Honda City Hatchback 2022 – tempahan dibuka; tawar versi RS e:HEV dan petrol penuh 1.5L DOHC i-VTEC

Honda City Hatchback 2022 – tempahan dibuka; tawar versi RS e:HEV dan petrol penuh 1.5L DOHC i-VTEC

Ada yang dah tak tahan dengan beberapa teaser yang telah disiarkan oleh Honda Malaysia sebelum ini? Nah, hari ini secara rasmi tempahan untuk Honda City Hatchback 2022 telah pun dibuka! Untuk pasaran Malaysia, penawaran bagi model City Htachback ini adalah sama dengan versi Sedan iaitu model dengan enjin petrol penuh 1.5 liter DOHC i-VTEC dan juga versi hibrid dengan penjana e:HEV i-MMD Hybrid.

Juga sama seperti model sedan, model paling sporty dan paling lengkap iaitu City RS hanya ditawarkan dengan janaan e-HEV Hybrid. Model ini menerima penggayaan lebih garang menerusi kemasan-kemasan hitam berkilat pada gril hadapan, panel Solid Wing Honda, penutup cermin sisi dan juga kemasan-kemasan spesifik untuk model RS yang lain.

Model RS dan varian tertinggi untuk model petrol iaitu City Hatchback V didatangkan dengan lampu hadapan LED penuh bersama lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, lampu kombinasi belakang LED dan juga rim aloi berdiameter 16-inci.

Honda City Hatchback 2022 – tempahan dibuka; tawar versi RS e:HEV dan petrol penuh 1.5L DOHC i-VTEC

Walaupun versi hatchback ini secara asasnya adalah versi sedan tanpa but, Honda masih mengekalkan konfigurasi ‘Ultra Seats’ pada kabin model berkenaan sama seperti Jazz sebelum ini, yang boleh dilipat rata atau diratakan sepenuhnya bagi memaksimakan ruang untuk mengangkut barang.

Perincian-perincian lain yang turut diberikan adalah termasuk penghidup enjin bersama penghidup pendingin hawa kawalan jauh (hanya untuk RS dan V; pertama dalam kelasnya), liang pendingin hawa belakang, brek parkir elektrik (RS sahaja) serta Honda LaneWatch (RS dan V).

Sistem bantuan pemanduan Honda Sensing juga dilengkapkan pada City Hatchback pasaran Malaysia ini, namun ditawarkan hanya pada model RS. Untuk rekod, sistem berkenaan baharu sahaja dipadankan pada model V untuk sedan menerusi varian baharu 1.5L V Sensing (model V tanpa Sensing masih ada dijual bersama).

Kelengkapan-kelengkapan dalam pakej Honda Sensing pada City Hatchback ini juga adalah sama degan versi sedan, termasuk sistem seperti cruise control adaptif (tanpa low speed follow), sistem brek pengelak pelanggaran (AEB, depan sahaja), amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong, pengelak keluar jalan, amaran keluar lorong dan juga lampu tinggi automatik.

Seperti yang disebutkan tadi, City Hatchback ini dihasilkan dari kembar sedannya dengan hanya membuang but belakang, menjadikan ia 208 mm lebih pendek dengan ukuran panjang 4,345 mm (4,349 dengan bampar RS), dan 21 mm lebih tinggi (1,488 mm). Manakala untuk dimensi lain ia kekal sama dengan sedan iaitu 1,748 mm lebar dan jarak roda 2,589 mm.

Berbanding model yang digantikannya iaitu Honda Jazz generasi GK sebelum ini, City Hatchback ini adalah lebih panjang dan lebar, tetapi lebih rendah. Ia juga menampilkan jarak roda 59 mm lebih panjang berbanding Jazz.

Bagi model petrol penuh, enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC tersebut menghasilkan 121 PS dan tork maksima 145 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT. Manakala penjana e:HEV i-MMD Hybrid pula menampilkan enjin kitaran Atkinson 1.5 liter dengan dua motor elektrik.

Tidak seperti sistem hibrid biasa, sistem i-MMD ini membolehkan tayar dijana sepenuhnya dari motor elektrik sambil enjin petrol hanya mengecas bateri hibrid, atau berfungsi bersama-sama untuk memacu roda pada kelajuan lebih tinggi. Secara keseluruhan sistem hibrid ini menghasilkan kuasa 109 PS dengan tork maksima 253 Nm.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required