Thai Motor Expo 2019: Nissan Almera 1.0L Turbo 2020

Thai Motor Expo 2019: Nissan Almera 1.0L Turbo 2020

Honda City baharu menjadi sedan segmen-B yang hangat diperkatakan dalam beberapa hari ini selepas ia dilancarkan di pasaran Thailand. Walau pun sebelum itu, Nissan terlebih dahulu mendedahkan model Almera 2020, yang diolah dengan imej yang lebih berdinamik dengan kepelbagaian teknologi menarik.

Malah Nissan Thailand juga mengambil kesempatan dalam penganjuran Thai Motor Expo 2019 yang sedang berlangsung untuk mempamerkan Almera 2020. Seperti mana City, Almera baharu turut digandingkan dengan penjana kuasa 1.0 liter turbo, kapasiti enjin yang diturunkan tetapi masih memiliki ledakan kuasa yang menguja, bagi memenuhi piawaian kereta eco Phase 2 yang ditetapkan oleh kerajaan negara tersebut, yang menetapkan kereta terbabit perlu memiliki sekurang-kurangnya 23.3 km/l bagi penjimatan ekonomi, maksimum 100 g/km bagi emisi CO2 dan sesuai menggunakan Euro 5 (kereta eko bagi Phase 1: 20 km/l, 120 g/km, Euro 4).

Menggantikan enjin terdahulu 1.2L (tidak seperti City, Almera sentiasa menjadi kereta eko di Thailand) dengan 79 hp/106 Nm kepada unit 1.0 liter tiga-silinder DOHC turbo bersama hamburan kuasa 100 hp dan tork 152 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm (enjin 1.0L untuk City dengan 122 PS/173 Nm).

Thai Motor Expo 2019: Nissan Almera 1.0L Turbo 2020

Enjin HRA0 mempunyai pemampatan yang dikawal oleh motor DC dan menampilkan teknologi cermin salutan yang membantu mengurangkan dan menyingkirkan haba. Ia turut dipadankan dengan kotak gear Xtronic CVT dengan mod D-Step Logic dan kuasa disalurkan ke roda hadapan.

Memandangkan tidak ada keperluan sedemikian untuk seluruh ASEAN, dan Malaysia, yang memungkinkan kita akan mendapat enjin berteknologi tinggi atau enjin 1.5L naturally-aspirated HR empat-silinder, atau versi 1.6L yang kuasanya sama seperti Versa (kereta yang sama, nama yang lain) di Amerika Utara.

Bercerita mengenai Versa, sedan segmen-B ini pertama kali diperkenalkan pada April lalu di Amerika Syarikat. Ia merupakan model serba baharu yang menggunakan platform Common Modular Family (CMF-B) sama seperti March baharu dan Renault Clio.

Thai Motor Expo 2019: Nissan Almera 1.0L Turbo 2020

Almera baharu juga memiliki imej yang lebih dinamik berbanding model terdahulu. Direka dengan elemen rekaan terbaharu Nissan yang digelar “Emotional Geometry”, Almera ini menerima muka dengan gril V-Motion yang diterapkan elemen sarang lebah bersama lampu hadapan lebih tirus dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah. Beralih ke sisi, model ini menampilkan garis badan dan garis bumbung yang lebih gagah, dengan rupa yang lebih rendah dan juga garis-garis sisi yang menyerlahkan ‘otot-otot’ badan.

Bermula dari tiang-C, Almera menerima rekaan yang diinspirasikan dari abang besarnya iaitu Nissan Altima/Teana generasi baharu, dengan kemasan hitam bagi memberi ilusi seolah-olah bumbungnya terapung, serta lampu belakang LED tirus yang direka seperti boomerang.

Sedan ini berukuran 4,495 mm panjang dan 1,740 mm lebar, dengan jarak roda 2,620 mm. Berbanding pesaingnya, Honda City 2020 dengan 4,553 mm panjang, 1,748 mm lebar dan jarak rodanya 2,589 mm. Ini bermakna, Almera memiliki ukuran keseluruhan yang lebih pendek sebanyak 58 mm dan 8 mm lebih sempit, tetapi 31 mm jarak roda yang lebih panjang. Walau bagaimana pun, kedua-dua model berkenaan masih menawarkan ruang dalaman yang luas.

Thai Motor Expo 2019: Nissan Almera 1.0L Turbo 2020

Di dalamnya juga mengalami perubahan yang agak besar, ini termasuklah dengan papan pemuka “Gliding Wing” baharu seperti mana model crossover Kicks. Rekaan yang lebih moden juga diserapkan termasuk pada panel meter digital (tachometer digital dan paparan pelbagai info tujuh-inci, speedometer analog), unit utama skrin sesentuh lapan-inci dengan fungsi Apple CarPlay dan panel pemuka hadapan dengan balutan kulit sintetik bersama jahitan dan warna kontras seperti gaya Mazda 2.

Nissan juga melakukan kejutan dengan menawarkan teknologi bantuan pemandu dan keselamatan aktif untuk Almera 2020 ini termasuk brek kecemasan sendiri, bantuan titik buta, RCTA dan paparan pandangan sekelilung untuk varian tertinggi. Ini bermakna penawaran aspek keselamatan yang ada pada Almera adalah lebih daripada apa yang City dapat, walau pun model tertinggi City tidak juga menerima Honda Sensing.

Untuk pasaran Thai, Almera ditawarkan dalam enam pilihan warna iaitu Radiant Red, Monarch Orange, Storm White, Black Star, Gun Metallic, dan Brilliant Silver. Ia dijual pada harga bermula 499,000 baht (RM69,585) untuk varian paling rendah S hingga 639,000 baht (RM87,799) bagi versi tertinggi VL.

Walau bagaimana pun, varian asas S tidak didatangkan dengan radio mahu pun penutup untuk roda keluli – didatangkan dengan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan dua beg udara.

Sementara varian EL berharga 559,000 baht (RM76,842) pula hadir dengan roda aloi, butang pada stereng, in-glass antenna dan kemasukan tanpa kunci/butang penghidup enjin. Lebih penting, ia turut ditawarkan dengan Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar dan Brek Kecemasan Pintar (AEB). Bagi varian V pula, ciri tambahan yang diberikan termasuklah lampu utama dan DRL LED, lampu signal untuk kedua-dua cermin sisi, pendingin hawa automatik, panel digital part-digital dan Paparan Pandangan Sekeliling Pintar dengan Pengesan Objek Bergerak.

Untuk varian tertinggi VL pula menerima lampu kabus LED dan beg udara tirai (kesemuanya berjumlah enam unit, lain-lain varian hanya dua unit sahaja), amaran titik buta, dan RCTA.

GALERI: Nissan Almera VL 2020 di Thai Motor Expo

GALERI: Foto rasmi Nissan Almera 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required