Daihatsu Mira e:S dilancarkan di Jepun – dari RM32k

Daihatsu Mira e:S dilancarkan di Jepun – dari RM32k

Daihatsu Mira e:S telah pun dilancarkan di Jepun. Model kei terbaharu berkenaan kini menerima pelbagai ciri keselesaan dan keselamatan yang agak tinggi walaupun masih dikelaskan sebagai kenderaan mampu milik seperti model-model sebelumnya. Mira baharu ini juga turut dibina dengan kerangka lebih ringan, dijana enjin yang lebih cekap.

Bahagian luar, Mira e:S menampilkan rupa yang lebih bersegi. Muka kereta comel ini menampilkan lampu baharu bersama gril trapezoid yang besar. Bahagian sisi, ia menampilkan ruang roda yang lebih menonjol serta tingkap yang juga lebih bersegi. Manakala untuk bahagian belakang pula, ia diberikan lampu belakang LED tiga dimensi. Secara keseluruhan, geseran udara juga dapat dikurangkan sebanyak 3%.

Masuk ke kabin, tidak banyak perubahan dapat dilihat. Ia diberikan tuil gear tipikal Daihatsu/Perodua yang terletak pada papan pemuka, bersebelahan suis kawalan penghawa dingin. Perubahan yang dibuat melibatkan ruang simpanan pada papan pemuka dan juga pemegang cawan di bawah liang penghawa dingin sisi bagi membolehkan minuman kekal sejuk.

Mira e:S dijana enjin KF tiga-silinder 658 cc NA berkuasa 49 PS pada takat 6,800 rpm dan tork maksima 57 Nm pada takat 5,200. Enjin ini sebenarnya menghasilkan kuasa 3 PS dan tork 3 Nm lebih rendah dari sebelum ini, tetapi kecekapannya telah dipertingkatkan menerusi sistem edaran semula gas ekzos (EGR) dengan penyejuk ion dan juga injap kemasukan yang dilambatkan penutupannya untuk mengurangkan tekanan mampatan.

Daihatsu Mira e:S dilancarkan di Jepun – dari RM32k

Enjin berkenaan juga diberrikan dua penyuntik bahan api untuk setiap silinder untuk semburan yang lebih halus serta pembakaran yang lebih stabil. Ia turut diberikan sistem pencucuhan dengan kawalan berasingan pada setiap silinder. Untuk transmisi CVT, ia kini menggunakan bendalir berkelikatan rendah serta pengawal suhu yang menggunakan bendalir berkenaan untuk menyejukkan coolant enjin. Ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan tansmisi, malah turut memberikan pembakaran yang lebih efisien.

Rintangan golekan turut diberi perhatian menerusi penambahbaikkan yang dibuat pada komponen transmisi termasuk bendalir berkelikatan rendah untuk gandar karbeda belakang bagi model pacuan semua-roda. Pemampat penghawa dingin juga diberikan unit dari jenis scroll-type bagi mengurangkan beban pada enjin, selain sistem Eco Idle yang mengaktifkan auto start/stop untuk enjin pada kelajuan 11 km/j berbanding 7 km/j pada model Mira e:S sebelum ini.

Kerangka monocoque Mira e:S ini telah dibina lebih ringan dan tegar. Resin kini digunakan pada fender hadapan, pintu tailgate, dan juga tangki bahan api (untuk model pacuan roda hadapan) bagi mengurangkan lagi berat keseluruhan. Mira e:S terdahulu sudahpun cukup ringan dengan hanya 730 kg untuk versi 2WD, tetapi model baharu ini dibina jauh lebih ringan dengan hanya 650 kg (720 kg untuk model pacuan semua AWD).

Dengan janakuasa yang lebih cekap serta badan yang lebih ringan, Mira e:S baharu ini mampu mencatatkan penggunaan bahan api 34.2 km untuk setiap liter pada kitaran JC08 Jepun (32.2 km/l untuk AWD). Varian asas B dan L yang dipadankan dengan rim besi 13-inci mencatatkan penggunaan bahan api yang lebih baik iaitu 35.2 km untuk seliter petrol.

Untuk keselamatan, Mira e:S diberikan pakej Smart Assist III secara standard bagi varian G dan X, dan ditawarkan secara opsyen untuk varian lain. Pakej tersebut menampilkan sistem brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki (menggunakan kamera stereo paling kecil di dunia), amaran keluar laluan, false start suppression control untuk bahagian hadapan dan belakang untuk mengelakkan kemalangan sekiranya tersalah tekan pedal, lampu tinggi automatik, dan juga amaran vehicle start bagi memberitahu pemandu yang leka bahawa kenderaan hadapan sudah pun mula bergerak dari lampu isyarat.

Bagi model 2WD, ia dijual pada harga bermula 842,400 yen (RM32,200) – dengan kelengkapan standard lampu hadapan halogen, penghawa dingin manual, kluster instrumen digital, dua beg udara, ABS dan juga kawalan kestabilan. Untuk opsyen Smart Assist III, pelanggan perlu membayar dengan harga 907,200 yen (RM34,600). Bagi varian L, model standard dijual pada harga 939,600 yen (RM35,900) manakala yang diberikan pakej Smart Assist III, ia dijual pada harga 939,600 yen (RM35,900).

Varian X yang diberikan lampu hadapan LED, rim 14-inci dan juga cermin sisi berkuasa (dengan warna badan) pula dijual pada harga 1,080,000 yen (RM41,200). Manakala untuk varian tertinggi G, ia dijual dengan harga 1,209,600 yen (RM46,200) – diberikan rim aloi 14-inci, sistem kunci pintar, penghawa dingin automatik, pemanas tempat duduk, cermin sisi automatik dan juga lampu hadapan automatik. Bagi pelanggan yang mahu sistem AWD dibekalkan, tambahan kos 129,600 yen (RM5,000) diperlukan untuk kesemua varian.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required