Februari lalu, UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan varian Toyota Avanza 1.5X sebagai penawaran paling tinggi model MPV tujuh-tempat duduk itu. Dengan harga RM82,700 atas jalan tidak termasuk insurans, Avanza X ini menampilkan imej yang lebih gagah yang dipinjam dari penampilan SUV. Ada iras Honda BR-V?

Tambahan kosmetik paling ketara pada Avanza X ialah bahagian pelindung hitam yang digunakan disekiling bahagian bawah badannya. Turut disertakan ialah kemasan perak di depan dan belakang yang mencadangkan rekaan skid plate yang biasa ada pada model SUV. Bahagian pelindung tambahan hitam kesat itu turut diganding dengan kemasan hitam berkilat pada bahagian atas badan kenderaan ini, dan tidak lupa juga DRL LED yang terletak dibahagian bawah lampu kabus.

Bahagian D-pillar pula digelapkan, mencadangkan kesan “bumbung terapung” pada MPV ini. Lencana X juga digunakan untuk menghias bahagian sisi, sementara lampu belakang pula menerima reflektor tambahan disamping lampu utama yang melintang.

Kit pilihan yang ditunjukkan di sini antaranya ialah rim aloi 16-inci dua-tona dan kemasan pada bumbungnya, yang kami rasa nampak seperti roof rail, tetapi hanya bertujuan sebagai hiasan. Sama seperti model diedarkan UMWT sebelum ini, pelanggan boleh memilih head unit antara DVD-AVX atau DVD-AVN, kedua-duanya dengan skrin sentuh.