GIIAS 2018: Daihatsu Terios Custom – varian tertinggi bagi model yang akan diguna untuk SUV Perodua

GIIAS 2018: Daihatsu Terios Custom – varian tertinggi bagi model yang akan diguna untuk SUV Perodua

PT Astra Daihatsu Motor (ADM) telah melancarkan varian paling tinggi bagi Daihatsu Terios semasa pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung sekarang. Daihatsu Terios Custom ini menggunakan asas daripada varian R, tetapi menerima beberapa tambahan kelengkapan, terutamanya pada bahagian luar. Jika dibandingkan dengan R Deluxe, varian Custom ini nampak lebih sporty.

Selain jalur pelekat merah/kelabu pada bahagian tepi, Terios Custom ini boleh dibezakan dengan adanya gril krom gelap yang menggantikan unit berkilat pada varian R. Walaupun begitu, satu jalur masih dibiarkan berkilat bagi memberi visual sayap kepada lambang Daihatsu di tengah dan bersambung dengan lampu siang LED. Perumah untuk lampu kabus juga lebih besar dan berwarna hitam.

Bahagian bawah di tepi dan belakang varian Custom ini tidak lagi menggunakan kemasan plastik hitam, sebaliknya diganti dengan kemasan sama warna dengan badan. Perumah bagi pemantul cahaya juga mendapat kemasan hitam seperti di depan, dan kemudian terdapat pelekat tertulis Custom serta ekzos berwarna hitam.

Melengkapkan penampilannya, Terios Custom ini dipasang dengan rim 17 inci, rak bumbung, spoiler serta lampu belakang LED seperti varian R. Ia juga datang dengan ciri Around View Monitor seperti R Deluxe. Terios Custom dijual pada harga Rp 240.3 juta (RM67,647) untuk versi manual dan Rp 250.3 juta (RM70,460) untuk versi automatik empat kelajuan.

Barisan model Daihatsu Terios dijual pada harga sedikit rendah berbanding kembarnya, Toyota Rush, dan ini konsisten dengan langkah perletakan jenama antara Daihatsu dan Toyota di Indonesia, seperti yang boleh dilihat melalui model Ayla-Agya, CalyaSigra dan Avanza-Xenia.

Terios terkini pertama kali ditunjuk pada November 2017, dan ia menggunakan platform yang telah diubah, tapi masih mengekalkan penggunaan enjin di hadapan dan pacuan roda belakang. Menurut Daihatsu, stabiliti, keselesaan pemanduan, tahap NVH dan kecekapan bahan api semuanya telah dipertingkat untuk kedua-dua Terios dan Rush.

GIIAS 2018: Daihatsu Terios Custom – varian tertinggi bagi model yang akan diguna untuk SUV Perodua

Terios dikuasakan oleh enjin 1.5 liter Dual VVT-i dengan kuasa 104 PS dan 136 Nm tork pada 4,200 rpm. Enjin berkod 2NR-VE ini telah digunakan pada Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia sejak 2015, dan adalah enjin sama yang digunakan pada Perodua Myvi yang dipasarkan di negara kita.

Ia mempunyai ukuran 4,435 mm panjang dan 1,695 mm lebar, iaitu 18 mm lebih pendek dan kurang lebar 40 mm berbanding Honda BR-V, tetapi mempunyai jarak roda 23 mm lebih panjang. Jarak kelegaan dari tanah pula adalah 220 mm (BR-V 201 mm). Panjang kabin bertambah 170 mm manakala untuk ruang kargo, panjangnya bertambah 150 mm.

Terios ini akan menjadi asas kepada SUV Perodua akan datang, tetapi ia tidak akan diambil terus dan sekadar diletakkan jenama baru. “Kami ada kemampuan untuk menghasilkan bahagian atas badan sendiri. Jadi, platform mungkin akan dikongsi, beberapa perkara berkaitan casis juga mungkin dikongsi, tapi untuk penampilan akhir dan penggayaan, ia akan menjadi unik untuk keperluan rakyat Malaysia,” kata Pengarah Urusan Jualan Perodua, Datuk Dr Zahari Husin kepada Paultan.org Jun lalu. Beliau juga memberitahu, kenderaan ini tidak akan keluar tahun ini, tapi mungkin Q1 2019.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required