Menambahkan lagi varian bagi barisan Avanza di pasaran Malaysia, UMW Toyota Motor Sdn Bhd bakal memperkenalkan Avanza 1.5X tidak lama lagi. Tempahannya telah pun mula dibuka sejak 5 Februari lalu dengan harga dari RM82,700 (tidak termasuk insurans, untuk pendaftaran persendirian di Semenanjung).

Avanza 1.5X ini hadir dengan penampilan yang lebih ranggi dan menarik termasuklah dengan bampar depan dan belakang dengan lanjutan kemasan hitam serta perak, begitu juga dengan kemasan tambahan pada bahagian lengkungan ruang tayarnya, juga dalam penyudah hitam bagi memberikan perlindungan daripada serpihan ketika di jalan raya.

Bukan itu sahaja, pelekap bahagian sisi juga turut menyumbang kepada imej segar yang ingin dibawa, di samping memberikan perlindungan kepada cat pada badan kenderaan. Gabungan reflektor pada bahagian belakang pula disepadukan dengan lampu, memberikan sentuhan yang lebih bergaya. Turut ditawarkan sebagai aksesori pilihan ialah hiasan pada bumbung serta rim aloi 16-inci dengan rekaan unik. Kedua-duanya akan memberi kelainan kepada penampilan keseluruhan Avanza 1.5X.

Untuk bahagian kabinnya, tiada perubahan besar yang dilakukan. Namun diberikan pilihan untuk pelanggan yang ingin menaiktaraf sistem infotainmen boleh berbuat demikian dengan memilih sistem DVD-AVX atau DVD-AVN. Kedua-duanya hadir dengan skrin sentuh yang besar lengkap dengan paparan kamera undur. Bagi unit DVD-AVN, ia turut dilengkapi dengan pelayar internet (memerlukan sambungan WiFi dari pengguna) dan sistem navigasi GPS.

Ia juga masih mengekalkan bahagian mekanikalnya termasuklah enjin 1.5 Dual VVT-i yang mampu memberikan kuasa sehingga 105 PS/136Nm dan 1.3 liter pula dengan kuasa 97PS/121Nm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan.

Barisan varian Avanza termasuk 1.5X terbaharu ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan terbaik dari sudut impak perlanggaran. Terdapat dua beg udara di bahagian depan, dengan setiap tujuh tempat duduk yang ada dipasangkan dengan tali keledar tiga-poin serta dua tapak ISOFIX pada barisan kedua.

Semua model Toyota kini datang dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan untuk pengalaman pemilikan terbaik kepada pengguna. Waranti berkenaan turut sah bagi pemilik seterusnya kenderaan itu, asalkan ia masih berada dalam tempoh waranti lima-tahun. Ini memberikan nilai tambah kepada kenderaan tersebut.

Avanza 1.5X akan mula dipamerkan bermula 24 Februari ini dalam acara hujung minggu Toyota Weekender di semua bilik pameran Toyota terlibat. Untuk pertanyaan lanjut, sila layari laman toyota.com.my.