BYD Atto 3 facelift 2026 – 1,000 tempahan diterima dalam 10 hari, varian Premium RWD lebih popular

BYD Sime Motors mengumumkan bahawa ia telah menerima sebanyak 1,000 tempahan untuk BYD Atto 3 facelift 2026 hanya selepas 10 hari model kemaskini berkenaan dilancarkan. Syarikat berkenaan turut meraikan pelanggan ke-1,000 yang menempah model tersebut dalam satu majlis istimewa yang berlangsung di BYD Bandar Utama hujung minggu lalu.

Menurut syarikat itu, Atto 3 merupakan EV paling popular di Malaysia sepanjang masa dengan lebih 12,000 unit terjual sehingga kini, dan momentum tempahan yang masih tinggi ini membuktikan penerimaan rakyat Malaysia terhadap Atto 3 masih lagi sama seperti SUV tersebut dilancarkan buat pertama kali pada pasaran tempatan pada 2022.

Manakala bagi versi kemaskini ini, BYD Sime menayatakan bahawa pelanggan di Malaysia lebih berminat kepada varian Premium yang menampilkan konfigurasi pacuan roda belakang berbanding varian Ultra pacuan roda hadapan.

BYD Atto 3 facelift 2026 – 1,000 tempahan diterima dalam 10 hari, varian Premium RWD lebih popular

“Melihat sambutan positif sebegini dalam beberapa hari selepas pelancaran merupakan satu pencapaian luar biasa yang mencerminkan jangkaan pengguna jalan raya Malaysia yang sentiasa berubah. Pemandu hari ini semakin mencari kenderaan yang menggabungkan teknologi, kemudahan dan kebolehgunaan harian dengan lancar, dan BYD Atto 3 2026 telah mencapai matlamat ini. Permulaan yang bagus ini mengukuhkan kedudukan Atto 3 sebagai kenderaan kegemaran dalam landskap EV Malaysia,” kata Jacob Ma, Pengarah Urusan BYD Malaysia.

“BYD Atto 3 telah menarik perhatian pemandu Malaysia, dan kami teruja untuk mengekalkan momentum ini. Kami menjemput semua orang untuk mengunjungi bilik pameran sah kami di seluruh negara untuk merasai sendiri kenderaan ini dan menjadi sebahagian daripada keluarga BYD yang berkembang pesat,” kata Vi Thim Juan, Pengarah Urusan peruncitan dan pengedaran Malaysia, Sime Motors.

BYD Atto 3 facelift 2026 pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Ultra FWD yang dijual pada harga RM125,800 dan juga Premium RWD berharga RM138,800. Bagi varian Ultra FWD, ia masih lagi menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti sebelum ini iaitu motor elektrik tunggal berkuasa 204 PS (150 kW) dan 310 Nm memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat.

BYD Atto 3 facelift 2026 – 1,000 tempahan diterima dalam 10 hari, varian Premium RWD lebih popular

Ia juga masih menerima bateri 60.48 kWj bagi membolehkan ia bergerak sejauh 420 km dalam kitaran ujian WLTP. Pembaharuan yang diberikan pada varian Ultra untuk versi facelift ini adalah kadar pengecasan pantas DC yang kini boleh menampung sehingga 110 kW (sebelum ini hanya 88 kW), membolehkah bateri dicas dari 30%-80% dalam 30 minit (10 minit lebih pantas). Pengecasan AC pula kekal pada kadar 7 kW.

Manakala bagi varian Premium, walaupun ia nampak masih hampir sama pada bahagian luaran, model ini sebenarnya menerima perubahan menyeluruh dari segi mekanikal dan elektrikal, sama seperti Atto 3 ‘Evo’ yang dibangunkan untuk pasaran Eropah.

Varian Premium ini menerima motor elektrik tunggal yang lebih berkuasa mampu menghasilkan 313 PS (230 kW) dan tork maksima 380 Nm, dan motor berkenaan kini dialihkan ke gandar belakang bagi memacu roda belakang (RWD). Gandingan ini membolehkan SUV tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat.

Motor berkenaan turut menerima bekalan elektrik lebih besar berkapasiti 74.88 kWj yang memberikan jarak gerak 510 km dalam kitaran ujian WLTP. Malah senibina sistem elektrikal pada varian ini juga telah ditingkat taraf kepada pelantar 800-volt, membolehkan ia menerima pengecas pantas DC sehingga 220 kW. Manakala pengecas AC pula kini boleh menerima sehingga 11 kW, membolehkan bateri dicas penuh dalam masa lapan jam, atau sejam lebih pantas dari sebelum ini.

GALERI: BYD Atto 3 Premium 2026

GALERI: BYD Atto 3 Ultra 2026

Tags: