Ini ada perkembangan terbaru yang mungkin akan menarik minat ramai orang; Mitsubishi Xpander, Suzuki Ertiga terkini dan sebuah Toyota Avanza baru-baru ini dilihat sedang diuji dilaluan mendaki ke Genting Highlands – dan, semua unit ini menggunakan nombor plat perdagangan.

Situasi ini agak menarik kerana, seperti kita tahu, Mitsubishi Xpander dan Suzuki Ertiga terbaru tidak dijual di Malaysia. Toyota Avanza terbaru, dengan muka Vellfire pula memang ada dijual di Malaysia, tetapi kena ia kelihatan mencurigakan dalam gambar ini? Apa yang sedang dilakukan sebenarnya?

Berdasarkan nombor plat perdagangan B1400A dan B1756A yang digunakan pada Avanz dan Xpander itu, ia sebenarnya didaftarkan di bawah syarikat Perodua. Jika anda masih ingat, plat yang sama pernah digunakan pada prototaip Myvi dahulu.

Untuk itu, tidak hairan mengapa Avanza berkenaan nampak sedikit berlainan dalam gambar ini. Tambahan pula, dua lagi model itu seperti dijadikan penanda aras bagi segmen MPV mampu milik. Ini, secara tidak langsung membawa kita kepada satu petunjuk – Perodua sedang membangunkan MPV terbaru syarikat itu, sebagai ganti atau versi terbaru kepada Alza.

Terdahulu, MPV Perodua itu menggunakan asas dari Toyota Passo Sette/Daihatsu Boon Luminas, dan berada dalam pasaran sejak 2009 lagi – sudah sedekad usia Perodua Alza, masa untuk perkenalkan penggantinya?

Kebarangkaliannya, Alza baru nanti akan berkongsi platform dengan Toyota Avanza. Ini tidaklah terlalu asing; Daihatsu adalah sebahagian daripada keluarga besar Toyota, dan Perodua sendiri juga ada membantu dalam pengeluaran model Toyota serta enjin yang dikeluarkan di kilang Perodua di Negeri Sembilan turut digunakan oleh Toyota.

Pendekatan yang boleh kita jangkakan terhadap Alza baru ini adalah sama seperti apa yang telah ditunjukkan ketika membangunkan Myvi terkini; ia bukan lagi berasaskan model-model JDM Daihatsu/Toyota, tetapi menampilkan usaha Perodua sendiri untuk mengetuai pembangunan serta rekaannya (luaran dan dalaman) yang bersesuaian dengan pasaran Malaysia dan rantau ini secara umumnya.

Apa pun, ketika ini, semua masih samar-samar berkaitan MPV terbaru Perodua itu nanti. Cuma, apa yang pasti ialah Perodua memang sedang dalam proses menghasilkan sesuatu di Sg. Choh, Rawang dan segmen MPV bajet di Malaysia akan menjadi sangat menarik untuk diperhatikan dalam masa terdekat ini.