Hyundai Kona – spesifikasi, imej penuh didedahkan

Hyundai Kona – spesifikasi, imej penuh didedahkan

SUV segmen-B Hyundai Kona yang bakal memberikan saingan kepada Honda HR-V, Toyota C-HR, dan Mazda CX-3 kini secara rasmi telah membuat kemunculan sulungnya, setelah pelbagai imej dan video teaser didedahkan. Kona – yang namanya diambil dari sebuah tempat di Hawaii – diletakkan di bawah barisan SUV Hyundai lain iaitu Tucson dan Santa Fe (nama-nama SUV dari Hyundai sememangnya diambil dari tempat-tempat di Amerika Syarikat).

Kona menampilkan rekaan yang agak funky dengan lampu nyalaan siang tirus diletakkan pada bahagian atas, manakala lampu utamanya terletak pada bahagian bampar – rekaan unik dengan konsep seperti ditampilkan pada Citroen C4 Cactus. Ia turut menampilkan gril signatur “cascading” seperti yang terdapat pada model i30.

Susunan yang sama turut boleh dilihat pada bahagian belakang dengan menampilkan lampu tirus pada bahagian atas, dan juga lampu kombinasi lain pada bahagian bawah. Menurut Hyundai, karekter unik pada Kona ini adalah hasil gabungan rekaan lampu-lampu yang digelar “lampu komposit”, gril “cascading” dan juga rekaan badan yang seolah-olah diberikan perisai. Kona turut diberikan tema warna dua-tona yang membuatkan bumbungnya kelihatan seperti terapung.

Bagi dimensi, saiz Kona diukur dengan 4,165 mm panjang, 1,800 mm lebar manakala jarak rodanya pula adalah 2,600 mm. Berbanding Honda HR-V, SUV Korea ini 129 mm lebih pendek tetapi 28 mm lebih lebar dan 55 mm lebih rendah – memberikan stance yang lebih menarik. Untuk jarak roda pula, Kona diukur 10 mm lebih pendek berbanding HR-V.

Hyundai Kona – spesifikasi, imej penuh didedahkan

Menurut Hyundai, Kona dibina berasaskan platform SUV kompak baharu, dioptimakan bagi membolehkan ia disesuaikan dengan kelegaan tanah SUV serta pilihan sistem 4WD, sambil mengekalkan ruang pada kabin.

Bahagian dalaman, Kona diberikan imej yang lebih relaks dan tidak agresif seperti bahagian luarannya. Ia bakal diberikan elemen warna mengikut warna badan keseluruhan SUV ini. Hyundai turut menampilkan paparan head-up buat pertama kali menerusi Kona.

Sistem infotaimen dengan skrin lapan-inci dan turut berfungsi sebagai sistem navigasi dan turut menyokong Apple Carplay dan Android Auto ditawarkan sebagai opsyen. Ia turut hadir dengan langganan percuma tujuh-tahun untuk servis LIVE – memberikan informasi masa sebenar untuk cuaca, keadaan trafik dan juga info kamera perangkap had laju serta POI.

Untuk sistem bunyi, Kona diberikan sistem dari Krell Audio menampilkan lapan pembesar suara yang terdiri dari dua tweeter 20 mm, empat pembesar suara woofer 160 mm, sebuah pembesar suara tengah 100 mm dan juga subwoofer 200 mm. Amplifier lapan-saluran turut diberikan yang memberikan 45 watt untuk setiap saluran. Hyundai turut menawarkan pad pengecas induktif tanpa wayar Qi sebagai ciri pilihan pada Kona.

Hyundai Kona – spesifikasi, imej penuh didedahkan

Kona diberikan pelbagai pilihan enjin dan transmisi bergantung pada pasaran. Antaranya enjin 2.0 liter MPI Atkinson berkuasa 149 PS/179 Nm (dipadankan dengan transmisi auto enam-kelajuan, 0-100 km/j dalam 10 saat dan kelajuan maksima 194 km/j) dan juga enjin petrol turbo Gamma 1.6 T-GDI berkuasa 177 PS/265 Nm dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan automatik (0-100 km/j hanya 7.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j).

Pasaran Eropah turut akan menerima enjin turbo lebih kecil iaitu 1.0 liter T-GDI tiga silinder yang dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Enjin berkenaan mampu menjana 120 PS/172 Nm dan pecutan 0-100 km/j dapat dicapai dalam masa 12 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 181 km/j.

Versi 2WD dan 4WD bakal menerima suspensi belakang berbeza bagi memberikan keselesaan dan juga “pengendalian lebih sporty“. Untuk model 2WD, ia diberikan suspensi jenis torsion beam “berketegaran tinggi” menerusi subframe yang dipadankan struktur bushing baharu. Manakala untuk model 4WD pula, ia diberikan suspensi lebih jitu menerusi sistem multi-link lengan berkembar.

Bagi keselamatan pula, Kona diberikan kit keselamatan aktif seperti Bantuan Amaran Pelanggaran Hadapan, yang menggunakan kamera dan radar bagi memberikan fungsi brek kecemasan automatik. Tiga sistem lain yang turut menggunakan kamera berkenaan adalah Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Lampu Tinggi (high beam) dan juga Amaran Perhatian Pemandu yang mengesan fokus/kepenatan pemandu. Radar yang dibekalkan pula turut memberikan input kepada sistem Amaran Pelanggaran Titik Buta, dan juga Amaran Lintasan Trafik Belakang.

Hyundai turut mengumumkan Kona bakal tampil dengan model khas Kona Iron Man Special Edition yang 40 mm lebih lebar serta diberikan LED istimewa pada lampu hadapan, diletakkan pada kemasan kelabu matte bersama elemen merah-emas Iron Man. Model tersebut turut akan menampilkan rim 19-inci bersama penutup tengah Iron Man, dan dibaluti tayar off-road.

Walau bagaimanapun, imej model edisi khas tersebut masih lagi belum didedahkan. Kona akan mula di jual di Korea bermula bulan ini, dan kemudian bakal diikuti pasaran Amerika Utara dan Eropah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required