Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

Selepas pelbagai teaser yang meriah disiarkan seminggu dua ini, akhirnya Perodua Myvi facelift 2022 telahpun dilancarkan secara rasmi malam ini. Seperti yang disebutkan ketika ia sudah mula ditempah lebih seminggu lalu, Myvi yang dikemaskini ini hadir dengan lima varian yang boleh dipilih.

Kalau tengok pada perubahan rupa, macam tak banyak beza dari model sebelum ini. Tapi rata-rata setiap varian Myvi facelift ini dijual pada harga yang agak tinggi berbanding versi sebelumnya, mengapa? Untuk pengetahuan anda, versi kemaskini ini bukan hanya melibatkan ‘kejuruteraan bampar’ semata-mata, tetapi ia menerima tingkap taraf teknologi dan mekanikal yang agak besar dan anda akan mengetahuinya pada artikel ini.

Walaupun model facelift ini hanya muncul selepas empat tahun pelancaran Myvi generasi ketiga tersebut, projek pembangunan dengan kod D51A ini sebenarnya telah bermula pada Februari 2019, iaitu kira-kira hanya selepas setahun model “G3” ini diperkenalkan dalam pasaran.

Sejak itu, sebanyak 137,000 jam telah digunakan untuk menyiapkan Myvi facelift ini, dengan kos pembangunan mencecah RM50 juta – kos yang agak tinggi untuk sebuah model facelift, dan anda akan ketahui mengapa kos ini begitu tinggi selepas ini.

Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

Seperti yang kita tahu, Perodua seringkali menawarkan teknologi dari kereta-kereta lebih mahal untuk disumbatkan pada model-model mampu milik mereka. Kita pernah saksikan bagaimana jenama tersebut memberikan fungsi-fungsi seperti butang penghidup enjin dan Eco Idle auto start & stop pada Bezza di mana ketika itu ia masih hanya ada pada model yang jauh lebih mahal.

Begitu juga Perodua Ativa, di mana SUV segmen-B dengan harga sekitar RM72k berkenaan menampilkan fungsi seperti lampu hadapan adaptif seperti Audi dan juga sistem bantuan pemanduan yang biasanya ada pada kereta-kereta melebihi RM100k. Menurut Perodua, “Myvi tak boleh ketinggalan dalam aspek peningkatan teknologi” berbanding Ativa kerana ia adalah model utama mereka yang menjadi model paling laris sejak sekian lama.

Penggayaan luaran

Kalau anda perasan, walaupun secanggih mana pun sesebuah model Perodua itu sebelum ini, masih tiada lagi model yang diberikan lampu nyalaan siang LED. Perincian tersebut sebenarnya hanya diperkenalkan buat pertama kali oleh Perodua menerusi model Myvi facelift 2022 ini.

Lampu nyalaan siang tersebut dipadankan secara menegak pada setiap sisi bampar hadapan bagi menggantikan lampu kabus halogen sebelum ini. Bagi pengguna Perodua sedia ada yang mahu bertukar kepada Myvi facelift ini, ingin diingatkan bahawa lampu nyalaan siang LED ini akan menyala secara automatik setiap kali enjin dihidupkan. Tiada suis untuk mematikan lampu berkenaan, kecuali pemandu mula menghidupkan lampu utama hadapan dan lampu nyalaan siang LED ini akan dimatikan secara automatik.

Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

Walau bagaimanapun, lampu nyalaan siang LED ini hanya diberikan pada model 1.5 H dan 1.5 AV sahaja. Sebagai tambahan, kesemua model dengan enjin 1.5L diberikan fungsi lampu hadapan automatik yang akan menyala sendiri apabila mengesan keadaan gelap diluar.

Secara keseluruhan, muka Myvi facelift 2022 disegarkan menerusi rekaan gril dan juga bampar baharu yang mula mengikut rupa Ativa, sambil mengekalkan bentuk kluster lampu utama. Gril hadapan dihasilkan lebih besar tanpa pemisah dengan lampu hadapan, manakala gril bawah pula dihasilkan lebih nipis.

Jika perhatikan betul-betul, muka baharu ini seolah-olah menampilkan huruf X yang besar. Tiada lagi bahagian dagu yang berwarna hitam tetapi bahagian tersebut menerima kemasan perak yang lebih tebal seakan skid plate SUV (untuk H dan AV).

Rekaan belakang juga disegarkan dengan konsep yang sama dengan mengekalkan lampu utama, manakala rekaan bampar diubah dengan menampilkan imej X yang sama, dan diberikan kemasan hitam menegak pada setiap sisi yang seiring dengan rekaan jalur lampu nyalaan siang hadapan.

Tiada perubahan dapat dilihat pada bahagian sisi di mana Myvi facelift ini masih menerima rim rekaan yang sama seperti sebelumnya. Sama seperti Ativa, semua varian Myvi 2022 ini diberikan penutup cermin sisi dengan kemasan warna badan.

Penyegaran bahagian dalaman

Untuk varian tertinggi AV, kabin Myvi ini penuh dengan serlahan merah (malah macam lebih banyak dari warna hitam!), tak kira apa warna luaran yang anda pilih. Ia termasuk pada bahagian sekeliling liang pendingin hawa, tempat duduk (yang dibalut kulit), dan juga pada tema panel instrumen yang telah direka semula.

Bagi varian Myvi yang lain, ia diberikan upholsteri fabrik dan tema gelap sepenuhnya. Untuk varian H, tempat duduknya diberikan corak seakan kulit ular. Selain hitam, bahagian kabin untuk semua varian lain selain AV diberikan berwarna perak. Kemasan sekeliling liang pendingin hawa juga kini tiada yang krom, digantikan dengan warna perak.

Pemandu menerima roda stereng yang diambil terus dari Perodua Ativa yang penuh dengan butang kawalan termasuk untuk sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS). Walau bagaimanapun, masih ada ruang butang yang dibiarkan kosong kerana ia menerima sistem yang sedikit kurang berbanding Ativa, walaupun pada model tertinggi AV.

Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

Kini panel suis di bawah liang pendingin hawa sebelah kanan juga telah penuh, dengan menerima butang untuk sistem Lampu Tinggi Automatik dan juga panel kawalan cermin sisi yang turut diambil dari Ativa.

Kesemua varian Myvi facelift ini diberikan panel instrumen rekaan baharu, namun hanya Myvi AV yang diberikan panel dengan tema merah. Grafik lebih garang berkenaan mengingatkan kami kepada Myvi SE dan Myvi Extreme 1.5 2011 (atau turut dipanggil “Myvi Lagi Best”), yang ketika itu merupakan Myvi pertama yang menerima enjin 1.5 liter.

Satu skrin paparan pelbagai info (MID) TFT bersaiz besar diletakkan pada bahagian tengah panel instrumen baharu ini yang turut memaparkan grafik animasi selamat datang. Meter baharu ini sebenarnya meter dengan gaya Optitron iaitu kelihatan sentiasa bercahaya tetapi gelap sepenuhnya apabila enjin dimatikan.

Bagi model-model selain AV, paparan meter tersebut nampak lebih ringkas dengan pencahayaan grafik berwarna putih, serta skrin MID jenis LCD dan bersaiz lebih kecil. Paparan tersebut sebenarnya dikongsi bersama Ativa X, iaitu satu-satunya varian Ativa yang diberikan paparan meter analog.

Untuk sistem infotainmen, Myvi facelift hadir dengan skrin sesentuh yang lebih besar bersaiz 6.9-inci (untuk H dan AV) berbanding 6.2-inci sebelum ini. Skrin berkenaan memaparkan antara muka utama yang sama dengan skrin infotainmen pada Ativa.

Sekali tengok, panel kawalan pendingin hawa Myvi facelift ini nampak sama seperti Myvi sebelum ini. Tetapi jika anda tengok dengan lebih teliti, butang memorinya kini hanya tinggal satu, manakala slot satu lagi digantikan dengan butang “Off”.

Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

Ini kerana sebelum ini pengguna perlu menekan butang untuk memperlahankan motor penghembus berulang kali bagi mematikan kipas pendingin hawa berkenaan, berbanding dengan hanya sentuhan pada sistem baharu ini. Namun sistem ini masih memberikan dua slot memori yang oleh dibuat menerusi hanya satu butang “MEM” tersebut.

Slot-slot butang di atas panel kawalan pendingin hawa juga kini sudah penuh, di mana sebahagian besar daripadanya adalah pengingat pemakaian tali pinggan keledar untuk semua tempat duduk. Myvi juga kini telah diberikan sistem kunci automatik, yang membolehkan kesemua pintu terkunci sendiri apabila kelajuan mula mencecah 20 km/j.

Perincian-perincian khas Myvi yang dihasilkan oleh jurutera tempatan bagi memenuhi keperluan tempatan masih dikekalkan. Antaranya termasuk pembaca tol bersepadu (SmartTag bina dalam), port pengecas USB pada sisi tempat duduk hadapan lengkap dengan poket untuk telefon, dan juga cangkuk keselamatan untuk beg tangan wanita (dan juga menyangkut teh tarik ikat tepi) di belakang perehat badan tempat duduk hadapan.

Unit rangkaian kuasa – enjin sama, kotak gear 4AT ditukar kepada CVT

Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

Tiada perubahan diberikan pada enjin-enjin yang menjana Perodua Myvi facelift 2022 ini. Model 1.3L dijana oleh enjin 1NR-VE berkuasa 94 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm. Model 1.5L juga masih digerakkan oleh enjin 2NR-VE berkuasa 102 hp dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm.

Kedua-dua enjin berkenaan adalah enjin dari siri NR Toyota/Daihatsu, yang turut digunakan pada model lain seperti Toyota Vios, Yaris dan juga Avanza (pasaran Malaysia) sedia ada. Ia menampilkan kepala enjin DOHC bersama teknologi Dual VVTi dan juga sistem Eco Idle (auto start-stop).

Namun Perodua kini telah menyertai model-model segmen-B lain termasuk Honda Jazz/City sedan dan hatchback, Toyota Vios dan Yaris, Proton Persona dan Iriz serta Nissan Almera yang menggunakan kotak gear CVT bagi menggantikan transmisi automatik konvensional 4AT sebelum ini.

Tetapi, CVT yang digunakan pada Myvi ini bukanlah CVT biasa seperti model-model yang disebutkan tadi. Sebaliknya Myvi menerima kotak gear Dual Mode CVT (atau dipanggil D-CVT) yang sama seperti Perodua Ativa. Apa yang menarik, Myvi merupakan model pertama dalam keluarga Daihatsu/Toyota menggunakan kotak gear tersebut, yang bukan diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

Bukan itu sahaja, malah apa yang menarik keseluruhan seni bina sistem elektrikal turut diambil dari DNGA (berasaskan Perodua Ativa) bagi memastikan keseluruhan fungsi teknologi termaju pada Myvi ini dapat berfungsi.

Kotak gear D-CVT ini merupakan antara teknologi terkini dari Daihatsu yang pada awalnya dihasilkan untuk model-model yang akan dibina dari platform DNGA. Penghantaran kuasa dalam kotak gear berkenaan bukan hanya dibuat menerusi pulley dan belting seperti CVT biasa, malah ia turut menggunakan split-gear, pertama seumpamanya di dunia.

Secara asasnya, apabila kereta mula bergerak, transmisi D-CVT ini akan beroperasi sama seperti kotak gear CVT tradisional. Namun selepas fasa memecut sudah habis dan lebih kelajuan perlu diberikan (overdrive diperlukan), pemindahan kuasa dari enjin ke roda tidak lagi dibuat menerusi set pulley dan tali sawat, sebaliknya dipindahkan menerusi set split gear yang berada di sebelahnya.

Dengan menggunakan gear, kesemua tenaga dari enjin dapat dipindahkan lebih terus tanpa kehilangan kuasa yang terjadi pada tali sawat dan pulley CVT biasa. Ini secara tidak langsung turut menghilangkan bunyi berdengung ketika kotak gear ini berfungsi dalam kelajuan tinggi. Pertukaran dari penggunaan tali sawat kepada split gear berkenaan dibuat menerusi set pek klac yang diletakkan antara kedua-dua mekanisma tersebut.

Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

Pada Ativa, kotak gear D-CVT turut diberikan mod manual dengan tujuh nisbah maya, yang boleh pemandu gunakan menerusi mod + – pada tuil gear. Namun fungsi berkenaan tidak diberikan pada Myvi. Walau bagaimanapun, Myvi masih menerima butang Power pada roda stereng. Dengan menekan butang ini, kesemua kuasa enjin akan dilepaskan dan ia berfungsi tidak kira sama ada pada posisi gear D atau S.

Oh ya, kini tiada lagi posisi 3 dan 2 pada tuil penukar gear (kerana tiada lagi nisbah gear sebenar pada kotak gear D-CVT), tetapi digantikan dengan posisi S dan B. Untuk S, ia akan memberikan mod Sport, manakala B pula adalah untuk memberikan engine braking maksimum bagi digunakan pada situasi seperti sedang menurun bukit.

Perodua mendakwa bahawa Myvi facelift ini mampu mencapai penggunaan bahan api 5% lebih baik dengan kotak gear D-CVT ini. Model dengan enjin kini didakwa mampu mencapai penggunaan bahan api gabungan 22.2 km/l (dari 21.1 km/l sebelum ini) manakala model 1.5L pula mencapai penggunaan bahan api 21.1 km/l (berbanding 20.1 km/l sebelum ini). Kotak gear baharu ini juga membolehkan Myvi bergerak dalam kelajuan cruising dengan kelajuan rpm lebih rendah, sekaligus memberikan pemanduan yang lebih jimat, relaks dan senyap.

Bukan itu sahaja, transmisi D-CVT ini juga didakwa memberikan prestasi yang lebih baik dengan mencatatkan pecutan 0-100 km/j 20% lebih pantas dari sebelum ini. Model 1.3L mampu memecut dari kedudukan pegun ke 100 km/j dalam masa 11.5 saat, manakala versi 1.5L yang lebih berkuasa pula mencatatkan masa 10.2 saat untuk pecutan yang sama.

Sistem keselamatan canggih dengan pemanduan autonomi Tahap 2

Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

Ketika Myvi G3 ini dilancarkan pada November 2017, sistem keselamatan yang diberikan oleh Perodua ketika itu sudah cukup mengejutkan ramai pihak. Manakan tidak, siapa sangka sebuah model dengan harga bawah RM60k diberikan sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik (AEB) dan lain-lain menerusi pakej Advanced Safety Assist (ASA)?

Bagi Myvi facelift 2022, sistem bantuan pemanduan yang diberikan adalah melangkaui sistem kemaskini ASA 2.0 (pada Aruz), dan ia diperkenalkan dengan terus dengan sistem ASA 3.0 (diperkenalkan pertama kali pada Ativa) di mana sistem bantuan pemanduan termaju berkenaan diletakkan di bawah payung Perodua Smart Drive Assist (PSDA).

Semua varian Myvi 2022, kecuali model asas 1.3 G, datang dengan pakej asas ASA yang merangkumi sistem Amaran Pra Pelanggaran (PCW), Brek Pra-pelanggaran (PCB atau AEB), Amaran Mula Gerak Hadapan (FDA) dan juga Kawalan Salah Operasi Pedal (PMC). Walau bagaimanapun, pembeli 1.3 G masih boleh mendapatkan sistem ASA, Lampu Tinggi Automatik dan juga Amaran/Pengelak Keluar Lorong dengan pek opsyen yang perlu ditambah wang.

Manakala untuk sistem ASA 3.0, ia ditambah dengan pengesan kenderaan dua roda (motosikal/basikal, manakala pengesan pejalan kaki telah ditambah pada ASA 2.0) pada PCW dan PCB, serta PCB kini boleh beroperasi dari 4 hingga 120 km/j (naik 20 km/j).

Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

Malah PCB dan AEB juga kini boleh digunakan tanpa sebarang had, di mana sebelum ini sistem brek automatik tersebut hanya boleh berfungsi sebanyak tiga kali, dan enjin perlu dimatikan dan dihidupkan semula bagi memulakan semula sistem berkenaan. ASA juga kini boleh beroperasi pada waktu malam, tetapi hanya berkesan untuk mengesan kereta yang mempunyai lampu belakang beroperasi.

Kesemua model yang dilengkapi ASA juga datang dengan Amaran Keluar Laluan (LDW) dan Pengelak Keluar Lorong (LDP). Sistem LDW akan mengesan garisan di atas permukaan jalan raya dan memberikan amaran secara audio dan visual pada pemandu jika ia terkeluar dari lorong. Manakala sistem LDP pula akan membantu ‘menarik’ stereng agar anda kembali ke lorong yang betul.

Dengan sistem Kawalan Kekal Lorong (LKC) dan juga cruise control adaptif (ACC) membolehkan Myvi diiktiraf mempunyai kebolehan pemanduan berautonomi Tahap 2. Seperti pada Ativa, ACC berfungsi pada kelajuan 30 hingga 125 km/j sambil pemandu boleh menetapkan jarak antara kereta hadapan dengan tiga tahap jarak.

Sistem ini tidak akan berfungsi pada kelajuan 0 hingga 30 km/j seperti sistem Low Speed Follow, jadi ia tidak akan membantu anda ketika merangkak dalam kesesakan trafik. Model tertinggi Myvi AV turut dibekalkan dengan Pemantau Titik Buta (BSM, dengan amaran bunyi dari buzzer sekiranya lampu isyarat membelok diaktifkan, atau hanya lampu sekiranya tidak) serta Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

Manakala untuk sistem Lampu Tinggi Automatik (AHB), ia juga turut diberikan kepada semua varian kecuali pada model asas 1.3 G tanpa ASA. Seperti sebelum ini, semua varian Myvi menerima lampu hadapan LED reflektor, dan sistem AHB berkenaan akan berfungsi pada kelajuan lebih 30 km/j atau keadaan sekitar terlalu gelap.

Dengan sistem AHB, pemandu tidak perlu menurunkan lampu tinggi sekiranya berselisih dengan kereta dari lorong bertentangan, di mana ia akan dibuat secara automatik menerusi sistem ini. Lampu tinggi berkenaan juga akan kembali dipasang sekiranya tiada lagi kereta yang lalu pada lorong bertentangan. Namun sistem lampu adaptif pada Ativa H dan AV tidak disertakan pada Myvi facelift ini.

Penderia parkir untuk sudut hadapan diberikan pada model 1.5 H dan ke atas, namun kamera undur dan kamera perakam digital (dashcam) hanya khas untuk varian AV. Manakala untuk beg udara, empat untuk model-model 1.3L dan enam untuk semua model 1.5L. Sistem Kestabilan Kenderaan (VSA) pula seperti biasa standard untuk semua varian.

Pengenalan warna hero baharu

Perodua Myvi baru 2022 dilancar – RM46k-RM59k, D-CVT, lebih pantas & jimat petrol, ADAS lebih canggih

Perodua telah memperkenalkan warna hero baharu iaitu Cranberry Red, tetapi ia hanya eksklusif pada model 1.5 AV (sesuai dengan serlahan merah pada bahagian dalaman). Namun model tertinggi ini tidak boleh dipilih dengan warna solid Lava Red seperti yang ditawarkan pada varian lain yang lebih rendah.

Warna-warna sedia ada lain seperti Electric Blue, Lava Red, Granite Grey, Glittering Silver dan Ivory White turut masih ditawarkan. Namun bagi model asas 1.3 G tidak ditawarkan dengan warna Granite Grey.

Harga dan pecahan varian

Bagi harga, ia dimulakan dengan varian asas 1.3 G tanpa ASA/LDW/LDP/AHB dijual pada harga RM45,700, diikuti 1.3 G dengan ASA/LDW/LDP/AHB menampilkan tambahan harga RM2,000 kepada harga RM47,700. Manakala model yang dijana enjin 1.5 liter pula dimulakan dengan model 1.5 X berharga RM49,900. Bagi varian ini ia hadir dengan ASA/LDW/LDP/AHB, mod Power, lamou hadapan automatik, cermin sisi auto-lipat (ketika kereta dikunci/buka kunci) dan juga Bluetooth pada sistem audio tanpa skrin. Kesemua model 1.5L menerima rim 15-inci berbanding 14-inci pada model-model 1.3L.

Kemudian ia diikuti model 1.5 H berharga RM53,900. Seperti yang anda boleh lihat pada model 1.5 H berwarna putih di sini, ia menampilkan rupa yang sama seperti 1.5 AV bersama ciri seperti lampu nyalaan siang LED, gril hitam berkilat, lip bawah bampar, pembuka pintu krom, skirt sisi dua tona, bampar belakang dua tona dan juga spoiler belakang.

Pada bahagian dalaman, model 1.5 H ini merupakan satu-satunya varian Myvi yang menerima tempat duduk fabrik dengan corak sarang lebah, Ia juga menerima skrin sesentuh lebih besar (bersama USB, Bluetooth, SmartLink, HDMI dan kawalan suara), pembaca tol, roda stereng balutan kulit, pemegang pintu krom, perehat kepala boleh laras/cabut di belakang, dan juga filem penapis haba.

Spesifikasi dan juga senarai harga Perodua Myvi facelift 2022. Klik untuk besarkan

Akhir sekali varian tertinggi 1.5 AV pula dijual pada harga RM58,800, di mana ia menerima tambahan ciri termasuk kabin merah-hitam dan perincian-perincian yang disebut di atas, kamera undur, kamera perakam serta ACC/LKC/BSM/RCTA. Seperti yang disebut tadi, Myvi 1.5 AV ini juga telah menetapkan satu aras baharu dimana sebuah kereta dengan sistem ADAS yang cukup lengkap dijual pada harga bawah RM60k!

Kesemua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022. Dan kalau anda perasan, Perodua sudah tidak lagi menawarkan Myvi dengan kotak gear manual kerana kurang permintaan – Perodua menyatakan bahawa hanya 1% dari keseluruhan pembeli Myvi G3 sebelum ini memilih kotak gear manual tersebut.

GALERI: Perodua Myvi 1.5 AV facelift 2022

GALERI: Perodua Myvi 1.5 H facelift 2022

GALERI: Perodua Myvi 1.5 X facelift 2022

GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 AV facelift 2022

GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 H facelift 2022

GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 X facelift 2022

GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.3 G PSDA facelift 2022

GALERI: Gambar rasmi aksesori Gear Up untuk Perodua Myvi facelift 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required