Setelah sebahagian perinciannya didedahkan sebelum ini, akhirnya SUV segmen-B iaitu Geely Binyue (dikenali dengan kod nama SX11) kini secara rasmi dilancarkan pada pasaran China. Crossover ini dibina berasaskan platform modular yang dibina bersama Volvo, dan ia menampilkan ciri seakan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo yang fleksibel dari segi skala dan juga pemadanan unit janakuasa.

Geely Binyue dihasilkan dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula adalah 2,600 mm. Menurut Geely, platform BMA ini direka bagi membolehkan ruang dalaman dioptimakan dan membantu Binyue mencapai kadar penggunaan jarak roda 68.7% untuk kabin.

Dua pilihan enjin ditawarkan untuk Binyue buat masa sekarang iaitu enjin empat-silinder 1.5 liter turbo dengan suntikan bahan api terus dipadankan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Manakala pilihan kedua adalah enjin 1.0 liter turbo dipadankan bersama transmisi manual enam-kelajuan.

Enjin 1.5 liter berkenaan adalah enjin yang dibangunkan bersama Volvo, mampu menghasilkan kuasa 174 hp dan tork maksima 255 Nm. Untuk enjin 1.0 liter pula, ia berkebolehan untuk menjana 135 hp dan tork maksima 205 Nm.

SUV ini diberikan pelbagai sistem bantuan pemanduan yang membolehkan ia diiktiraf dilengkapkan dengan sistem pemanduan automatik tahap 2. Kelengkapan tersebut termasuk Cruise Control Pintar yang menggunakan kombinasi radar gelombang-milimeter dan kamera berdefinasi tinggi, membolehkan ia mengikut aliran trafik di hadapan pada kelajuan hingga 150 km/j, serta mampu menukar lorong sendiri.

Ia turut dilengkapi dengan Bantuan Parkir Automatik, kawalan kestabilan elektronik, brek kecemasan automatik bersama pengesan pejalan kaki, pengesan titik buta, sistem pemantau tekanan dan suhu tayar, sistem pemantau 360-darjah HD, dashcam HD, dan banyak lagi.

Bagi sistem infotainmen pula, Binyue menerima sistem GKUI Geely Smart Ecosystem yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan peranti mudah alih menerusi kereta berkenaan. Menurut Geely, pengguna boleh “terus bercakap kepada kereta mereka” menggunakan arahan suara, dan mereka boleh terus berhubung dengan kereta mereka menerusi telefon pintar walaupun berada jauh dari kereta tersebut.

Binyue turut menerima sokongan servis 4G tanpa had serta Wi-Fi bagi memastikan penumpang sentiasa berhubung dengan data, manakala kemaskini masa-sebenar dan over-the-air akan memastikan pengalaman pengguna sentiasa dikemaskini.

Geely menyatakan bahawa rekaan dalaman Binyue ini “diinspirasikan dari kokpit pesawat udara”, manakala komponen lain pada kabin diinspirasikan dari elemen sains fiksyen seperti Star Wars, termasuk liang penghawa dingin yang kelihatan seperti bahagian belakang enjin jet.

Paparan instrumen digital untuk pemandu dihasilkan dari skrin LCD bersiaz tujuh-inci, dan turut memberikan informasi seperti telefon, multimedia, navigasi dan bantuan pemanduan. Bahagian tengah pula diletakkan skrin ‘terapung’ definasi tinggi (1920 x 720) bersaiz 10.25-inci, dengan nisbah aspek skrin lebar 8:3 yang unik. Tiga warna tema dalaman diberikan untuk Binyue iaitu hitam, perang dan gabungan merah/hitam.

Kelengkapan lain yang turut dibekalkan adalah tempat duduk hadapan kawalan elektrik, penghawa dingin dua-zon dengan sistem pengurusan kualiti udara, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, tiga mod pemanduan (Normal, Eco and Sport), brek parkir elektronik dengan fungsi penahan, upholsteri kulit, pedal penukar gear dan enam-pembesar suara.

Pelanggan untuk pasaran China turut ditawarkan dengan kit badan lebih garang yang terdiri dari bampar hadapan dan belakang baharu, skirt sisi, dan spoiler bumbung. Model ini dijual pada harga bermula 78,800 yuan (RM47,194) hingga 118,800 yuan (RM71,150).

Menurut Geely, Binyue turut akan dipasarkan diluar China, dan pertandingan untuk menamakan SUV kompak ini untuk pasaran global telah diumumkan sebelum ini.

Kita di Malaysia juga perlu memberikan perhatian kepada Binyue kerana ini merupakan salah satu model yang telah disahkan akan dibina oleh Proton menerusi pemberian lesen sebelum ini. Lesen berkenaan memberikan hak kepada Proton terhadap rekaan, pembangunan, pembuatan, jualan, pemasaran dan pengedaran untuk tiga model iaitu Boyue (Proton X70), Binyue dan juga MPV VF11; dan ia menyatakan bahawa Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand sebagai negara yang dibenarkan untuk Proton memasarkan model-model yang telah diberikan lesen. Lesen tersebut sah selama 10 tahun.

Jadi apa pendapat anda, adakah Proton boleh mencabar Honda H-RV setelah Binyue ini dijelmakan untuk pasaran Malaysia kelak?