-duanya telah membuat kemunculan di KL International Motor Show (KLIMS) 2018 yang berlangsung pada November tahun lalu.

Teknologi hibrid yang diambil dari Daihatsu berkenaan menampilkan sistem hibrid konvensional sama seperti sistem-sistem hibrid arus perdana. Sistem berkenaan boleh berfungsi dengan menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya tanpa enjin dihidupkan, memberikan tambahan kuasa dan tork kepada enjin petrol konvensional, mampu mengecas semula bateri hibrid sama ada dengan enjin petrol atau sistem regenarative braking ketika brek diaplikasi.

Menurut Perodua, sistem hibrid ini sebenarnya sudah boleh beroperasi sekali dengan sistem keselamatan bantuan pemanduan Perodua Advanced Safety Assist (ASA), yang sekarang ini sudah pun dihasilkan dalam versi 2.0, dipadankan pada varian-varian terpilih SUV/MPV tujuh-tempat duduk Perodua Aruz dan juga Axia 2019.

Apa pun, Perodua nampaknya kini sedang berusaha keras untuk kekal di tempat pertama dalam industri automotif Malaysia; dapat dilihat dengan pembangunan MPV D27A dalam badan Toyota Avanza yang diuji di atas jalan raya awam (dah lama tak nampak kan?) serentak dengan penghasilan SUV D55L ini.

GALERI: Perodua X-Concept di KLIMS 2018