Selain gambar awal Bin Rui, Geely juga telah mengeluarkan “spyshot” rasmi untuk model SUV segmen B yang akan dilancarkan di pasaran China suku keempat tahun ini. Setakat ini, SUV tersebut dipanggil menggunakan nama kod SX11, dan merupakan model kedua yang akan dibina atas platform B-segment Modular Architecture (BMA) syarikat itu.

Walaupun masih dipenuhi dengan pelekat camouflage, kita boleh melihat dengan jelas ia adalah kenderaan sama seperti yang bocor awal tahun ini, dengan penampilan lebih sporty berbanding model Geely yang lain. Pada bahagian depan, gril “kosmos berkembang” yang sudah menjadi tanda unik jenama itu masih digunakan, bersama lampu belakang yang dijadikan lebih tajam dan bukaan udara lebih agresif.

Turut boleh dilihat adalah fender hadapan kembung, bersama bahagian tepi yang berlekuk, c-pillar unik serta d-pillar yang digelapkan supaya bahagian bumbung nampak terapung – elemen rekaan yang diambil daripada Boyue. Tidak banyak yang boleh dilihat pada bahagian belakang, tetapi melalui lukisannya, ia mempunyai lampu trapezoid, kemasan krom yang lebar, pintu but besar, spoiler serta dua muncung ekzos.

Laman web dari China, autohome.com.cn sebelum ini pernah melaporkan bahawa SX11 mempunyai ukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, dengan jarak roda 2,600 mm. Ini meletakkan SX11 di tengah antara model SUV Vision X3 dan Vision, dan menjadikan ia lebih kecil daripada Boyue yang terletak dalam segmen C.

Geely telah mengesahkan SX11 bakal dikuasakan oleh enjin petrol tiga silinder direct injection turbo 1.5 liter, yang dibangunkan bersama Volvo dan mampu menghasilkan kuasa 161 hp dan 255 Nm tork. Ia dijangka dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang juga dibangunkan bersama Volvo, dan dikata mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

Adakah SX11 ini akan tiba di Malaysia sebagai sebuah Proton? Sebelum ini Geely sudah memberi isyarat pengeluar kenderaan tempatan itu juga akan menggunakan platform BMA ini, dengan berkata ia turut akan diguna oleh jenama luar dan dibina di Asia Tenggara. Platform ini nanti boleh menggunakan teknologi keselamatan aktif terkini, ciri pemanduan autonomous Level 2 dan Level 3, serta enjin petrol terbaru Geely.