Perodua sah akan hasilkan model janaan hibrid

Begitu banyak perkara yang dikongsikan kepada kami oleh presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad ketika pembentangan prestasi jualan syarikat itu untuk setengah tahun 2019 pagi tadi. Selain dari hal-hal jualan, perancangan masa hadapan turut di sentuh oleh bos baharu Perodua itu dan salah satunya berkaitan dengan teknologi elektrifikasi.

Menurut Datuk Zainal, Perodua tidak akan menghasilkan model-model elektrik sepenuhnya (EV) kerana ia tidak berapa sesuai di sini. Katanya, Malaysia masih lagi mendapatkan punca kuasa elektrik dari sumber bahan api fosil seperti gas asli dan arang baru, berbanding negara-negara maju yang menggunakan kuasa boleh diperbaharui seperti kuasa hidro.

Namun, teknologi elektrifikasi ini tidak akan dibiar tanpa sebarang penerokaan kerana teknologi hibrid masih lagi sangat sesuai digunakan di Malaysia. Jadi Perodua sebenarnya sudahpun mula bergerak kearah teknologi hibrid, dan jika anda perasan, mereka sudahpun mendedahkannya pada KLIMS 2018.

Perodua sah akan hasilkan model janaan hibrid

Teknologi hibrid yang diambil dari Daihatsu itu beroperasi dengan konsep hibrid selari, dengan gabungan enjin pembakaran dalaman konvensional dan juga motor elektrik. Sama seperti kebanyakkan sistem hibrid lain, ia menerima kuasa elektrik dari bateri yang di cas semula dengan sistem pemulihan tenaga kinetik ketika kereta diperlahankan.

Walau bagaimanapun, Datuk Zainal tidak mendedahkan bila teknologi ini akan diperkenalkan pada model-model produksi Perodua. Tetapi jika sistem tersebut sudah diprebiu kepada orang awam, sudah tentu ia tidak akan mengambil masa yang terlalu lama bukan?

Beliau turut menegaskan bahawa fokus untuk membawa teknologi ini sebenarnya bagi memberikan penggunaan petrol yang lebih rendah, serta mengurangkan kebergantungan hanya kepada bahan api fosil. Menurutnya lagi, Perodua kini sudahpun mencapai ekonomi bahan api serendah 22 km setiap liter, manakala Daihatsu membuktikan 30 km setiap liter boleh dicapai menerusi model Mira e:S, jadi masih banyak ruang yang boleh dilakukan terhadap enjin konvensional.

GALERI: Sistem hibrid Perodua di KLIMS 2018