Proton X50 – apa yang kami tahu setakat ini

Proton X50 – apa yang kami tahu setakat ini

Selepas membuktikan apa yang Proton boleh tawarkan dalam pasaran menerusi SUV Proton X70, rakyat Malaysia tertunggu-tunggu janji Proton untuk membawa satu lagi SUV yang lebih kecil, berada dalam kelas segmen-B yang kini sedang dikuasai oleh Honda HR-V.

Pada September tahun lalu, Proton telah menerima lesen dari Geely yang mana jenama automotif Malaysia itu kini telah sah untuk menggunakan hak intelektual (IP) dan hak untuk memproduksi dan menjual tiga model Geely iaitu Geely Boyue yang telah dipasarkan sebagai Proton X70 (juga akan mula dipasang di Tanjung Malim tahun ini), dan juga dua lagi model pada pasaran China iaitu SUV Binyue dan MPV Jiaji. Jadi, Binyue hampir pasti akan dijelmakan sebagai Proton, dan ia didakwa akan digelar sebagai X50.

Adakah benar ia akan diberi nama Proton X50?

Proton X50 – apa yang kami tahu setakat ini

Sehingga kini, Proton masih belum mengumumkan nama rasmi untuk SUV tersebut, tetapi berberapa petanda bahawa nama “X50” bakal digunakan untuk model ini. Pertama, ketika menerangkan mengapa nama “X70” dipilih untuk SUV segmen-C mereka, Proton menjelaskan mereka akan menerapkan nama yang menggunakan konsep abjad angka (alphanumeric) untuk model-model mereka bagi memudahkan ia dijual pada pasaran eksport kelak, tanpa merubah nama yang lebih sesuai untuk pasaran selain dari Malaysia.

Dalam kes X70, abjad “X” bermaksud ia adalah SUV atau crossover, manakala “70” adalah merujuk kepada saiz atau kelas model tersebut. Sistem nama ini adalah seiras dengan sistem yang digunakan oleh Volvo untuk model mereka, misalnya XC untuk SUV/Crossover dan S untuk sedan. Jadi untuk SUV kompak baharu Proton ini, nombor X50 adalah yang paling mungkin kerana 5 adalah nombor ganjil sebelum 7.

Satu lagi yang menguatkan dakwaan X50 ini akan digunakan adalah kerana Proton telahpun memfailkan nama “Proton X50” berkenaan kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan nombor permohonan 2018003484 pada 28 mac 2018, dan ia telah diluluskan pada 24 September 2018.

Model mana yang akan menjadi asas kepada Proton X50 ini?

Seperti yang disebutkan tadi, X50 akan dibina berasaskan Geely Binyue yang sudah pun masuk ke pasaran China pada Ogos 2018. Binyue yang akan dijelmakan sebagai X50 telah pun ditemui sedang diuji di Malaysia, seperti biasa mengenakan pelekat penyamaran.

Binyue dihasilkan dari platform B-segment Modular Architecture (BMA) Geely dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, bersama jarak roda 2,600 mm. Sebagai perbandingan, dimensi X70 pula adalah 4,519 mm panjang, 1,831 mm lebar dan 1,694 mm tinggi, dengan jarak roda 2,670 mm.

Jika mengambil kira apa yang diterapkan pada Proton X70, kita mungkin boleh agak apa yang dibuat oleh Proton untuk dijelmakan sebagai X50 – sudah tentu ia akan diberikan gril Infinite Weave, iaitu elemen rekaan diinspirasikan dari ukiran kayu pada rumah tradisional melayu yang kini turut diterapkan pada Iriz, Persona dan Saga facelift 2019. Bagaimana agaknya rupa X50 nanti? imej bayangan yang dihasilkan oleh Theophilus Chin ini mungkin akan membantu anda berimaginasi.

Di China, Binyue ditawarkan dalam dua jenis janakuasa sama ada gandingan enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 134 hp/205 Nm dengan kotak gear manual enam kelajuan, atau padanan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo menjana 174 hp/255 Nm yang dibina bersama Volvo dan kotak gear klac-berkembar tujuh-kelajuan automatik.

Model Binyue dengan janaan hibrid plug-in turut ditawarkan pada pasaran China, yang menggabungkan enjin 1.5 liter tersebut dengan motor elektrik dan penambahan pek bateri. Secara keseluruhan, Binyue PHEV berkenaan dibekalkan dengan kuasa 255 hp/415 Nm, dengan jarak perjalanan elektrik sepenuhnya 60 km.

Tiada langsung perincian disahkan oleh Proton setakat ini, namun kami jangkakan X50 di Malaysia akan ditawarkan dalam versi petrol 1.5 liter turbo tanpa sistem hibrid. Jika benar pakej ini diberikan pada X50 kelak, ini bermakna ia adalah model pertama Proton yang akan dibekalkan dengan kotak gear klac berkembar automatik, sekiranya transmisi itu tidak ditawarkan pada X70 terlebih dahulu.

Untuk kelengkapan pula, Binyue pasaran China menampilkan fungsi pemanduan sendiri tahap 2 dengan ciri-ciri seperti cruise control adaptif dan bantuan parkir dan sistem brek kecemasan automatik (AEB). Ia juga ditawarkan dengan sistem infotainmen GKUI dan skrin sesentuh 10.25-inci serta paparan meter digital dengan skrin tujuh-inci.

Kami jangkakan juga hampir kesemua fungsi dan ciri dari Binyue akan diterima oleh Proton X50. Ini kerana X70 juga menerima hampir semua saduran teknologi dari Geely Binyue termasuk sistem “Hi, Proton” dan cruise control adaptif, tidak mustahil sistem parkir automatik turut akn diberikan pada X50.

Bila Proton X50 akan dilancarkan? Adakah ia akan hadir dalam versi CKD?

Juga tiada sebarang pengumuman rasmi dari Proton berkenaan perkara ini. Tetapi menurut AmInvestment, X50 akan dilancarkan pada Oktober 2020, dan ia akan dihasilkan secara pemasangan tempatan.

Tahun lalu, Proton telah mengumumkan pelaburan sebanyak RM1.2 bilion bagi menaiktaraf fasiliti mereka di Tanjong Malim bagi menghasilkan X70 CKD, dijangka akan mula diproduksi pada September 2019. Namun tiada pengumuman adakah ia turut meliputi untuk pemasangan kenderaan dari platform BMA. Tetapi berkemungkinan besar, ia adalah sebahagian dari tingkat taraf tersebut.

Buat masa sekarang, X70 ada model yang diimport sepenuhnya dari China, dan versi CKD akan dilancar tahun ini. Berdasarkan jangkaan dari AmInvestment tadi, dipercayai X50 akan terus diperkenalkan sebagai model CKD tanpa unit awalan dari China seperti X70.

Proton X50 – apa yang kami tahu setakat ini

Berapa julat harga Proton X50 nanti?

Ini satu lagi persoalan yang agak popular, dan sudah tentu belum ada sebarang perincian dari Proton sendiri. Buat masa sekarang, abangnya X70 dijual pada harga bermula RM99,800 hingga RM123,800, jadi X50 ini berkemungkinan akan dijual lebih murah.

Pelbagai jangkaan yang tular di media sosial, tetapi semuanya lebih bersifat spekulasi. Namun bagi kami sendiri, anggaran yang dibuat adalah X50 akan dijual RM20,000 lebih murah dari X70 iaitu dari RM79,800 hingga RM103,800, dengan sedikit pertindihan antara X50 Premium dan X70 Standard.

Jika jangkaan ini betul, X50 pastinya akan memberikan ancaman terhadap model dalam segmen sama seperti Honda HR-V, Mazda CX-3 dan Toyota C-HR. Melihat bagaimana X70 berhadapan dengan saingannya sekarang, tidak mustahil perkara sama terjadi pada X50 nanti.

Kami akan sentiasa mengemaskini artikel ini sekiranya menerima apa-apa lagi pendedahan, terutamanya dari Proton sendiri sehingga ia dilancarkan nanti. Jadi untuk mengetahui perkembangan terkini berkenaan Proton X50 ini, teruskan bersama kami.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required