Geely Binyue – nama rasmi untuk SUV segmen-B SX11 di China, pertandingan nama global kini dibuka

Ingat lagi SUV segmen-B Geely yang dikenali dengan kod nama SX11 tempoh hari? Kini jenama automotif dari China berkenaan telah mendedahkan bahawa crossover tersebut akan digelar sebagai Binyue di republik itu. Manakala untuk pasaran global Geely juga mengumumkan pertandingan untuk memberikan nama untuk SX11 ini menerusi laman Facebook mereka, dan pemenang bakal di bawa ke China untuk “VIP Binyue Experience Tour.”

Model yang direka untuk berhadapan dengan crossover kompak seperti Toyota C-HR, Hyundai Kona, Mazda CX-3 dan Honda HR-V ini menampilkan rupa yang lebih tajam dan sporty dari abangnya, SUV segmen-C Geely Boyue. Muka model ini masih diberikan gril signatur “expanding cosmos” Geely, diapit dengan lampu hadapan yang direka tajam serta menempatkan jalur LED untuk lampu nyalaan siang.

Muka garang Binyue tersebut turut disokong dengan rekaan apron hadapan yang terbentuk dari tiga liang udara (dua sisi, tengah) pada bampar dengan rupa yang agresif. Ia juga menerima ‘otot’ pada fender hadapan seperti Boyue, bersama garis bahu yang bersambung terus ke lampu belakang. Selain itu, rekaan ‘bumbung terapung’ yang terhasil dari bentuk cermin tingkap pada tiang-D turut dikekalkan pada SUV kompak ini.

Geely Binyue – nama rasmi untuk SUV segmen-B SX11 di China, pertandingan nama global kini dibuka

Untuk bahagian belakang pula, model ini diberikan lampu berbentuk trapezoid yang terhubung antara kedua-dua sisi menerusi bar krom dengan ukiran ‘GEELY’, bersama spoiler bumbung besar dan juga kemasan seakan diffusser serta dua perumah tip ekzos kemasan krom pada bampar.

Pada bahagian dalaman, SUV ini menerima papan pemuka yang kelihatan ringkas, serta diberikan skrin utama ‘berdiri sendiri’ pada bahagian tengah. Ia turut menerima paparan instrumen utama digital sepenuhnya seperti Boyue, dan diberikan roda stereng rata di bawah bersama tombol gear bersaiz kecil.

Portal China, autohome.com.cn sebelum ini pernah melaporkan bahawa Binyue mempunyai dimensi ukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, dengan jarak roda 2,600 mm. Ini meletakkan Binyue di tengah antara model SUV Vision X3 dan Vision, dan sudah tentu ia lebih kecil daripada Boyue yang bersaing dalam segmen-C.

Geely telah mengesahkan Binyue bakal dikuasakan oleh enjin petrol tiga silinder 1.5 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus yang dibangunkan bersama Volvo dan mampu menghasilkan kuasa 161 hp dan tork maksima 255 Nm. Ia dijangka dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang juga dibangunkan bersama Volvo, serta didakwa mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

Sebelum ini juga Geely telah membayangkan bahawa Proton bakal menerima model-model yang dibangunkan menggunakan platform BMA berkenaan, dengan kenyataan bahawa ia turut akan diguna oleh jenama luar dan dibina di Asia Tenggara, namun masih belum jelas adakah Binyue ini akan dijelmakan sebagai Proton kerana platform berkenaan turut dijadikan asas untuk sedan segmen-C Geely Binrui.

Selain dapat memuatkan unit-unit janakuasa terbaharu Geely yang dibina bersama Volvo, platform BMA ini turut boleh menggunakan teknologi keselamatan aktif terkini serta ciri pemanduan autonomous Level 2 dan Level 3.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required