Mitsubishi Xpander 2020 – harga rasmi diumumkan, RM91,369, varian tunggal, lebih 2,000 unit ditempah

Mitsubishi Xpander 2020 – harga rasmi diumumkan, RM91,369, varian tunggal, lebih 2,000 unit ditempah

Walaupun hanya akan dilancarkan secara rasmi dalam sedikit masa lagi, hari ini Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bermurah hati untuk mengumumkan harga untuk MPV tujuh-tempat duduk, Mitsubishi Xpander.

Seperti yang diumumkan sebelumnya, Xpander yang dihasilkan dalam versi pemasangan tempatan di fasiliti DRB-Hicom di Pekan, Pahang ini hanya ditawarkan dalam satu varian dengan harga atas jalan tanpa insuran, bersama insentif potongan cukai jualan PENJANA, RM91,368.75. Model ini turut dilindungi dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

Menurut MMM, sejak tempahannya dibuka pada 22 Oktober lalu, sejumlah lebih dari 2,000 unit Xpander telah ditempah. Pelanggan yang berminat untuk melihat dan memandu uji MPV ini, anda boleh datang ke kesemua bilik pameran Mitsubishi Motors yang bertauliah bermula 20 November nanti.

Sama pada pasaran ASEAN yang lain, Malaysia menerima Xpander yang dijana oleh enjin petrol NA 1.5 liter MIVEC, menghasilkan 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm. Namun kita hanya menerima kotak gear automatik empat kelajuan untuk memacu roda hadapan.

Mitsubishi Xpander 2020 – harga rasmi diumumkan, RM91,369, varian tunggal, lebih 2,000 unit ditempah

Untuk rupa, Xpander 2020 pasaran Malaysia terus datang dalam versi facelift terkini yang diperkenalkan di Indonesia Februari lalu. Berbanding model asal yang didedahkan pada 2017, model yang disegarkan ini menerima gril hadapan baharu manakala lampu hadapan utama yang diletakkan pada bampar menerima unit reflektor bi-LED menggantikan lampu halogen sebelumnya.

Muka Dynamic Shield pada Xpander ini juga adalah dari olahan terkini Mitsubishi yang menampilkan lampu nyalaan siang LED tirus yang diletakkan pada posisi atas, yang lazimnya diletakkan lampu utama. Lampu belakang turut menggunakan teknologi LED dan penampilan luaran Xpander ini dilengkapkan dengan rim aloi 16-inci dua-tona.

Bagi panduan anda, Xpander adalah MPV segmen-B dengan rupa seakan SUV sama seperti Honda BR-V. Namun jika diteliti pada dimensi, Xpander dilihat mempunyai sedikit kelebihan dari segi saiz dengan ukuran 1,730 mm tinggi, 4,475 mm panjang, 1,750 mm lebar bersama jarak roda 2,775mm – atau 18mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar, 23 mm lebih tinggi dan jarak roda 113 mm lebih jauh dari BR-V.

Mitsubishi Xpander 2020 – harga rasmi diumumkan, RM91,369, varian tunggal, lebih 2,000 unit ditempah

Berbanding pasaran Indonesia yang diberikan kabin dengan berwarna Beige dan kemasan kayu palsu, Xpander CKD untuk Malaysia ini diolah lebih sesuai dengan selera tempatan dengan menampilkan warna tema hitam bersama kemasan-kemasan perak.

Selain itu, bahagian dalaman Xpander ini turut dilengkapi upholsteri kulit pada tempat duduk, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, paparan pelbagai info 4.2-inci pada kluster meter analog, skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz sembilan-inci dengan sokomgan Apple CarPlay dan Android Auto, enam-pembesar suara, kamera 360-darjah dan juga dashcam.

Sistem penghawa dingin juga dihasilkan sesuai dengan status MPV tujuh tempat duduk di mana kesemua penumpang kabin belakang pada baris kedua dan ketiga akan menerima udara dingin dari empat corong yang diletakkan pada bumbung.

Mitsubishi turut mendakwa bahawa Xpander merupakan satu-satunya model dalam kelasnya yang menampilkan tempat duduk belakang yang boleh dilipat sehingga rata bagi memberikan ruang kargo yang boleh digunakan dengan lebih baik. Jika tempat duduk baris ketiga dilipat, ia akan memberikan kapasiti kargo 495 liter, dan meningkat kepada 836 liter jika tempat duduk baris kedua turut dilipat.

Itu sekiranya ia dikira sehinggan paras tingkap. Jika diambil kira keseluruhan ruang sehingga bumbung, kapasiti kargo tersebut sebenarnya mencapai lebih dari 1,600 liter. Satu ruang simpanan tersorok juga disediakan di but belakang, manakala tayar gantian bersaiz penuh (dengan rim besi) diletakkan di bawah lantai.

Untuk keselamatan pula, Xpander dibekalkan dengan dua beg-udara, sistem brek ABS dengan EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki dan juga cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak di baris kedua. Empat warna badan ditawarkan untuk Mitsubishi Xpander 2020 di Malaysia iaitu Red Metallic, Quartz White Pearl, Graphite Grey Metallic dan Jet Black Mica. Untuk mereka yang berminat, tempahan untuk model ini sudahpun dibuka.


GALERI:Mitsubishi Xpander 2020 di Malaysia

GALERI:Pilihan warna Mitsubishi Xpander

GALERI:Foto rasmi Mitsubishi Xpander

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Mohd Bakery on Nov 05, 2020 at 6:58 pm

    ***Mitsubishi turut mendakwa bahawa Xpander merupakan satu-satunya model dalam kelasnya yang menampilkan tempat duduk belakang yang boleh dilipat sehingga rata bagi memberikan ruang kargo yang boleh digunakan dengan lebih baik.***

    Proton ertiga pun boleh lipat rata

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • HASNUL AZWAN BIN AZIZAN on Nov 06, 2020 at 1:54 am

    This was.. my wish list but wayyy too long to arrive here and reintroduce for the Msian market.Already have an suv and drving it for more than a year.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required