Selepas beberapa kali menunjukkan teaser, Perodua akhirnya mendedahkan barisan aksesori baharu, Ace, untuk model Myvi facelift 2022, yang diletakkan di bawah jenama GearUp. Ia telah pun boleh dibeli di mana-mana bilik pameran Perodua yang bertauliah, bersama dengan aksesori lain yang telah diperkenalkan oleh pengeluar kereta ini.

Pertama kali kit badan ini didedahkan pada hujung Mac lalu, ia menampilkan kemasan apron bampar hadapan, bersama perumah lampu nyalaan siang LED yang jauh lebih besar dengan kemasan hitam, yang kelihatan seperti liang pengambilan udara.

Tiada lagi kemasan berwarna perak pada bahagian ‘dagu’ Myvi yang digayakan dengan kit badan ini kerana ia telah ditutup dengan kemasan spoiler bawah bampar juga berwarna hitam, yang bersambung sekali dengan kemasan perumah lampu nyalaan siang LED menegak. Namun panel pada bahagian sisi spoiler bawah bampar berkenaan diberikan kemasan warna badan.

Kemasan warna hitam turut diberikan pada bahagian skirt sisi, manakala bampar belakang diberikan panel tambahan sisi lebih labuh dengan warna badan, dan bersambung dengan kemasan diffuser berwarna hitam pada bahagian tengah. Spoiler asal Myvi 2022 yang ringkas digantikan dengan spoiler bumbung yang jauh lebih besar, menampilkan ‘sayap’ kiri dan kanan yang tidak bersambung.

Menerusi video yang dimuat naik oleh Perodua menerusi Youtube, kelihatan balutan tempat duduk Ace diberikan, dan ia juga sudah boleh didapati untuk varian G, H dan X. Diperbuat daripada material PVC yang lebih mudah untuk dibersihkan, tempat duduk ini menampilkan kemasan hitam dan merah serta bahagian kecil pada perehat belakang dengan permukaan ala-gentian karbon. Walau bagaimana pun, tempat duduk ini tidak diberikan untuk model spesifikasi penuh AV, kerana ia telah diberikan tempat duduk rekannya sendiri.

Apa pendapat anda mengenai Myvi 2022 dengan kit badan dan balutan tempat duduk Ace ini? Jika memiliki Myvi 2022, adakah anda akan memilihnya untuk menampakkan jentera anda ini lebih agresif dan garang, sesuai dengan jolokan yang sering diberikan iaitu ‘king of highway’?

GALERI: Perodua Myvi 1.5 AV 2022 dalam rona Cranberry Red