Kenderaan merah yang tular bukan SUV Perodua, tidak mungkin dilancarkan tahun ini – MD jualan Perodua

Kenderaan merah yang tular bukan SUV Perodua, tidak mungkin dilancarkan tahun ini – MD jualan Perodua

Sejak baru-baru ini terdapat banyak spekulasi berkenaan sebuah SUV yang akan dikeluarkan oleh Perodua, sehinggakan perincian serta pelbagai lagi informasi dikongsi di media sosial. ‘Berita’ ini kemudiannya disokong lagi dengan lukisan digital sebuah SUV, yang kemudiannya menjadi tular minggu lepas.

Walaupun keinginan Perodua menjual SUV di Malaysia sudah diketahui – pada Julai 2017 kami membuat laporan presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh memberitahu, syarikat waktu itu sedang mempertimbangkan secara serius pengeluaran SUV – namun tiada sebarang perincian dan tempoh masa rasmi yang didedahkan kepada media.

Terdapat laporan lain oleh penganalisis yang mengatakan SUV ini bakal dilancar pada tahun ini, dan menyatakan secara spesifik ia akan berlangsung semasa Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) hujung tahun ini. Ada juga yang mendakwa Perodua akan melakukan latihan untuk wakil jualan pada bulan Ogos dan September ini.

Kenderaan merah yang tular bukan SUV Perodua, tidak mungkin dilancarkan tahun ini – MD jualan Perodua

Bagi mengetahui perkara sebenar, rakan sekerja kami, Danny Tan berjumpa dengan pengarah urusan jualan Perodua, Datuk Dr Zahari Husin dan beliau menyatakan secara jelas, tiada sebarang latihan jualan akan dilakukan dalam masa beberapa bulan yang terdekat ini. Beliau juga ada berkongsi sedikit informasi berkenaan produk serba baru ini, sekaligus memberi bayangan apa yang boleh dijangka daripada Perodua. Untuk gambar SUV merah yang tular tersebut, ia tidak benar tapi beliau suka dengannya.

DT: Kami diberitahu Perodua sekarang menambah waktu bekerja di bahagian pengeluaran untuk memenuhi permintaan model yang ada sekarang terutamanya Myvi. Jadi, masih adakah ruang untuk pengeluaran produk baru tahun ini?

ZH: Memang betul, fokus kami sekarang adalah meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan sekarang, dan juga permintaan untuk tiga bulan ke hadapan – itu keutamaan kami. Pelanggan Myvi kini sedang menunggu kenderaan mereka.

Sebagai pengeluar, kita tahu ada waktu menunggu sehingga tiga bulan, tapi tidak mahu sampai ke tahap itu kerana jika tidak dapat menguruskannya dengan baik, pelanggan akan lari. Kami perlu memperbaiki situasi ini dan itu adalah keutamaan buat masa ini. Berkenaan model baru, apabila tiba masanya, kami akan kongsikan.

DT: Terdapat status yang dimuat naik di laman sosial, bersama perincian yang dikatakan milik SUV baru Perodua, termasuk memberitahu wakil jualan akan menerima latihan dalam beberapa bulan akan datang. Anda ada sebarang komen berkenaannya?

ZH: Saya boleh memberitahu tiada sebarang sesi latihan yang akan dijalankan pada bulan Ogos dan September ini. Saya juga boleh memberitahu bahawa kenderaan yang viral itu bukan model terbaru kami. Yang itu terlalu cantik (sambil ketawa). Kalau awak merujuk kepada kereta merah tersebut, saya juga berharap model itu boleh menjadi model kami.

DT: Kita sudah tahu Perodua kini sedang melihat kepada SUV sebagai produk seterusnya…

ZH: Kami dapat melihat pertubuhan dalam pasaran SUV, bukan sahaja di Malaysia, malah juga di negara lain dalam benua ini seperti Thailand, Indonesia dan juga Jepun. Kami memang mahu mengikut trend ini. Jika kami mahu memperkenalkan sebuah model baru sebagai tambahan kepada barisan kenderaan yang sedia ada sekarang, sudah tentu kami akan melihat kepada trend semasa. Jadi, mungkin ‘SUV’ adalah segmen yang betul untuk dilihat sekiranya kami mahu memperkenalkan model baru.

Kenderaan merah yang tular bukan SUV Perodua, tidak mungkin dilancarkan tahun ini – MD jualan Perodua

DT: Daihatsu ada SUV yang baru Indonesia. Walaupun begitu, Perodua nampaknya sekarang lebih banyak melakukan langkah sendiri dalam aspek rekaan dan pembangunan (R&D). Adakah perkara ini akan berterusan untuk produk baru nanti?

ZH: Daihatsu telah memperkenalkan Terios di Indonesia. Walaupun pasaran SUV sedang berkembang, jumlah keseluruhannya masih lagi kecil, dan kami masih menganggapnya sebagai segmen tertumpu (niche) berbanding sedan dan hatchback di Malaysia.

Untuk model seperti ini, secara hipotesisnya, jika kami sudah ada model asas yang boleh digunakan, saya rasa itulah cara yang lebih baik daripada perlu membangunkan sebuah model lengkap secara sendiri, hanya untuk jumlah yang kecil.

Kenderaan merah yang tular bukan SUV Perodua, tidak mungkin dilancarkan tahun ini – MD jualan Perodua

Dengan berkata begitu, saya juga mahu memberitahu kemampuan R&D kita sekarang bukanlah seperti 10 tahun yang lepas. Kita mempunyai kemampuan untuk melakukan rekaan bahagian atas badan kenderaan secara sendiri. Jadi, platform mungkin boleh dikongsi, beberapa bahagian yang berkait dengan casis juga boleh dikongsi, tapi apabila tiba pada penampilan akhir dan enggayaan, ia akan jadi sesuatu yang unik untuk rakyat Malaysia.

Beberapa model kita yang terakhir direka sendiri oleh orang kita, dan Perodua sudah terkenal dengan pengeluaran sesuatu yang unik untuk rakyat Malaysia. Perkara itu, saya pasti akan diteruskan.

DT: Nampak seperti tahun yang sibuk untuk Perodua. Adakah kita akan dapat melihat produk baru ini tahun ini?

ZH: Memang tahun ini agak sibuk. Kami ada beberapa aktiviti yang berkaitan dengan produk, tapi bukan produk baru. Menjawab soalan tersebut – mungkin tidak.

GALERI: Daihatsu Terios pasaran Indonesia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Alson P on Jun 13, 2018 at 1:17 am

    Berharap Perodua dapat perkenal micro SUV 4wd seawal tahun hadapan.. RnD Perodua sekarang memang mantap.. Platform yang sama boleh dipanjangkan atau dipendekkan untuk pembangunan pelbagai model yang berbeza, contonya dari micro SUV kepada SUV 7 tempat duduk atau MPV 7 tempat duduk..

    Kereta² bersaiz kecil Dan murah adalah kepakaran Perodua..

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required