Pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2019 mula dibuka hari ini untuk media, dan wakil kami Danny Tan membuat liputan dari sana. Jadi, model konsep pertama yang akan ditinjau ialah Daihatsu HY Fun Concept, yang singkap sebentar kain penutupnya untuk Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla pagi tadi dan akan diperkenalkan secara rasmi petang ini.

Model ini menampilkan rekaan sebuah MPV futuristik dengan sistem janaan hibrid, memberi gambaran kepada langkah seterusnya yang akan diambil oleh Daihatsu kelak. Memandangkan Daihatsu di Indonesia (dan Perodua di sini) menjual kenderaan mampu milik untuk pasaran meluas, maka teknologi eco yang digambarkan ini tentulah akan menjadi lebih realistik pada harga yang boleh dicapai ramai orang.

Jika dilihat, perkembangan ini juga selari dengan perkongsian yang dilakukan oleh Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad semalam bahawa Perodua juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan kenderaan hibrid, dan bukannya terus kepada kenderaan elektrik. Jadi, pilihan paling ideal untuk teknologi eco seterusnya tentulah hibrid.

Daihatsu HY Fun Concept ini menempatkan enam-tempat duduk dalam tiga barisan serta permainan maya untuk penumpang. Iras sebenar kenderaan ini boleh dilihat dipinjam daripada Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia. Maka, bolehlah dikira model ini sebagai petunjuk kepada kenderaan generasi baru yang sedang dinilai oleh Daihatsu.

Menggunakan asas Daihatsu New Global Architecture (DNGA), MPV ini tampil dengan rekaan lebih kemas dan “tajam”, dengan garis bumbung yang rendah dan panel badan beralun – lari daripada rekaan serba ringkas yang ada pada Avanza/Xenia ketika ini. Boleh bayangkan model yang akan terhasil daripada rekaan konsep ini nanti?