Honda Malaysia telah pun mempertontonkan City Hatchback di Litar Antarabangsa Sepang semalam. Dalam sesi tersebut, hanya dua varian sahaja yang dipertontonkan iaitu V dan RS e:HEV, dan difahamkan ia turut ditawarkan dengan dua lagi varian iaitu S dan E.

Walau pun belum dilancarkan, namun model yang menggantikan Jazz ini telah pun dibuka tempahan sejak 9 November lalu. City Hatchback ini juga diberikan penawaran warna luaran baharu iaitu Ignite Red Metallic, yang lebih menyerlah merahnya berbanding Passion Red Pearl yang berada dalam senarai warna pilihan dalam barisan model Honda masa kini.

Selain itu, ia juga diberikan tona kelabu baharu, yang lebih gelap berbanding Modern Steel Metallic sedia ada. Dan kalau mengikut laman web Honda Thailand, ia dinamakan sebagai Meteoroid Grey Metallic. Ia bakal menjadi yang pertama buat kereta Honda di Malaysia, tetapi belum dipastikan adakah warna ini juga akan diberikan kepada model CKD yang lain.

Menurut Honda Malaysia, hatchback ini diberikan sedikit peningkatan dalam ketegaran kilasan berbanding sedan, dan lebih banyak material penebat bunyi (termasuk di bawah bonet) telah diberikan untuk meningkatkan tahap NVH. Manakala wheel well dibiarkan kosong, tetapi kami dimaklumkan kereta yang dipamerkan ini adalah unit pra-produksi, jadi mungkin ada perubahan atau pun tidak semasa pelancarannya.

Untuk RS, ia diberikan ciri yang mirip dengan varian tertinggi sedan, termasuk lampu utama LED penuh, lampu kabus. LED, gril Solid Wing hitam berkilat dengan honeycomb di dalamnya, lip hadapan dengan gentian karbon tiruan, perumah cermin sisi hitam, logo Honda dengan rona biru serta lencana RS di hadapan dan belakang.

Selain itu, ia ditampilkan dengan LED tunggal untuk nombor plat di belakang, yang merupakan ciri yang dipertingkatkan dari sedan. RS juga merupakan varian tunggal dengan diffuser belakang terpisah dengan rona karbon, sementara ciri standard lain termasuk reflektor menegak dan lampu belakang kombinasi LED.

Kedua-dua varian V dan RS turut diberikan roda 16-inci yang sama rekaan dengan sedan, dan juga tayar yang sama iaitu Toyo Proxes R57. Ciri yang membezakan versi hatchbackini ialah kemasan gril bawah pada City Hatchback V turut menerima honeycomb seperti RS, tidak seperti sedan yang hanya dengan lourvred berkembar konvensional sahaja.

Untuk ruang dalaman, dalam sesi pra-tonton berkenaan, Honda Malaysia hanya membenarkan kami mendedahkan tiga ciri sahaja, bermula dengan paparan skrin sesentuh lapan-inci. Ia sama dengan sedan, dan menyokong ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto (dengan sambungan wayar), dan mungkin menggunakan sistem bunyi lapan-pembesar yang sama.

Ciri kedua pula ia menampilkan corong udara belakang, juga sama dengan sedan. Manakala ciri terakhir yang boileh dikongsikan buat masa ini ialah tempat duduk Ultra yang unik. Ia sama seperti yang diberikanpada Jazz, dan menawarkan empat larasan tempat duduk fleksibel – mod Refresh, Long, Tall dan Utility.

Untuk mekanikal, hatchback ini sama dengan sedan, dijanakan oleh enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC yang menghamburkan kuasa sehingga 121 PS dan tork 145 Nm, paling berkuasa dalam segmennya. Pacuannya disalurkan oleh CVT ke roda hadapan. Manakala RS e:HEV pula menampilkan enjin kitaran Atkinson 1.5 liter dengan dua motor elektrik, yang menawarkan kuasa hingga 109 PS dan tork 253 Nm.

Malahan Honda Sensing juga ditawarkan hanya untuk varian tertinggi RS e:HEV, yang merangkumi tujuh fungsi seperti sedan. Ia termasuk kawalan kelajuan adaptif (tanpa low speed follow), sistem brek mitigasi pelanggaran (AEB, hadapan sahaja), amaran pelanggaran hadapan, sistem bantuan kekal lorong, mitigasi ketibaan jalan, amaran ketibaan lorong dan lampu tinggi automatik. Manakala model V tidak pula dikhabarkan turut dilengkapi dengan Sensing. Kena tunggu perincian penuhnya didedahkan sewaktu pelancarannya.

Bagi saiznya, versi hatch ini berukuran 4,345 mm panjang (4,349 mm dengan bampar RS; 208 mm lebih pendek dari sedan), 1,488 mm tinggi (+21 mm), 1,748 mm lebar dan jarak roda 2,589 mm. Berbanding Jazz, Cith Hatchback ini lebih panjang dan lebih lebar tetapi kurang tinggi. Jarak roda untuk Jazz pula kurang 59 mm berbanding City Hatchback.