Toyota-Calya-3

Sedang kita hangat memperkatakan tentang sedan keluaran pertama keluaran Perodua di Malaysia – Bezza – yang diasaskan dari hatchback Perodua Axia, di Indonesia, Toyota Cayla iaitu MPV kompak yang diasaskan dari platform yang sama (Axia dikenali sebagai Toyota Agya dan Daihatsu Alya di Indonesia) dijumpai sedang diuji diatas jalan raya tanpa sebarang pelekat penyamaran.

Imej dan video Toyota Cayla berkenaan telah disiarkan oleh AutonetMagz.com dan dikhabarkan bakal dilancarkan pada acara Gaikindo Indonesia International Autoshow (GIIAS) 2016 bulan hadapan. MPV kompak ini juga akan dilancarkan dibawah jenama Daihatsu dengan nama Sigra.

Imej pertama Toyota Cayla ini telah bocor buat pertama kali di internet Mei lalu. Bersaiz lebih kecil dari Toyota Avanza, Cayla masih mampu untuk memuatkan tujuh tempat duduk, dan bakal bersaing dengan Datsun GO+ di pasaran Indonesia.

Cayla mungkin merupakan versi produksi kereta konsep Daihatsu UFC-3 yang diperkenalkan pada Indonesia International Motor Show (IIMS) 2014 – yang dibina lebih kecil daripada Daihatsu Xenia, iaitu Toyota Avanza yang di rebadge.

Seperti juga Datsun GO+ (dikenali sebagai GO+ Panca di Indonesia), Cayla dilaporkan dibina sebagai sebahagian dari program Low Cost Green Car (LCGC) Indonesia, yang memberikan insentif cukai kepada kereta dengan kecekapan bahan api yang tinggi berkapasiti maksimum 1.2 liter.

Perincian untuk spesifikasi teknikal juga belum didedahkan, tetapi Cayla dijangka akan dikuasakan dengan enjin 1.2 liter empat silinder 3NR-FE dari Etios, berupaya menghasilkan kuasa 80 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 104 Nm pada takat 3,100 rpm. Ia juga dijangka akan dipadankan dengan sistem transmisi sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik, sama seperti Axia.

GALERI: Daihatsu UFC-3 Concept di IIMS 2014