Petunjuk kepada model SUV terbaru daripada Perodua kini bukan lagi rahsia. Seperti yang dipertontonkan melalui model segmen B “SUV Kompak Baru” Daihatsu ketika Tokyo Motor Show 2019 (TMS 2019), model berkenaan khabarnya akan dijual untuk pasaran di sana menggunakan lencana Daihatsu dan juga Toyota (sebagai Toyota Raize), dengan wajah lain.

Model berkenaan juga dijangka bakal diperkenal di Malaysia; sudah tentu, dalam versi Perodua yang dikilangkan di sini. Ketika ditanya adakah model ini Daihatsu ini akan menjadi model SUV segmen B Perodua D55L, Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad tidak mengesahkan secara jelas, tetapi memberi banyaj petunjuk ketika ditemui di TMS 2019.

Antara perkara yang boleh dijangka pada model D55L itu nanti ialah penggunaan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), kemungkinan menggunakan enjin lebih kecil, 1.0 liter turbocas (seperti pada model Daihatsu yang dipertontonkan itu) serta rekaan yang khusus untuk Perodua.

SUV Daihatsu yang dilihat itu juga adalah merupakan usaha bersama, dengan Perodua turut membantu dalam menghasilkan rekaan pada model JDM itu. Paling ketara, adalah rekaan bahagian belakang yang mempunyai persamaan dengan penggayaan pada Myvi. Di sini, apa yang sedang anda lihat ialah versi rekaan digital model Perodua berkenaan yang dihasilkan oleh Theophilus Chin, berdasarkan unit yang dilihat di Tokyo berkenaan.

Ia adalah sebuah rekaan yang hampir sama, kecuali melibatkan perbezaan di beberapa bahagian seperti bampar yang berlainan serta kemasan plastik yang digunakan, gril unik dan tiada lagi bumbung hitam seperti pada unit yang dipertontonkan itu.

Bahagian yang dijangka akan melibatkan banyak perbezaan daripada model asal pasaran Jepun itu sudah tentulah wajah depannya. Lampu utama LED kekal dengan rekaan sama, tetapi tema “X” menjadi lebih ketara di situ. Ini apa yang boleh dijangkakan ada pada model-model akan datang Perodua, seperti yang pernah dikongsikan oleh ketua pereka Perodua, Muhamad Zamuren. Sentuhan berkenaan pula diambil daripada model Perodua X-Concept ketika KLIMS 2018.

Rekaan gril juga disambungkan kepada lampu utama, seperti yang dilihat pada Aruz. Imej depan kemudiannya disudahi dengan skid plate warna perak untuk mendapatkan rupa SUV yang ranggi. Wajah depan ini, dari beberapa sudut, nampak lebih menarik dan matang berbanding yang ada pada model asal Daihatsu.

Di belakang, imej rekaan yang mirip pada Myvi dikekalkan, kecuali sedikit perubahan pada bampar – yang sekali lagi membawa tema “X” sama seperti di depan; reflektor dari kereta asal telah dialih ke bahagian corong hiasan, yang turut mempunyai rekaan berbeza dan nampak terhubung dengan bahagian plastik hitam.

Selain ditukarkan lencana, jalur krom juga telah disekalikan dengan kemas bersama bahagian putih pada kluster lampu belakang. Apa pandangan anda tentang rekaan ini? Jika Perodua D55L tampil dengan kemiripan yang sama dengan rekaan ini, ramai yang akan bersetuju? Atau anda lebih minat dengan versi Daihatsu, atau Toyota Raize?