Chery Auto Malaysia hari ini mengumumkan bahawa Chery Kulai, iaitu satu lagi fasiliti pengedaran bertaraf Pusat 3S premium di Johor kini sudahpun dibuka secara rasmi dan ia dioperasikan oleh Autohub Mobility Sdn Bhd.
Ini merupakan cawangan Chery kedua milik Autohub Mobility di Johor, selepas satu lagi fasilitinya iaitu Pusat 4S Chery Tampoi. Dengan pembukaan fasiliti terbaru ini, Chery Auto Malaysia menyatakan bahawa ia kini sudah mempunyai sebanyak 11 pusat pameran di Johor.
Fasiliti baharu yang dibina dengan keluasan 734 meter persegi, terletak di No. 4, Plot 12, Jalan SME 1, Kawasan Perindustrian SME, Kulai, Johor ini merupakan cawangan pengedaran kedua Chery di Malaysia yang memperkenalkan konsep reka bentuk bilik pameran Gen 4.0 Chery, dan yang pertama di wilayah selatan.
Menurut Chery Auto Malaysia lagi bilik pameran baharu ini mempamerkan semua model terbaharu Chery. Manakala untuk servis, fasiliti ini menyediakan ruang menunggu pelanggan yang selesa serta empat ruang servis yang dikendalikan oleh juruteknik Chery yang terlatih.
Bilik pameran Chery Kulai ini beroperasi setiap hari dari 8.30 pagi hingga 6.00 petang, (Isnin – Ahad, termasuk cuti umum), manakala pusat servis pula dibuka dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang (Isnin – Sabtu) dan ditutup pada hari Ahad serta cuti umum.

