Toyota Calya dipamerkan di bilik pameran di Indonesia sebelum dilancarkan – 1.2 liter Dual VVT-i, RM46k

Toyota-Calya-Indonesia-51_BM

MPV kompak tujuh-tempat duduk yang diasaskan dari platform segmen-A Perodua Axia/Daihatsu Ayla/Toyota Agya dan juga sedan Perodua Bezza, iaitu Toyota Calya, kini telahpun mula dipamerkan dibeberapa bilik pameran pengedar di Indonesia sebelum ia dilancarkan secara rasmi untuk pasaran berkenaan pada Gaikindo Indonesia International Autoshow (GIIAS) 2016 yang dijadualkan berlangsung bulan ini.

Laman web Indonesia, Autonetmagz.com telah bergegas ke salah sebuah bilik pameran tersebut untuk mendapatkan informasi dan gambar MPV berkenaan.

Bersaiz lebih kecil dari Toyota Avanza, Cayla masih mampu untuk memuatkan tujuh tempat duduk, dan dilaporkan dibina sebagai sebahagian dari program Low Cost Green Car (LCGC) Indonesia, yang memberikan insentif cukai kepada kereta dengan kecekapan bahan api yang tinggi berkapasiti maksimum 1.2 liter. Ia bakal bersaing dengan Datsun GO+ (dikenali sebagai GO+ Panca di Indonesia) dalam segmen LCGC tersebut.

Seperti juga Avanza yang mempunyai kembarnya dalam pasaran dikenali sebagai Daihatsu Xenia, MPV kompak ini juga akan dilancarkan dibawah jenama Daihatsu dengan nama Sigra untuk pasaran Indonesia.

Model ini juga merupakan versi produksi kereta konsep Daihatsu UFC-3 yang diperkenalkan pada Indonesia International Motor Show (IIMS) 2014. Beberapa perincian pada rekaan dilihat telah diberikan sentuhan semula antara kereta konsep dan versi produksi ini, seperti bentuk pada tingkap sisi dan pada beberapa permukaan lain – menjadikan rupa keseluruhannya tidak begitu agresif.

Walau bagaimanapun, muka kedua-dua MPV tersebut agak seiras serta kelihatan seperti Toyota Yaris facelift untuk pasaran Eropah. Ia juga menampilkan gril bawah yang agak besar pada bampar hadapan dan bersambung pada gril utama pada bahagian logo Toyota. Pada bahagian belakang pula, ia dilengkapi dengan lampu belakang berbentuk-L, seperti rekaan pada Toyota Innova baharu.

Dua varian ditunjukkan dalam gambar iaitu varian asas E (hitam) dan varian tertinggi G (perak), dimana varian G dilengkapi dengan kemasan krom, lampu kabus dan juga lampu isyarat membelok di cermin sisi. Calya dipadankan dengan roda berdimeter 14-inci bersama tayar Bridgestone Ecopia.

Papan pemuka Calya hanya menampilkan rekaan dan ciri asas. Tuil penukar gear juga diletakkan papan pemuka, bersebelahan dengan panel suis kawalan penghawa dingin. Seperti juga Axia dan Bezza, kedudukan roda stereng Calya ini tidak boleh dilaras. Kesemua varian Calya dilengkapi dengan tingkap berkuasa di semua pintu, cermin sisi berkuasa, dan juga unit pemain audio utama yang sama, tetapi hanya varian G ditawarkan dengan hubungan Bluetooth.

Toyota-Calya-Indonesia-46_BM

Sebuah motor peniup penghawa dingin dipadankan untuk bahagian belakang, dan menurut Autonetmagz, motor berkenaan hanya menyedut udara sejuk dari bahagian kabin hadapan untuk dihembuskan ke bahagian belakang, bukan unit lengkap yang mempunyai unit cooling coil.

Tempat duduk barisan kedua boleh dibaringkan dan digelangsarkan, manakala untuk masuk ke tempat duduk barisan ketiga (yang turut dilengkapi ruang storan bahagian sisi serta tali pinggang keledar), penumpang boleh menurunkan perehat badan tempat duduk barisan kedua dengan satu sentuhan tuil. Tempat duduk barisan terakhir boleh dilipat dengan hanya satu bahagian. Tayar gantian bersaiz penuh pula ditempatkan dibahagian belakang bawah badan kereta.

Cayla dikuasakan dengan enjin Dual VVT-i 1.2 liter empat silinder 3NR-FE (Bezza 1.3 liter menggunakan enjin 1NR-VE), berupaya menghasilkan kuasa 80 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 104 Nm pada takat 3,100 rpm. Ia juga dijangka akan dipadankan dengan sistem transmisi sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik, sama seperti Axia.

Untuk ciri keselamatan, kesemua Calya dilengkapi dengan dua-beg udara dan cagak IOSFIX secara standard. Hanya varian G dilengkapi dengan sistem brek ABS, dan varian tertinggi berkenaan dikhabarkan akan dijual dengan harga 150 juta rupiah (RM46,272).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required