Tambang ECRL belum diumum, masih diperhalusi

Anda mungkin pernah ternampak catatan di media sosial yang menunjukkan kadar tambang untuk keretapi Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL). Adakah itu betul? Bertenang dulu. Malaysia Rail Link (MRL) telah menjelaskan bahawa sebarang kadar tambang yang sedang beredar ketika ini hanyalah ramalan dan spekulasi sahaja dan tidak mewakili kadar sebenar yang akan dikenakan apabila perkhidmatan keretapi tersebut mula beroperasi pada Januari tahun depan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pengendalinya menjelaskan bahawa tambang untuk perkhidmatan tersebut masih belum diumumkan secara rasmi, dan masih diperhalusi melalui perbincangan dengan pihak berkepentingan. Ini termasuklah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk memastikan tambang adalah berpatutan, berdaya saing dan mesra pengguna, selaras dengan matlamat kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang berkualiti.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak disahkan. Tambang rasmi akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan selepas proses penilaian dan kelulusan dimuktamadkan,” jelas kenyataan itu. Turut disentuh adalah bahawa tambang akan mengambil kira kepentingan orang ramai dan memberikan nilai terbaik kepada pengguna.

Tambang ECRL belum diumum, masih diperhalusi

Apabila siap nanti, projek keretapi laluan Kota Bharu-Pelabuhan Klang sepanjang 665 km itu dijangka akan memendekkan masa perjalanan kepada empat jam berbanding tujuh jam melalui jalan raya (atau lebih 12 jam semasa musim perayaan). Fasa 1 (Terminal Bersepadu Kota Bharu-Gombak) dijadualkan siap menjelang Disember 2026, dengan operasi dijangka bermula pada Januari 2027. Fasa 2 (Gombak-Pelabuhan Klang) dijangka siap menjelang Disember 2027 dan beroperasi menjelang Januari 2028. Setakat akhir Januari lalu, kadar siap projek adalah pada tahap 91.7%.

Turut dilaporkan sebelum ini, ada cadangan yang memungkinkan ECRL dilanjutkan laluannya hingga ke Rantau Panjang, di perbatasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Perkhidmatan tersebut akan mempunyai 11 set keretapi EMU, yang setiap satunya mempunyai enam gerabak. Satu EMU boleh membawa seramai 425 penumpang dalam konfigurasi kelas ekonomi penuh. Kereta api berkelajuan 160 km/j ini akan dilengkapi tandas, rak barangan, kaunter F&B, bilik solat dengan ruang wuduk dan ciri-ciri mesra OKU. Juga akan ada capaian rangkaian perkhidmatan telefon bimbit di sepanjang laluan.

Tags: