Seperti yang dimaklumkan pada Jumaat lalu, Perodua telah pun melakukan sedikit peningkatan terhadap imej luaran dan dalaman model Bezza yang baru sahaja dinobatkan sebagai ‘Kereta Tahunan Malaysia 2017’ oleh Frost & Sullivan.
Ia melibatkan sedikit perubahan di bahagian belakangnya Di mana bamparnya telah diperkemaskinikan, dengan bahagian tersebut dilabuhkan sedikit serta dicat dengan warna yang sama dengan badan. Tidak seperti sebelum ini, bahagian tersebut lebih tirus yang boleh menampakkan bahagian bawah kenderaan tersebut, termasuk sistem gantungan serta besi torsion beam.
Manakala bahagian luarannya yang lain tidak menampakkan sebarang perubahan, masih dikekalkan seperti mana model Bezza asal yang dilancarkan pada Julai tahun lalu.
Bukan setakat bahagian luaran, Perodua turut memberikan sedikit penggayaan berbeza pada kabinnya yang melibatkan varian Premium X dan Advance di mana ia telah ditampilkan dengan kekemasan platinum krom baharu (sebelum ini dengan kekemasan perak) terutamanya pada butang kawalan pendingin hawa.
Bagi varian tertinggi, Advance, satu lagi elemen yang telah dipertingkatkan iaitu rekaan tempat duduk kulit baharu yang tampil lebih elegan.
Bagi varian Advance ini, elemen lain masih sama termasuk rim aloi 14-inci, sistem kemasukan tanpa kunci, butang pemula, ciri start/stop, tempat duduk kulit, pengelap cermin sensitif kepada kelajuan, pengesan jarak depan dan belakang, skrin sesentuh dengan sambungan Bluetooth, Smart Link dan screen mirroring (Android sahaja), dan kamera undur.
Harga atas jalan yang ditawarkan (tidak termasuk insurans) ialah RM49,176.89 bagi 1.3L Advance, manakala 1.3L Premium X pula RM43,342.25 (A/T) dan RM41,397.37 (M/T). Bagi varian enjin 1.0L pula, RM37,980.05 untuk A/T dan RM36,035.17 bagi M/T.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.