Setelah dijumpai sedang diuji, dan sebelum ini dipamerkan di beberapa bilik pameran, MPV segmen-A Toyota Calya telah didedahkan secara rasmi di Indonesia, sebelum pelancarannya yang akan diadakan pada Gaikindo Indonesian International Auto Show (GIIAS) 2016 bulan ini. MPV bajet yang menerima penarafan Low Cost Green Car (LCGC) Indonesia ini ditawarkan dalam dua varian iaitu varian asas E dan varian tertinggi G dengan harga jualan jangkaan bermula 129.65 juta rupiah (RM40,146) hingga 150 juta rupiah (RM46,450), menurut laporan Otomotif.

Di bawah undang-undang LCGC, semua varian Calya hanya hadir dengan pilihan enjin petrol tunggal 3NR-VE Dual VVT-i 1.2 liter empat-silinder berkuasa 88 PS pada takat 6,000 rpm. Enjin 3NR-VE MPV yang dibina berasaskan platform Perodua Axia/Daihatsu Ayla/Toyota Agya ini juga merupakan salah satu enjin dari siri NR, di mana varian 1NR-VE 1.0 liter digunakan pada Perodua Bezza. Dua pilihan transmisi ditawarkan iaitu manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan, memacu roda hadapan.

Cayla bersaiz lebih kecil berbanding Avanza dengan dimensi 4,070 mm panjang (-120 mm), 1,655 mm lebar (+5 mm) dan 1,600 mm tinggi (-95 mm), dan jarak roda 2,525 mm (-130 mm). Sistem suspensi dan brek juga seiras dengan Axia/Bezza, menampilkan suspensi Topang Mcpherson dan brek cakera pada bahagian hadapan, manakala sistem suspensi gandar torsion beam dan brek dram pada bahagian belakang. Kesemua varian juga didatang standard dengan roda aloi 14-inci dua ton dibaluti tayar Bridgestone Ecopia bersaiz 175/65R14.

Pada bahagian luaran, Calya direka seperti rekaan Toyota Yaris facelift untuk pasaran Eropah. Ia menampilkan gril bawah yang agak besar pada bampar hadapan dan bersambung pada gril utama pada bahagian logo Toyota. Pada bahagian belakang pula, ia dilengkapi dengan lampu belakang berbentuk-L, seperti rekaan pada Toyota Innova baharu.

Semua varian Cayla hadir dengan lampu hadapan reflektor halogen, immobilser penderia undur dan penggera kawalan jauh, penghawa dingin manual (dengan liang tempat duduk barisan kedua), tingkap berkuasa untuk semua pintu, penunjuk ECO, paparan pelbagai info, tempat duduk barisan kedua boleh lipat nisbah 60:40 dengan satu sentuhan tuil dan tempat duduk barisan ketiga one-piece.

Untuk membezakan varian asas dan varian tertinggi, varian G dilengkapi dengan lampu kabus hadapan, cermin sisi berkuasa dilengkapi lampu isyarat membelok, kemasan perak pada pintu dan papan pemuka serta kemasan krom pada liang penghawa dingin dan tombol gear.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan pemain audio utama 2-DIN dengan fungsi CD,USB dan AUX. Walau bagaimanapun hanya varian G mempunyai hubungan Bluetooth dan empat pembesar suara (varian E hanya dua pembesar suara).

Untuk ciri keselamatan, kesemua Calya dilengkapi dengan dua-beg udara dan cagak IOSFIX secara standard. Hanya varian G dan E automatik dilengkapi dengan sistem brek ABS.

Daihatsu Sigra Indonesia official

Selain dari Toyota Cayla, kembarnya – Daihatsu Sigra – turut didedahkan di Indonesia. Sigra dijangka akan dijual dengan harga bermula 106 juta rupiah (RM32,710) dan 149 juta rupiah (RM45,980). Empat varian ditawarkan dalam barisan model Sigra iaitu D, M, X dan R.

Varian D dan M akan dikuasakan dengan enjin 1.0 liter 1KR-VE empat silinder petrol dan hanya dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Varian X dan R pula menerima janakuasa yang sama dengan Calya iaitu enjin 1.2 liter 3NR-VE dipadankan dengan pilihan kotak gear sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik. Pada bahagian luaran, rekaan Sigra dan Calya dibezakan dengan rekaan berbentuk heksagon pada bampar hadapan.