Suzuki menjadi antara jenama motosikal yang berada di KLIMS 2026, dan hari ini mereka menunjukkan model baru SV-7GX kepada orang ramai. Model ini masih belum dilancarkan secara rasmi dan ketersediannya kepada pasaran akan diberitahu pada masa hadapan.
Asas kepada SV-7GX berasal daripada SV650, yang dijual di Malaysia pada harga RM29,900. Enjinnya juga adalah sama, iaitu unit dua silinder V 90 darjah yang mampu menghasilkan sehingga 73 hp pada 8,500 rpm dan 64 Nm pada 6,800 rpm.
Jika dibandingkan lagi dengan SV650, enjin ini diberikan penambah baikan terutamanya pada bahagian intake dan ekzos, untuk meningkatkan kecekapan pembakaran, memberikan maklum balas pendikit yang lebih baik serta menepati tahap emisi Euro 5+. Kuasa kemudiannya dihantar kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dan didatangkan secara terus dengan quickshifter (naik dan turun).
Pada bahagian elektronik, motosikal ini menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, seterusnya membolehkan ia dilengkapi dengan tiga pilihan mod tunggangan (A paling agresif, B sederhana dan C paling lembut dan kuasa dihadkan kepada 60 hp) serta kawalan cengkaman (tiga mod dan boleh ditutup).
Kemudiannya di bahagian kokpit, SV-7GX dilengkapi dengan meter TFT 4.2 inci berwarna penuh, yang boleh disambung kepada telefon pintar, untuk memaparkan bukan sahaja notifikasi, tetapi juga arah navigasi. Turut disediakan adalah soket pengecas USB-C bersebelahan dengan meter ini.
Menghubungkan motosikal ini dengan jalan adalah rim aluminium 17 inci hadapan dan belakang bersama tayar Pirelli, dan ia masing-masing dipegang oleh fork teleskopik 41 mm yang mempunyai jarak gerak 125 mm dan monoshock dengan pelarasan pra beban dan jarak gerak 129 mm. Jarak kelegaan dari tanah pula adalah 135 mm, jauh lebih rendah berbanding V-Strom 650 XT yang mencatat 170 mm.
Tugas membrek dilaksanakan oleh unit cakera berkembar 290 mm dengan angkup Tokico empat piston di hadapan dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup satu piston di belakang. Meningkatkan ciri keselamatannya adalah sistem ABS dual-channel.
Kelengkapan lain yang disediakan secara standard pada SV-7GX ini adalah termasuk penghadang tangan, penghadang angin boleh laras tiga tahap (manual), tapak kotak barangan belakang, tangki bahan api 17.4 liter serta semua lampu jenis LED (projector di hadapan). Tinggi tempat duduk adalah 795 mm, manakala berat keseluruhan 211 kg.
Jika diperhatikan di pasaran lain, harga SV-7GX ini tidak jauh beza dengan SV650. Jadi, kita boleh menjangkakan apabila ia dilancarkan nanti, harganya mungkin berada dalam sekitar RM32k.



























