September tahun lalu, Proton telah disahkan menerima lesen untuk membina tiga buah model Geely iaitu Boyue, MPV VF11 atau Geely Jiaji dan crossover segmen-B Geely Binyue. Boyue sudah selamat dilancarkan sebagai Proton X70, dan nampaknya Binyue pula akan menyusul selepas ini setelah ia dilihat sedang diuji di atas jalan raya Malaysia.

Binyue baharu sahaja diperkenalkan secara rasmi di pasaran China pada November tahun lalu, dan selepas itu keluar satu gambar crossover tersebut di laman Instagram dengan nama Geely Auto (tetapi ia bukan akaun sebenar milik Geely) bahawa ia akan dijelmakan dalam versi Proton dengan nama ‘X50’.

Gambar Binyue yang sedang diuji ini pula disiarkan pada laman Facebook The Ajerul, yang menyatakan bahawa ia ditemui sedang diuji di Melaka. Walaupun diberikan pelekat penyamaran penuh, bentuk muka hadapan dengan gril “expanding cosmos” dan garis badan sisi masih menyerlahkan rupa Bin Yue berkenaan. Model yang diuji ini juga masih kekal versi pemanduan sebelah kiri, berkemungkinan masih belum ada lagi proses transformasi berat dari Geely ke versi Proton sebenar.

Apa yang menarik lagi, bukan hanya sebuah tetapi dua buah Bin Yue dilihat diuji serentak, dimana kedua-duanya menampilkan sedikit ciri-ciri berbeza, berkemungkinan satu dari model dari varian tinggi dan satu lagi varian lebih rendah. Untuk varian tinggi, ia dilihat mengenakan rim dengan elemen turbin pelbagai jejari, bersama sama spoiler bumbung besar. Manakala versi lebih rendah dilihat diberikan rim turbin lima jejari serta spoiler bumbung dengan saiz lebih kecil.

Untuk pasaran China, Bin Yue hadir dalam dua versi janaan berbeza. Varian rendah dijana oleh enjin 1.0 liter turbo berkuasa 135 hp/205 Nm dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual. Manakala model paling berkuasa menerima enjin empat-silinder 1.5 liter turbo dengan suntikan bahan api terus berkuasa dibangunkan bersama Volvo berkuasa 174 hp/255 Nm, dipadankan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

Geely Binyue dihasilkan dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula adalah 2,600 mm. Menurut Geely, platform BMA ini direka bagi membolehkan ruang dalaman dioptimakan dan membantu Binyue mencapai kadar penggunaan jarak roda 68.7% untuk kabin.

SUV ini diberikan pelbagai sistem bantuan pemanduan yang membolehkan ia diiktiraf dilengkapkan dengan sistem pemanduan automatik tahap 2. Kelengkapan tersebut termasuk Cruise Control Pintar yang menggunakan kombinasi radar gelombang-milimeter dan kamera berdefinasi tinggi, membolehkan ia mengikut aliran trafik di hadapan pada kelajuan hingga 150 km/j, serta mampu menukar lorong sendiri.

Ia turut dilengkapi dengan Bantuan Parkir Automatik, kawalan kestabilan elektronik, brek kecemasan automatik bersama pengesan pejalan kaki, pengesan titik buta, sistem pemantau tekanan dan suhu tayar, sistem pemantau 360-darjah HD, dashcam HD, dan banyak lagi.

Bagi sistem infotainmen pula, Binyue menerima sistem GKUI Geely Smart Ecosystem yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan peranti mudah alih menerusi kereta berkenaan. Menurut Geely, pengguna boleh “terus bercakap kepada kereta mereka” menggunakan arahan suara, dan mereka boleh terus berhubung dengan kereta mereka menerusi telefon pintar walaupun berada jauh dari kereta tersebut.

Paparan instrumen digital untuk pemandu dihasilkan dari skrin LCD bersiaz tujuh-inci, dan turut memberikan informasi seperti telefon, multimedia, navigasi dan bantuan pemanduan. Bahagian tengah pula diletakkan skrin ‘terapung’ definasi tinggi (1920 x 720) bersaiz 10.25-inci, dengan nisbah aspek skrin lebar 8:3 yang unik.

Kelengkapan lain yang turut dibekalkan adalah tempat duduk hadapan kawalan elektrik, penghawa dingin dua-zon dengan sistem pengurusan kualiti udara, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, tiga mod pemanduan (Normal, Eco and Sport), brek parkir elektronik dengan fungsi penahan, upholsteri kulit, pedal penukar gear dan enam-pembesar suara.

GALERI: Geely Binyue pasaran China