Perodua Bezza yang baru sahaja dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Malaysia 2017 oleh Frost & Sullivan, kini telah ditampilkan dengan sedikit suntikan yang lebih segar untuk bahagian luaran dan dalamannya.

Seperti mana yang kami nyatakan dalam artikel spyshot Bezza beberapa hari lalu, ternyata Perodua telah membuat sedikit perubahan di bahagian belakangnya Di mana bamparnya telah diperkemaskinikan, dengan bahagian tersebut dilabuhkan sedikit serta dicat dengan warna yang sama dengan badan, sekaligus menyingkirkan imej ‘tonggek’ pada model sebelum ini.

Tidak seperti sebelum ini, bahagian tersebut lebih tirus yang boleh menampakkan bahagian bawah kenderaan tersebut, termasuk sistem gantungan serta besi torsion beam.

Manakala bahagian luarannya yang lain tidak menampakkan sebarang perubahan, masih dikekalkan seperti mana model Bezza asal yang dilancarkan pada Julai tahun lalu.

Perodua turut mengesahkan penggayaan bahagian kabinnya juga menerima sedikit sentuhan berbeza bagi varian Premium X dan Advance di mana ia telah ditampilkan dengan kekemasan platinum krom baharu (sebelum ini dengan kekemasan perak) terutamanya pada butang kawalan pendingin hawa.

Bagi varian tertinggi, Advance, satu lagi elemen yang telah dipertingkatkan iaitu rekaan tempat duduk kulit baharu yang tampil lebih elegan.

Bagi varian Advance ini, elemen lain masih sama termasuk rim aloi 14-inci, sistem kemasukan tanpa kunci, butang pemula, ciri start/stop, tempat duduk kulit, pengelap cermin sensitif kepada kelajuan, pengesan jarak depan dan belakang, skrin sesentuh dengan sambungan Bluetooth, Smart Link dan screen mirroring (Android sahaja), dan kamera undur.

Untuk aspek keselamatan, semua varian Bezza masih dikekalkan dengan beg udara berkembar, ABS, EBD, cagak ISOFIX, dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) untuk model Advance. Begitu juga dengan enjin, iaitu pilihan unit 1.0 liter 1KR-VE tiga-silinder (67 hp/91 Nm), dan 1.3 liter 1NR-VE empat-silinder (94 hp/121 Nm) serta padanan sama kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan.

“Walau pun terdapat sedikit peningkatan dilakukan, namun kami memutuskan tiada sebarang perubahan harga bagi varian Bezza ini dan kini ia sudah pun berada di semua bilik pameran Perodua,” ujar Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr. Zahari Husin.

Harga atas jalan yang ditawarkan (tidak termasuk insurans) ialah RM49,176.89 bagi 1.3L Advance, manakala 1.3L Premium X pula RM43,342.25 (A/T) dan RM41,397.37 (M/T). Bagi varian enjin 1.0L pula, RM37,980.05 untuk A/T dan RM36,035.17 bagi M/T.

Setakat ini, Bezza masih mengungguli jualan bagi kenderaan sedan dengan sejumlah 15,900 unit (setakat suku pertama 2017) telah pun dijual. Secara keseluruhannya, Bezza telah mencatatkan jualan sebanyak 50,900 unit sejak ia dilancarkan.

GALERI: Perodua Bezza Advance 2016