GALERI: Nissan Almera 1.0L Turbo VLT 2020, RM91k

GALERI: Nissan Almera 1.0L Turbo VLT 2020, RM91k

Bagi yang merancang untuk tukar kereta baharu tahun ini, anda bukan sahaja menerima ‘diskaun’ dari kerajaan menerusi insentif potongan cukai PENJANA sehingga hujung tahun nanti, malah pasaran Malaysia juga kini meriah dengan pelbagai model baharu yang dilancarkan.

Untuk mereka dengan bajet dari RM70k hingga RM100k, sangat banyak model baharu yang boleh anda pilih – dari SUV segmen-B Proton X50, MPV tujuh-tempat duduk Mitsubishi Xpander, dan juga dua pilihan sedan segmen-B iaitu Honda City generasi baharu, dan juga model yang kami paparkan dalam galeri penuh kali ini iaitu Nissan Almera generasi kedua.

Tahun lalu pasti ramai yang menjangkakan gelanggang sedan segmen-B tahun ini bakal menyaksikan pertembungan antara dua model 1.0L Turbo iaitu City Vs. Almera bukan? Tapi nampaknya Honda Malaysia tidak membawa City dengan enjin VTEC Turbo seperti model pasaran Thailand sebaliknya hanya diberikan enjin 1.5L yang ditingkat taraf dengan kepala selinder DOHC i-VTEC, sementara model paling berkuasa City RS pula menerima unit janakuasa hibrid e-HEV i-MMD.

Walau bagaimanapun untuk mereka yang menunggu Almera boleh menarik nafas lega kerana Edaran Tan Chong Motor (ETCM) menawarkan Almera N18 ini dengan enjin turbo yang sama seperti model pasaran Thailand. Malah ETCM turut mendakwa bahawa kita diberikan Almera dengan spesifikasi tertinggi di pasaran ASEAN.

GALERI: Nissan Almera 1.0L Turbo VLT 2020, RM91k

Unit berwarna Radiant Red yang anda lihat ini adalah model varian tertinggi Almera 1.0L Turbo VLT, yang dijual pada harga RM91,310. Dua varian lebih rendah lain yang ditawarkan pada pasaran Malaysia adalah Almera 1.0L Turbo VLP berharga RM85,715, dan juga varian paling rendah Almera 1.0L Turbo VL berharga RM79,906.

Harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran lengkap dengan pengecualian SST sehingga 31 Disember nanti. Bermula 1 Januari 2020, Nissan Almera 1.0L Turbo dalam varian VLT dijual pada harga RM95,888, VLP berharga RM89,888 dan VL berharga RM83,888. Ia turut dilindungi dengan waranti selama lima-tahun, tanpa had perbatuan, serta servis berkala percuma selama lima-tahun (termasuk alat ganti dan kos upah).

Semua varian Almera diberikan enjin HR10DET (dikenali juga sebagai HRA0) yang menjana 100 PS pada takat 5,000 rpm, dan tork puncak 152 Nm bermula seawal 2,400 hingga 4,000 rpm. Oleh itu, enjin ini menghasilkan sekitar 2 PS kurang dari enjin HR15DE 1.5 liter NA pada model generasi pertama, namun ia menghasilkan lebih 13 Nm tork yang dicapai jauh lebih cepat (139 Nm pada 4,000 rpm pada enjin lama).

Menurut Nissan, enjin ini menerima teknologi Mirror Bore Coating yang sama seperti pada enjin VR38DETT Nissan GT-R R35 pada silinder, yang membantu mengurangkan geseran antara gegelang omboh dan dinding silinder, seterusnya akan meningkatkan ketahanan dan pengurusan suhu yang lebih baik.

GALERI: Nissan Almera 1.0L Turbo VLT 2020, RM91k

Tiada pilihan kotak gear manual diberikan, di mana kesemua varian menerima kotak gear CVT Xtronix automatik dengan D-Step Logic yang memberikan rasa tukaran gear seakan kotak gear automatik konvensional. Kuasa dari enjin hanya memacu roda hadapan.

Dari segi rupa, pasaran Malaysia menerima rekaan seiras dengan Almera pasaran Thailand dan juga Versa pasaran Amerika Syarikat. Model generasi kedua ini menampilkan ukuran badan 70 mm lebih panjang dengan jarak roda 20 mm lebih jauh, 45 mm lebih lebar dan bumbung 40 mm lebih rendah, menjadikan ia sebuah sedan kacak tanpa rupa pelik seperti model generasi pertama.

Direka dengan elemen rekaan terbaharu Nissan yang digelar “Emotional Geometry”, Almera ini menerima muka dengan gril V-Motion yang diterapkan elemen sarang lebah bersama lampu hadapan lebih tirus dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah.

Pada bahagian sisi, model ini menampilkan garis badan dan garis bumbung yang lebih gagah, dengan rupa yang lebih rendah dan juga garis-garis sisi yang menyerlahkan ‘otot-otot’ badan.

GALERI: Nissan Almera 1.0L Turbo VLT 2020, RM91k

Bermula dari tiang-C, Almera menerima rekaan yang diinspirasikan dari abang besarnya iaitu Nissan Altima/Teana generasi baharu, dengan kemasan hitam bagi memberi ilusi seolah-olah bumbungnya terapung, serta lampu belakang LED tirus yang direka seperti boomerang.

Semua varian Almera pasaran Malaysia diberikan lampu kabus LED, lampu belakang LED, dan juga cermin sisi boleh-lipat berkuasa bersama lampu isyarat membelok LED. Model VL dan VLP menerima lampu hadapan automatik dan lampu nyalaan siang halogen, manakala model VLT ini pula menerima lampu hadapan dengan teknologi LED.

Model spesfikasi tertinggi Almera VLT ini juga turut diberikan spoiler pada but belakang berwana hitam bersama set roda yang terdiri dari rim aloi 16-inci kemasan dua tona dengan tayar 205/55R16. Model VLP tidak diberikan spoiler tetapi masih diberikan roda yang sama, manakala varian asas VL pula hanya menerima rim aloi 15-inci dengan tayar 195/65R15.

Selain warna Radiant Red, Almera turut boleh dipilih dalam warna Monarch Orange, Dark Metal Grey, Brilliant White, Diamond Black dan Tungsten Silver.

GALERI: Nissan Almera 1.0L Turbo VLT 2020, RM91k

Masuk ke kabin, Almera diberikan papan pemuka yang dihasilkan dengan elemen melintang. Model VLT ini dan juga varian VLP menerima papan pemuka dua tona bersama upholsteri balutan kulit, sementara semua varian Almera diberikan tempat duduk semi-bucket dan juga roda stereng rata di bawah.

Selain itu, varian VLT dan VLP turut diberikan paparan instrumen separa-digital dengan skrin berwarna tujuh-inci, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh lapan-inci menyokong fungsi Apple Carplay, enam-pembesar suara dan juga sistem pendingin hawa automatik.

Ia berbeza sekiranya anda membeli model paling rendah VL kerana ia hanya hadir dengan kluster paparan meter analog sepenuhnya, pemain audio tanpa skrin bersama 4 pembesar suara dan sistem penghawa dingin manual.

Untuk keselamatan, semua varian Almera Turbo 2020 akan dibekalkan standard dengan sistem brek ABS, EBD dan BA, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) bersama Traction Control (TC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Model asas VL diberikan hanya dua beg udara, manakala dua varian lebih tinggi diberikan enam-beg udara.

Model paling mampu milik dari Nissan ini juga kini hadir dengan sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360, di mana kesemua varian termasuk varian paling rendah dilengkapkan dengan sistem Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar (IFCW) bersama Brek Kecemasan Automatik (AEB).

Pakej keselamatan untuk kesemua varian Almera ini sangat padu bukan? Namun sekiranya anda memilih varian tertinggi VLT ini ia turut menerima lebih lagi sistem keselamatan termasuk fungsi penuh Safety Shield 360 yang merangkumi sistem Monitor Pemantau Sekeliling Pintar (IAVM) dengan Pengesan Objek Bergerak (IMOD), Sistem Amaran Titik Buta (BSW), dan juga Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Selain dari kelengkapan-kelengkapan standard yang diberikan bergantung pada varian ini, ETCM turut menawarkan barisan aksesori asli yang boleh anda ketahui butirannya pada PAUTAN INI. Sekiranya anda mahu lebih perincian berkenaan spesifikasi setiap varian Almera 2020, anda boleh baca laporan kami terdahulu pada PAUTAN INI. Anda juga boleh melayari laman Carbase.my bagi melihat sendiri perbandingan antara Almera ini dengan model-model saingan terdekatnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required