Selepas beberapa kali dikesan menjalani ujian di jalan raya negara sejak beberapa bulan lalu, Maxus eTerron 9 akhirnya membuat kemunculan rasmi di Malaysia semasa pameran Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026. Pikap elektrik penuh itu diperkenalkan oleh Weststar Maxus dengan harga jualan RM223,888.
Dikenali sebagai Interstellar X di pasaran China, eTerron 9 pertama kali diperkenalkan untuk pasaran Eropah pada September 2024. Dari segi dimensi, ia merupakan sebuah pikap bersaiz besar dengan ukuran panjang 5,500 mm, lebar 2,005 mm, tinggi 1,860 mm serta jarak roda 3,300 mm. Ini menjadikannya lebih panjang berbanding beberapa model popular dalam segmen yang sama seperti Ford Ranger dan Toyota Hilux.
Reka bentuk luaran menampilkan identiti yang digelar Maxus sebagai “New Electrified Mecha”, dengan bahagian hadapan yang kelihatan moden dan minimalis. Lampu nyalaan siang berbentuk C mengelilingi unit lampu utama dan dihubungkan oleh jalur lampu LED yang merentasi keseluruhan muka hadapan, memberikan penampilan futuristik yang menyerlah.
Model ini dibangunkan menggunakan platform khas kenderaan elektrik yang dikenali sebagai Starlight Architecture. Ketika diperkenalkan sebelum ini, Maxus mendakwa eTerron 9 merupakan trak pikap pacuan empat roda elektrik pertama yang dibina menggunakan platform EV khusus.
Untuk pasaran Malaysia, eTerron 9 ditawarkan dalam konfigurasi dua-motor pacuan semua roda (AWD). Sistem kuasa tersebut menghasilkan 442 PS dan membolehkan pikap ini memecut 0-100 km/j dalam hanya 5.8 saat, satu angka yang cukup mengagumkan bagi sebuah kenderaan utiliti bersaiz besar.
Bagi meningkatkan keupayaan pemanduan dalam pelbagai keadaan, eTerron 9 dilengkapi sistem ATS (All-Terrain System) bersama enam mod pemanduan berbeza termasuk mod yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna.
Kuasa disimpan dalam pek bateri LFP berkapasiti 102 kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 430 kilometer mengikut piawaian WLTP. Untuk pengecasan, bateri boleh dicas daripada 20 hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar 40 minit menggunakan pengecas pantas DC sehingga 115 kW.
Selain itu, eTerron 9 turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L), membolehkan bekalan kuasa disalurkan kepada peralatan elektrik luaran dengan output sehingga 2.2 kW atau 6.6 kW bergantung kepada keperluan.
Dari sudut praktikaliti, Maxus menyediakan beberapa ciri unik yang jarang ditemui dalam segmen pikap. Antaranya ialah sistem midgate yang membolehkan dinding belakang kabin dibuka bagi memuatkan barangan sehingga 2,400 mm panjang. Di bahagian hadapan pula terdapat ruang simpanan tambahan atau frunk berkapasiti 236 liter yang dilengkapi penutup berkuasa elektrik.
Ruang kabin turut direka dengan memberi tumpuan kepada keselesaan. Tempat duduk hadapan boleh dilipat hampir rata untuk menghasilkan ruang rehat sepanjang 1,700 mm, sesuai digunakan ketika aktiviti luar atau perjalanan jauh. Selain itu, terdapat kira-kira 20 ruang penyimpanan yang ditempatkan di seluruh kabin.
Dari segi kelengkapan, eTerron 9 hadir dengan kemasan upholsteri kulit dua tona, dua paparan digital bersaiz 12.3 inci yang berfungsi sebagai panel instrumen dan sistem infotainmen, konsol tengah terapung serta stereng dua jejari. Tempat duduk pemandu elektrik turut dilengkapi fungsi pengudaraan dan urutan bagi meningkatkan tahap keselesaan.
Bagi pelanggan yang masih mahukan enjin diesel konvensional, Maxus turut menawarkan Terron 9 dengan harga bermula RM140,888. Walaupun berkongsi bentuk badan yang hampir sama dengan versi elektrik, model diesel ini tampil dengan identiti hadapan yang berbeza menerusi gril yang lebih besar dan susunan lampu yang lebih agresif.
Seperti versi EV, logo dan identiti jenama Maxus jelas dipaparkan menerusi tulisan bersaiz besar pada bahagian hadapan dan belakang kenderaan.
Di bawah bonet, Terron 9 diesel menggunakan enjin diesel turbo SAIC SC25T berkapasiti 2.5 liter yang menghasilkan 224 PS pada 3,800 rpm serta 520 Nm tork. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF 8HP50.
Untuk kegunaan lasak, Terron 9 diesel dilengkapi sistem pacuan empat roda sepenuh masa bersama differential berkunci yang boleh dipilih. Ia turut menawarkan beberapa mod pemanduan khusus termasuk mod meredah air, rock crawl dan mod low-range yang boleh disesuaikan mengikut keadaan permukaan jalan.
Walaupun lebih berorientasikan kerja dan aktiviti luar, Terron 9 diesel tetap menawarkan tahap keselesaan yang tinggi. Antara kelengkapan yang dikekalkan termasuk paparan digital berkembar, tempat duduk pemandu elektrik, sistem kamera 3D keliling serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto sama ada secara berwayar mahupun tanpa wayar.
GALERI: SAIC Maxus eTerron 9 EV
GALERI: SAIC Maxus Terron 9 diesel




































