Setelah gambar teaser disiarkan tempoh hari, imej awalan SUV segmen-B Geely yang diberi kod nama SX11 kini telahpun disiarkan. Walau bagaimanapun, tiada sebarang informasi disertakan sekali, namun menurut portal automotif dari China, Gasgoo, SUV ini bakal dijual pada suku keempat tahun ini dengan nama Xing Yue.

Seperti kebanyakkan crossover segmen-B seperti Toyota C-HR, Hyundai Kona, Mazda CX-3 dan Honda HR-V, SX11 ini turut menampilkan rupa yang lebih tajam dan sporty dari abangnya, SUV segmen-C Geely Boyue. Muka model ini diberikan gril signatur “expanding cosmos” Geely, diapit dengan lampu hadapan yang direka tajam serta menempatkan jalur LED untuk lampu nyalaan siang.

Muka garang corssover ini turut disokong dengan rekaan apron hadapan yang terbentuk dari tiga liang udara (dua sisi, tengah) pada bampar dengan rupa yang agresif. SX11 juga menerima ‘otot’ pada fender hadapan seperti Boyue, bersama garis bahu yang bersambung terus ke lampu belakang. Selain itu, rekaan ‘bumbung terapung’ yang terhasil dari bentuk cermin tingkap pada tiang-D turut dikekalkan pada SUV kompak ini.

Untuk bahagian belakang pula, model ini diberikan lampu berbentuk trapezoid yang terhubung antara kedua-dua sisi menerusi bar krom dengan ukiran ‘GEELY’, bersama spoiler bumbung besar dan juga kemasan seakan diffusser serta dua perumah tip ekzos kemasan krom pada bampar.

Set gambar kali ini turut mendedahkan sekali bahagian dalam SX11 berkenaan. Papan pemuka SUV ini kelihatan ringkas, serta diberikan skrin utama ‘berdiri sendiri’ pada bahagian tengah. Ia turut menerima paparan instrumen utama digital sepenuhnya seperti Boyue, dan diberikan roda stereng rata di bawah bersama tombol gear bersaiz kecil.

Satu lagi portal China, autohome.com.cn sebelum ini pernah melaporkan bahawa SX11 mempunyai dimensi ukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, dengan jarak roda 2,600 mm. Ini meletakkan SX11 di tengah antara model SUV Vision X3 dan Vision, dan sudah tentu ia lebih kecil daripada Boyue yang bersaing dalam segmen-C.

Geely telah mengesahkan SX11 bakal dikuasakan oleh enjin petrol tiga silinder 1.5 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus yang dibangunkan bersama Volvo dan mampu menghasilkan kuasa 161 hp dan tork maksima 255 Nm. Ia dijangka dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang juga dibangunkan bersama Volvo, serta didakwa mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

Sebelum ini juga Geely telah membayangkan bahawa Proton bakal menerima model-model yang dibangunkan menggunakan platform BMA berkenaan, dengan kenyataan bahawa ia turut akan diguna oleh jenama luar dan dibina di Asia Tenggara, namun masih belum jelas adakah SX11 ini akan dijelmakan sebagai Proton kerana platform berkenaan turut dijadikan asas untuk sedan segmen-C Geely Bin Rui.

Selain dapat memuatkan unit-unit janakuasa terbaharu Geely yang dibina bersama Volvo, platform BMA ini turut boleh menggunakan teknologi keselamatan aktif terkini serta ciri pemanduan autonomous Level 2 dan Level 3.